PUAN Melati menggeleng kepala berkali-kali tatkala mendengar cerita dari mulut Qistina. Rancak benar gadis itu berhikayat, seolah dia pula yang berada di tempat Naaila. Terkejutnya Puan Melati usah dikata, mujur dia tiada masalah jantung. Dada bagai dipalu hebat apabila mengetahui anak sendiri dikecam dan dihentam tanpa belas oleh tentera netizen. Elok belaka kata-kata yang dilemparkan oleh warga media sosial kepada Naaila. Sungguh lantang mereka mengutuk, menuduh, mengecam, seperti terpaling kenal dan terpaling tahu apa yang jadi.
Sebelum Qistina memberitahu pun, Najla terlebih dahulu menunjukkan video yang telah tular itu kepadanya. Sehingga hilang diksi Puan Melati. Walaupun muka dan suara Naaila tidak jelas di dalam video, Puan Melati arif dengan gaya dan pemakaian anaknya. Melihat Naaila yang banyak berdiam sedari tadi, makin la Puan Melati bertambah risau.
"Kakak okey ke tak ni? Diam je ibu tengok."
Pertanyaan daripada si ibu mengusir segala lamunan Naaila. Kepalanya kemudian dipusingkan ke arah wanita itu dengan hujung ibu jari yang sedang digigit. Tabiat buruk dia apabila kepala lagi sarat merisaukan sesuatu, konon hendak berlagak tenang tetapi tidak menjadi.
"Okey je, bu." Ringkas jawapan yang diberikan Naaila.
"Ya ke ni? Kenapa diam semacam je? Kalau kakak tak okey dengan apa yang orang cakap, bagitahu ibu. Risaulah ibu tengok kakak macam ni," sambung Puan Melati, meragui bicara si anak.
Najla yang sudah lari fokus dari siaran filem di kaca televisyen, kini menyampuk. Sekaligus membungkam bibir Naaila. "Kakak ni kan! Kenapa kakak layan lagi si Fakha tu? Patutnya kakak bagilah tahu Naj kalau Fakha ada kacau kakak. Bila dah jadi macam ni, Naj yang serba salah dengan kakak. Disebabkan Naj, kakak yang jadi mangsa." Jujur Najla meluahkan isi hatinya.
"Janganlah macam tu. Naj, ibu, serius kakak okey je. Bukan salah siapa-siapa pun, tapi berpunca daripada kakak sendiri, so kakak terima je apa yang orang cakap. Nak kata terganggu, ada la sikit dengan kecaman orang. Cuma, yang buat kakak risau sekarang bukan tu, tapi ada benda lain." Tegak duduk Naaila, cuba meyakinkan mereka berdua. Matanya tak dapat ditahan daripada mengerling sesekali ke arah skrin telefon. Inilah perkara yang meresahkan hati Naaila.
"Hafiq ke?" Lantas Qistina menebak dengan mata yang tajam. Bukan dia tak tahu, daripada pagi Naaila seakan serba tak kena.
"Siapa lagi, Qis. Dia boleh seen je DM aku? Bapak sombong si Hafiq ni. Sepatah habuk reply pun tak ada. Hati aku pula yang tak tenang selagi tak jelaskan dekat dia betul-betul apa yang jadi. Dibuatnya tiba-tiba dia saman aku macam mana? Kalau boleh, aku nak la setel elok-elok daripada jadi kes mahkamah."
"Hesy, kakak ni! Buat takut ibu aje. Ibu punyalah risau mental anak ibu ni tak okey sebab mulut orang ke apa. Itulah, lain kali nak buat apa-apa, fikir panjang-panjang dulu. Baik Hafiq atau Fakha, kakak tak patut buat macam tu dekat tempat orang ramai. Selain daripada kakak memalukan orang, kakak memalukan diri kakak sendiri juga. Dekat tempat tertutup sekalipun, sepatutnya kakak bertindak lebih rasional. Nak setel masalah, jangan terlalu ikutkan emosi dan amarah. Itu bukan selesaikan masalah namanya, itu menambahkan masalah." Berat Puan Melati menghela nafas setelah melemparkan pesanan.
Tertunduk memandang karpet kepala Naaila, sedar akan keterlanjuran diri. Jemari dikutil tanpa sedar sembari bibir mencebik kecil. Tatkala wajah diangkat beberapa saat selepas itu, serta-merta Naaila menjeling Qistina yang selamba badak menayangkan senyuman mengejek kepadanya.
"Seronok ya tengok aku kena marah?"
"Memang padan la! Banyak kali dah aku bagi warning jangan buat kerja gila, kan? Kau buat juga, siapa suruh? Aku tak pelik la kalau Hafiq Iqmal tu tak reply. Mesti dia ingat kau perempuan tak betul sebab tiba-tiba datang siram air dekat dia macam siram pokok bunga. Lagipun, dia tu pelakon, Nai. Wajar la kalau dia tak reply DM orang biasa macam kita. Aku rasa, DM Hafiq tu pun mesti berlambak. Kut-kut dia tak perasan atau terlupa nak reply ke apa. We never know." Qistina angkat bahu.
YOU ARE READING
Love, In Action! | ON-GOING
Romance𝐇𝐀𝐅𝐈𝐐 𝐈𝐐𝐌𝐀𝐋 ✦ 𝐍𝐀𝐀𝐈𝐋𝐀 𝐌𝐀𝐈𝐒𝐒𝐀 Selaku seorang kakak yang mengambil berat, Naaila cuba menyelamatkan adiknya daripada spesies lelaki tak guna. Lalu, Najla akhirnya mengambil keputusan untuk menoktahkan hubungan dengan Fakha, si tem...