"KENAPA lambat sangat kamu balik ni?" soal ibu sebaik sahaja melihat kelibat aku melangkah memasuki pintu selepas pintu diketuk.
Aku tersenyum manis sambil menunjukkan not 5 ringgit yang diberi oleh Harraz tadi. Ibu hanya menggelengkan kepala sambil tersenyum "Jumpa Harraz lagi?" soal ibu seakan-akan tahu sahaja. Tangannya ligat menyapu lantai rumah. Aku mengangguk laju.
"Ha. Elok lah kalau kau kawin je dengan Doktor tu. Kau kan suka sangat tolong dia," tegur adikku, Badrul. Aku mengerutkan kening tanda hairan. Kedua-dua jari telunjuk seraya aku angkat lalu aku cantumkan dua kali tanda 'kawan'.
"Ye lah. Kawan dulu, nanti baru kawin. Kan elok tu," usik Badrul lagi. Dia bingkas bangun dari tempat duduknya. Langkah kakinya mula menapak mengelilingi tempat aku berdiri "Nanti, kau boleh tolong dia masak... kemas rumah, cuci pinggan, cuci spenda dia," bebel Badrul yang semakin buatkan aku naik angin. Aku lantas menolak tubuhnya.
Sepantas kilat, Badrul berlari masuk ke dalam bilik dengan ketawa riang bak kanak-kanak ribena. Sempat Badrul menjelirkan lidah "Wleeek!" ke arah aku sebelum pintu biliknya ditutup lalu dikunci. Geram yang mula bertandang aku pendam sahaja dalam hati.
Ah, malas nak endahkan Badrul.
'Plak!'
Kedengaran sebuah tong yang penuh dengan air di hempaskan perlahan atas lantai. Hempasan itu, jelas menunjukkan bebanan yang berat dipikul oleh ayah telahpun di lepaskan. Bau peluh sudah mula semerbak dalam ruangan dapur menandakan susahnya mencari duit.
"Aku dengar adik kau usik kau dengan anak penghulu tu," ujar ayah sebaik sahaja tubuhnya di rebah kan di atas lantai. Sempat tangannya menggapai secawan air putih. Aku hanya berdiam tanpa menjawab. Teguran ayah tadi, sama sekali tidak aku endahkan.
Ayah lantas menghela nafas panjang untuk mencari semula tenaganya yang telah digunakan tadi. "Harraz tu baik orangnya," ucap ayah yang buatkan air muka aku berubah drastik.
Andai ayah tahu, bagaimana sifat Harraz yang sebenarnya. Namun, apa boleh buat. Apa yang telah berlaku aku pendam semuanya sedalam-dalamnya. Kerana aku bisu. Kerana aku sentiasa tidak mempunyai masa untuk berbual dengan ayah walaupun hanya dengan tulisan melalui secebis kertas mahupun bahasa isyarat serta mimik muka.
Kerana aku... tidak layak untuk bercerita tentang apa yang Harraz telah lakukan kepada aku.
...
'Harraz Hazmie bin Muhammad Deraman'Nama itu sentiasa terpampang pada setiap papan notis di sekolah. Dari sekolah rendah, sehinggalah sekolah menengah nama dia sentiasa harum bak kasturi kemana pun dia pergi. Dia bijak dalam akademik dan juga aktif bersukan. Tak lupa juga, Harraz merupakan ketua pengawas sekolah dari tingkatan 5 hingga tingkatan 6.
'Harraz Hazmie bin Muhammad Deraman,
Tokoh SMK Putera Bangsa,'Wajah lelaki berhidung mancung, bibirnya tebal dan cerah, serta mempunyai bulu mata yang tebal dihiasi dengan bentuk senyuman yang menawan. Cukup menggambarkan bahawa lelaki itu kacak. Gambar yang melekat di tengah-tengah papan notis ini aku tatap lama.
Jika hendak dipadankan dengan diriku ini, memang tidak sesuai. Jauh panggang dari api rasanya.
Namun, dia bukanlah sejenis orang yang mempunyai ramai kawan atau ramai peminat. Dia sentiasa bersendirian tanpa teman kemana pun dia pergi.
"Sombong gila laki jahanam tu. Gila lah, aku bertugas tadi dia siap tengking aku depan budak-budak lain. Mental kot," rungutan dari seorang pengawas baru itu kedengaran sehingga ke telinga aku.
Dan kini aku faham kenapa Harraz tidak pernah mempunyai kawan. Sikapnya sombong, angkuh dan ego. Sepanjang aku bersekolah di sini, rungutan sedemikian sudah acapkali aku dengari. Tak di luar kelas, di dalam kelas.
Umum dikatakan, dia terkenal. Tetapi tiada peminat.
"Kau pahal tenung gambar aku lama-lama? Syok kat aku?" suara garau dengan nada yang kasar menyentak lamunan aku. Mendengar suara itu, umpama nyawa aku kini berada di hujung tanduk. Bila-bila sahaja diri ini akan menjadi mangsa.
"Sini kau ikut aku!" lengan aku dipaut sekuat hati lalu ditarik semahunya. Kukunya terasa mencucuk kulit walaupun lengan ini berbalut dengan pakaian putih. Aku sempat mengerang kesakitan walaupun suara ini tidak kedengaran oleh sesiapa.
Apa lagi salah aku?
Genggaman tangannya yang sekuat hati dengan kakinya yang berjalan membawaku ke suatu tempat membuatkan kulit lengan ini terasa ingin koyak. Air mataku serasa ingin jatuh membasahi pipi.
Tiba di satu sudut sekolah yang kosong, botol yang berisi air mineral ditangannya dihempas tepat mengena kepalaku. Genggaman tangannya mula melepaskan lenganku yang sedari tadi kepedihan namun kini kepala aku pula yang sakit. Sakit sangat serasa ingin benjol terkena botol itu.
"Kau memang sial!" intonasi suaranya kuat menunjukkan puncak kemarahannya berada di tingkat paling maksimum.
Telinga aku ditarik kuat "Kau dengar tak tadi aku suruh kau belikan aku makanan? Aku lapar kau tau tak?" jari telunjuknya menunjuk ke suatu arah "Kau tau tak ketua pengawas macam aku ni sentiasa sibuk. Mana ada masa nak beli makanan!" herdik nya lagi.
Tangannya mula dihayun kan ingin menampar aku. Namun, tiba-tiba sahaja hayunan itu dihentikan. Tangannya jatuh seperti sedia kala.
Tanpa sebarang kata-kata yang keluar dari mulutnya, Harraz pergi meninggalkan aku yang sudah menggeletar dengan sikap panas barannya.
Namun, tiada siapa yang tahu bagaimana layanan Harraz terhadapku. Setiap kali situasi itu terjadi, aku dipaksa untuk tidak memberitahu sesiapa. Sehingga, tiada siapa yang tahu bagaimana sifat Harraz yang sebenarnya.
Harraz bagaikan musang berbulu domba. Lakonannya sentiasa membuat orang menyalah anggap sisi gelapnya. Dia bijak memanipulasi. Dia pandai berlakon.
...
"Kalau ikutkan hati, ayah nak je jodoh kan kamu dengan anak penghulu tu," sambung ayah lagi "Tapi,... ayah tak rasa yang anak pak Deraman tu sukakan kamu. Ye lah, dia kan kacak, kerja hebat, berharta pulak tu," sisa air putih yang masih berada dalam cawan ayah teguk lagi "Kamu pulak, bisu. Lagipun kita ni orang susah Qis," kata ayah yang jelas menyedarkan aku apa itu realiti.
Ya, Harraz takkan mau dengan orang seperti aku. Mungkin, jika aku tidak ditakdirkan bisu sekalipun, dia takkan berminat denganku. Bukannya rupa aku cantik sangat. Tiada apa yang menarik tentang diriku di matanya.
"Eh, habis tu kalau si Qis ni lawa lepas tu pandai bercakap. Abang nak jodoh kan dia dengan Harraz ke? Lain macam je sembang abang harini," sampuk ibuku dari belakang.
"Ye. Apa salahnya? Sekurang-kurangnya anak kita dapat merasa hidup senang. Mak ayah mana yang tak nak anak dia hidup senang," balas ayahku bersahaja "Bila anak kita senang, kita berdua pun tumpang gembira. Itu aja. Lagipun anak kita ni pun sekolah tinggi jugak," sambung ayah lagi.
Aku menghela nafas panjang mendengar kata-kata ayah. Tubuhku yang sedari tadi duduk, bingkas aku bangunkan. Malas rasanya mahu mendengar lagi. Lagi-lagi bila nama Harraz disebut-sebut.
'Fuh, nasib baiklah aku bisu,'.
Sebuah tote bag yang tercampak di atas katil aku gapai untuk menggantungkannya pada tingkap. Beg free gift daripada pasar itulah yang menjadi peneman aku kemana sahaja aku pergi. Maklumlah, walaupun diberi percuma, tetapi kualitinya boleh tahan. Kini sudah genap 5 tahun aku mengenakan beg itu pergi ke mana-mana.
'Aik? Kenapa macam ada isi je beg ni?' soalku pada bayu.
Tangan aku lantas membelek tote bag tersebut. Pergelangan tangan juga aku masukkan bagi melihat isinya.
'Coklat lagi?'
...
YOU ARE READING
Sangkar Buatku
RomansaTatkala pilihan yang salah ini, telah menjadi memoir abadi dalam kisah hidupku. Sebuah memoir yang penuh dengan kegelapan di dalamnya. Tanpa ada sedikitpun cahaya yang sudi untuk menyinari. Dan itulah sangkar buatku. "Ini semua, pakaian orang dah...