BAB 15

846 14 0
                                    

"ROSE..."

Mata berwarna hitam pekat itu menatap wajah seorang wanita di hadapannya. Tidak ada sepatah perkataan yang keluar daripada mulut itu kerana Rose tahu makna semua itu.

"Hari ni ibu tak balik. Ibu minta maaf, ibu ada kerja,"

"Ibu ikut uncle tu lagi ke?" Rose menyoal dengan nada suara begitu halus. Matanya redup memandang wanita itu. Ini bukan kali pertama ditinggalkan tetapi sudah berkali-kali. Budak berumur lapan tahu dipaksa untuk hidup sendiri. Ya, itulah dia.

"Hm, hari ni ibu ikut dia,"

"Tapi kenapa? Rose nak ikut boleh?" sekali lagi Rose bertanya. Tangan ibunya digenggam erat. Tidak mahu berjauhan.

"Ibu cari duit untuk besarkan Rose. Rose kena faham dengan kerja ibu. Ibu buat semuanya untuk Rose," wanita itu mula menangis teresak-esak. Laju-laju tangan itu menarik kasar tubuh Rose lalu memeluk seerat-erat yang mungkin.

"Ibu nangis?"

"Ibu minta maaf.."

Rose seperti tidak ada perasaan. Walaupun mendengar tangisan ibunya di sebelah, Rose tetap tidak dapat mengalirkan air mata.

"Bila ibu balik?" tanya gadis kecil itu lagi saat ibunya meleraikan pelukan itu. Rambut ikal Rose sempat dirapikan sebelum dia mempamerkan sedikit senyuman.

"Esok pagi ibu balik. Rose tunggu sini tau,"

Rose mengangguk mengiyakan. Tepat di hadapan pintu, wanita itu melambaikan tangan ke arah Rose. Senyuman paling manis dihadiahkan buatkan gadis itu turut tersenyum.

"Ibu janji balik.." Rose angkat jari kelingkingnya sebelum wanita itu menghilang daripada pandangan.

"Ibu janji, sayang.."

Rose senyum mengangguk. Ada sekuntum bunga Mawar di pegangan pemberian ibunya. Begitu wanita itu menghilang, suasana rumah semakin sunyi. Gelap tanpa adanya suasana ceria.

Rose berjalan mendekati sofa. Ada beberapa patung diletakkan secara berturutan. Rose duduk di hadapan kemudian mempamerkan senyuman paling manis.

"Kawan-kawan, tengok ibu bagi bunga ni. Cantikkan? Sesuai tak dengan baju Rose?" Rose pusingkan tubuhnya dengan meragakan gaun yang dikenakan. Gaun yang paling cantik yang pernah ibunya berikan.

"Ibu kata bunga ni sama dengan nama Rose. Sebab itu dia merah kan? Merah kan cantik.." Rose asyik berbicara dengan patung di hadapannya. Sehari-harian Rose hanya bercakap dengan patung. Patung umpama temannya.

Tanpa patung itu, Rose takkan ada tempat untuk bermain. Apatah lagi hanya gadis berusia lapan tahun. Sunyi.

"Ibu tak sayangkan Rose lagi ke? Kenapa ibu tak nak bawa Rose dengan uncle tu? Uncle tu suka ibu, kenapa uncle tak kahwin dengan ibu?" Rose perlahan-lahan melentokkan kepala di atas sofa. Bunga di tangan tadi dimain-mainkan cuba menghilangkan rasa bosan.

Pelbagai soalan yang ingin diketahui oleh Rose. Hari demi hari, keinginannya ingin tahu mula membuak-buak. Apa yang disangkakan bukanlah seperti yang dimahukan.

"Tak apa, ibu kata ibu sayangkan Rose. Nanti ibu datang, dia bawakan kita makanan kan kawan-kawan?" Rose tersenyum lagi. Itu sahaja cara untuk menggembirakan hati.

Walaupun keinginannya untuk pergi ke sekolah namun begitu semuanya takkan terjadi. Ibunya tidak mampu untuk menghantar ke mana-mana sekolah memandangkan dokumen-dokumen mengenai dirinya tidak lengkap sepenuhnya.

𝐁𝐮𝐤𝐚𝐧 𝐂𝐢𝐧𝐭𝐚 𝐁𝐢𝐚𝐬𝐚 [TERBIT]Where stories live. Discover now