Bab 12| Ikut

16 8 14
                                        

SETELAH selesai makan, Arman duduk bersila di pelantar rumah bersama-sama dengan ayah. Entah apa yang mereka sembang, aku malas ambil tahu. Apa yang pasti, topik sembang mereka cukup panjang dan lama. Selesa betul ayah dengan Arman. Melihat dari jauh, aku menjadi lega.

Rupanya, kehadiran Arman yang mengikut aku balik ke kampung bukanlah seteruk apa yang aku fikirkan. Malahan, Arman turut membantu ayah melurut kayu-kayu buluh untuk dianyam.

Amboi, siap tolong buat kerja lagi. Aku tersengih melihat Arman dari jauh. Cemburu sungguh hatiku melihat dia yang mudah bermesra dengan sesiapa sahaja tanpa mengira kasta dan darjat.

"Jauh ke rumah kamu tu Arman?" soal ayah sambil tangannya ligat melurut buluh. Melihat ayah, Arman membalas "Saya dah biasa jalan jauh pakcik. Kalau setakat dari sini ke KL, tak ada hal lah," balas Arman ramah. Dia bukanlah lelaki yang lembut tutur kata. Namun, nadanya percakapannya sentiasa berbentuk gurauan yang disenangi semua orang.

Dan kini aku faham, kenapa Arman mempunyai banyak kenalan dan kawan akrab.

"Kalau kamu tak keberatan, boleh je kamu tinggal dekat sini semalaman. Kesian pakcik tengok Arman jalan jauh-jauh. Tengok hari macam dah petang je," ujar ayah pula.

Aku sungguh tak dapat bayangkan jika Arman menetap semalaman di sini. Jauh di lubuk hati, aku berasa segan dengan keadaan rumah kampung kami yang serba-serbi kekurangan. Dapat aku bayangkan, rumah Arman pasti mewah dan besar. Kalau nak dibandingkan dengan rumah kami, apa lah sangat. Tambahan pula, aku juga risau jika Arman tidak biasa dengan keadaan rumah sebegini.

"Saya okay je pakcik. Cuma saya takut kalau saya susahkan pakcik sekeluarga je. Lagipun, saya akan terus bertolak ke KL nanti," balas Arman.

Ayah kembali mengalihkan pandangan ke wajah Arman "Lah... susah apa nya. Tak ada apa lah Arman," tutur ayah ingin menyenangkan hati Arman. Ayah sempat menepuk-nepuk lembut bahu Arman. Arman tersengih mengangguk.

...

Selesai bersembang dengan ayah, Arman menuruni anak tangga rumah kami. Ibu dan ayah setia menunggu di hadapan rumah.

"Assalamualaikum, makcik, pakcik. Saya pergi dulu ye," sapa Arman dengan senyum yang terukir. Tak lupa juga, Arman melambai tangan ke arah aku "Bye, Bilqis!" aku menyambut kembali lambaiannya. Hati aku semakin ceria melihat Arman. Balik juga dia akhirnya.

"Waalaikumussalam," balas ibu dan ayah serentak.

"Nanti kalau ada cuti semester, hantar Bilqis lagi taw. Kalau persahabatan kamu berdua masih berkekalan," usik ayah kepada Arman. Ayah ketawa dengan usikanya sendiri. Ibu pula sempat menepuk bahu ayah. Nakal betul.

Mendengar itu, semakin lebar senyum Arman "Okay pakcik. Nanti kita boleh membawang sama-sama lagi," usik Arman semula. Arman ketawa sendiri.

Setelah tubuh Arman telah memasuki perut kenderaan, Arman cuba untuk menghidupkan enjin. Malangnya, enjin kenderaan itu tidak dapat dihidupkan sama sekali. Beberapa kali kunci dipulas, namun hampa. Tidak juga kenderaan itu dihidupkan.

Kekesalan mula menyelubungi dirinya. Sepanjang dia membawa kereta tersebut, belum pernah lagi mengalami masaalah seperti ini. Mungkin juga disebabkan dia jarang hantar ke bengkel untuk melakukan servis berkala.

Arman keluar semula dari perut kenderaan. Dirinya buntu. Sudahlah jarak dari kampung ke Kuala Lumpur sangat jauh dan memakan masa. Ingin cuba memperbaiki apa yang patut, namun dia juga tidak reti tentang kenderaan. Tahu bawa sahajalah asalkan sampai.

Aku mendekati Arman seraya bertanya 'Kenapa?'. Arman menggaru kepalanya yang tidak gatal "Entah lah Bilqis, kereta ni tiba-tiba tak dapat start pulak," Arman mengeluh sedikit. Mendengar itu, aku juga buntu.

Sangkar BuatkuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang