Time Stamp.
Malam itu cuma ada mereka berempat. Dhuha yang menonton TV di sofa sambil ditemani balang berisi kerepek. Mak yang melipat kain dan Daffa, abang sulung Dhuha yang sibuk mengajar anak sulungnya menyiapkan kerja sekolah di meja makan selesai masing-masing mengisi perut tadi.
"Kak Syah syif malam ke hari ni?" Dhuha menatap mak saat siaran di TV bertukar kepada iklan.
"Ha'ah." Mak menjawab pendek. Sebab itu siang tadi cuma Daffa dan Sumayyah aje yang muncul. Syahirah, dia bertolak dari rumah mereka terus ke hospital. Rutin keluarga anak sulungnya yang satu ini dah dihafal di luar kepala.
"Mak, tadi adik selongkar almari sebab cari Tshirt abah." Hujung Tshirt yang kebesaran di tubuhnya, ditarik sedikit menunjuk ke arah mak.
"Patut pun susunan baju dalam almari tu macam baru lepas kena selongkar pencuri." Wajah Dhuha dijeling. "Hari tu bukan adik dah ambil Tshirt warna hitam ke?"
"Tshirt tu tertinggal dekat rumah sewa, terlupa nak packing." Segenggam kerepek disuap ke mulut. Nasib baik jumpa sehelai, mahu ada yang tak dapat tidur sampai ke subuh. Dhuha dahlah memang dalam mood homesick sekarang ini.
Seketika, tak ada balasan daripada mak. Wanita itu sibuk menyusun kain yang dah berlipat elok mengikut pemiliknya sebelum dihantar ke bilik masing-masing. Tak banyak pun pakaian yang ada sebab Daffa sekeluarga bukan setiap hari menginap. Dhuha lagilah, balik pun jarang.
"Lama ke cuti?" Daffa muncul sebelum duduk di sisi Dhuha. Selesai tugasnya membantu Sumayyah siapkan latihan matematik dan sekarang masa untuk dia berehat.
"Mana ada cuti. Saya work from home." Dhuha tayang muka berlagak. Salah satu nikmat yang dia syukuri jadi staf NF, dia tak perlu bersiap awal pagi dan bersesak dalam trafik.
"Rindu abah ke?" Mata Daffa melirik pula ke arah Tshirt yang tersarung di tubuh adiknya.
Dhuha mencebik. Semua orang dalam rumah ini memang memahami tanpa perlu Dhuha buat sesi penjelasan. Lagipun, memang dia seorang aje terpaling rajin pakai Tshirt abah yang berbaki dalam almari itu. Selebihnya dah disedekahkan.
"Esok Nathan discharge kan? Abang nampak status WhatsApp dia."
Dhuha berhenti mengunyah. Matanya sepet merenung Daffa. Selain memahami, penghuni dalam rumah ini juga terlebih prihatin nampaknya.
"Abang simpan nombor dia ke?" Ingatkan selepas kejadian majlis pertunangan yang kandas itu, Daffa pun sama memutuskan hubungan dengan Nathan.
"Bila masa abang padam nombor dia? Adik yang cakap kau orang putus elok-elok, jadi tak ada sebab kenapa abang kena jauhkan diri daripada Nathan." Daffa laju membela diri.
Dhuha senyap. Betullah tu. Dia yang bersungguh sangat nak semua orang percaya kalau hubungannya dengan Nathan putus bukan disebabkan oleh orang ketiga atau seangkatan dengannya.
YOU ARE READING
PALETTE
Short StorySelepas beberapa tahun, mereka dipertemukan semula dan kali ini dengan cerita yang berbeza. Palette (n.) a thin board or slab on which an artist lays and mixes colours. -Kalau kata Dhuha, Palette itu wadah yang menampung warna-warni hidup.