MELEBIHI sejam yang telah ditetapkan, Noah membuka kembali aplikasi TikTok. Ingin melihat video yang dia tambah sebagai kegemaran pagi tadi. Melebihi Hafiq, dia pula yang tak sudah-sudah mengulang lihat video yang sama selang satu jam. Dan kali ini, Noah tak dapat tahan mulutnya daripada ternganga apabila melihat kutipan tontonan yang terkini.
"Berita buruk, Fiq. Video kau dengan perempuan tu dah cecah 1 million views," lapor Noah sambil memegang iPad di tangan. Dia tidak rasa hendak membuka komen sementelah sebahagiannya sudah dibaca dan rata-rata netizen melemparkan kata-kata yang berbaur negatif.
Ikutkan, hari ini mereka ada urusan di luar bersama Rauf, pemilik RXT Worldwide, iaitu sebuah jenama pakaian berfokuskan streetwear yang sedang meningkat naik di media sosial. Jika ikutkan agenda asal, mereka ingin berbincang secara santai mengenai sebuah kolaborasi. Daripada tahun lepas lagi, Rauf ada menyatakan keinginannya untuk bekerjasama dengan Hafiq memandangkan mereka sudah saling kenal agak lama.
Tetapi, Hafiq terlalu sibuk dengan lakonan dan jadual mereka pula tidak selari dengan masing-masing, menyebabkan baru sekarang mereka ada kesempatan untuk berjumpa. Bila keadaan jadi huru-hara seperti sekarang, Hafiq terpaksa minta Rauf untuk menunda perjumpaan dan segala perancangan mereka sehingga keadaan sudah terkawal. Memang benar Hafiq hendak berehat sepenuhnya, lebih-lebih lagi setelah apa yang berlaku sekarang, tetapi pelan kolaborasi antara dia dan RXT Worldwide bukanlah dalam masa terdekat.
Buat masa ini, Hafiq rasa lebih elok jika dia tak keluar dengan bebas, terutama sekali ke tempat publik. Bimbang ada wartawan yang akan mengejar untuk membuat liputan hangat.
"Gosip dengan Rania pun tak reda lagi, datang pula gosip lain. Tak pasal-pasal orang buat spekulasi baru. Paling tak boleh blah yang pergi cakap aku main kayu tiga tu. Hei, aku ni bercinta pun tak pernah! Perempuan baran dekat restoran tu pun aku tak kenal siapa." Hafiq melepaskan geram. Daripada mata terpejam, lantas celik melirik Noah. Hafiq yang tadinya berbaring di atas sofa, mengubah posisi kepada duduk.
"Nasib la kau, Fiq. Punyalah single sejak azali, tapi dilemparkan tuduhan sebesar tu." Senget bibir Noah. Hampir tergelak juga kerana rasa lucu dengan perkara tak masuk akal itu. "Bukan setakat tak pernah bercinta, kawan perempuan pun kau tak ada. Tak beragak betul la keyboard warrior ni. Jauh betul spekulasi menyimpang dari situasi sebenar."
"Kau ni nak sokong aku ke, nak sokong netizen, Noah? Macam kutuk je lebih." Hafiq mencerlung garang.
"Mana ada aku kutuk. Aku cuma berlaku jujur je." Noah tayang muka tak bersalah.
"Yalah tu."
"Yalah." Noah letak iPad di atas meja, kemudian memusatkan perhatian kepada Hafiq. "Okey, sekarang ni kau nak buat apa? Spekulasi dah macam-macam keluar. Kau tak boleh terus diam macam ni, Fiq. Selagi kau tak bersuara, selagi tu la orang akan buat andaian ikut kepala sendiri. Aku takut dia orang ambil diam kau tu sebagai jawapan. Bahaya, bahaya. Kau kena bersuara juga sebelum keadaan lebih keruh. Aku tak nak nama kau makin kotor pula nanti."
Berat helaan dilepaskan Hafiq, seolah-olah beban yang dipikulnya semakin sukar untuk ditanggung. Pasrah mendengar bicara Noah yang sangat nyata dengan kebenaran. Masalah yang sedia ada pun belum terkawal, datang pula masalah baru. Semakin pusing kepala Hafiq ingin selesaikan semuanya secara baik agar reputasi dan nama dia tidak tercalar. Sangat penting untuk Hafiq menjaga imej di dalam industri, tetapi keadaan yang meruncing kini membuatkan fikirannya agak berserabut.
Namun, Hafiq pasti setiap masalah tentu ada jalan penyelesaiannya.
Mungkin benar kata Puan Elysha dan Noah, Hafiq perlu berehat betul-betul sehingga dia rasa sudah bersedia untuk bekerja semula dengan nafas yang baharu. Bukan sekadar cuti biasa, tetapi dia ingin lari dari tumpuan media, menyendiri dari keramaian manusia, juga menghabiskan masa sepuasnya bersama orang yang tersayang. Hafiq turut perlukan masa untuk dirinya.
YOU ARE READING
Love, In Action! | ON-GOING
Romance𝐇𝐀𝐅𝐈𝐐 𝐈𝐐𝐌𝐀𝐋 ✦ 𝐍𝐀𝐀𝐈𝐋𝐀 𝐌𝐀𝐈𝐒𝐒𝐀 Selaku seorang kakak yang mengambil berat, Naaila cuba menyelamatkan adiknya daripada spesies lelaki tak guna. Lalu, Najla akhirnya mengambil keputusan untuk menoktahkan hubungan dengan Fakha, si tem...