Ehem, jangan lupa vote dan comment. Harap puas baca setelah lama tak update agagaga.
~
SEBAIK sahaja pintu bakeri ditolak oleh Naaila, automatik bunyi loceng kedengaran di seluruh pelosok ruang. Membuatkan Qistina yang tadinya berada di dapur, keluar ke bahagian utama kafe dengan terburu-buru. Naaila yang masih lemau di pagi hari terpinga-pinga apabila tiba-tiba dirinya ditarik ke salah sebuah meja lalu didudukkan tanpa amaran. Qistina mengambil tempat di sebelahnya.
"Baik kau cakap betul-betul, Nai. Kau pergi jumpa siapa semalam?" Peluru mengejut daripada Qistina serta-merta mencelikkan mata Naaila yang tadinya masih layu. Melihatkan wajah serius si kawan baik itu lagilah biji mata Naaila sesegar sayur-sayuran di pasar.
"Aku jumpa Fakha la." Hampir bercantum kening Naaila. Hanya seketika, sebelum dia tiba-tiba mengoyak senyuman. Kelopak mata mula meluas kerana teruja hendak bercerita. "Aku belum bagitahu kau lagi kan pasal semalam? Kau nak tahu tak, Qis? Kalau kau dengar ni, gerenti kau terkejut beruk dengan apa yang aku dah buat dekat Fakha. Mesti kau kagum punya dengan keberanian aku."
Qistina yang memang sedia resah, bertambah resah mendengar ayat tersebut. Kedua-dua belah bahu Naaila dicengkam kemas, merenung tepat ke dalam iris mata milik gadis itu.
"Nai, sebelum kau bagitahu, aku memang dah terkejut beruk dengan apa yang kau buat. Bukan setakat kagum, tapi aku seriau dengan kau sekarang ni."
Naaila masih tak dapat tangkap maksud bicara Qistina yang sebenar. Lengkungan di bibirnya semakin panjang. "I knew it, Qis. Aku dengan kerja gila tak dapat dipisahkan." ujar Naaila, separuh tenang, separuh bangga. Kemudian, laju mulutnya berceloteh tentang kejadian semalam.
"Kalau kau ikut aku sekali waktu tu, sah kau akan melopong tengok aku siram Fakha dengan air oren. Kalau ikutkan, aku sumpah tak terfikir nak buat macam tu, tapi semua benda berlaku secara mengejut. Kau pun kenal aku, Qis. Aku buat aje apa yang terlintas dalam otak. Tapi, aku tak menyesal sebab aku puas hati tengok muka bengang Fakha. Mesti dia tercengang gila sebab aku buat betul-betul apa yang dia cakap. Tu la, siapa suruh cabar Naaila Maissa. Memang mendapat betul-betul la."
"Naaila Maissa Binti Nadir!"
"Apa hal kau ni? Teruk betul terkejut sampai sebut nama panjang aku."
"Kau tak sedar ke? Tak tahu apa yang jadi?"
Terkebil-kebil Naaila kelip mata. Aneh dengan kegelabahan Qistina. "Jadi apa?"
"Ya Allah, Naaila!"
"Kenapa? Aku tak faham la, Qis. Salah ke apa aku buat? Fakha sendiri kut bagi izin, jadi apa yang berlaku tu bukanlah kesalahan aku sepenuhnya," balas Naaila, sungguh-sungguh menegakkan dirinya.
Terlepas pegangan Qistina pada bahu Naaila. Tangannya kemudian menyeluk Samsung Flip yang berada di dalam poket apron sebelum satu video yang telah dimuat turun melalui aplikasi TikTok ditunjukkan kepada Naaila.
"Ni kau, kan?"
Kening Naaila hampir bercantum setelah menonton video yang berdurasi beberapa saat itu. "Eh..." Terkejut punya pasal, lantas telefon Qistina dirampas untuk melihat kali kedua. Terbuntang mata Naaila apabila dia yakin bahawa dia tidak tersalah tengok. Macam mana video dia dengan Fakha boleh berada di telefon Qistina?
"Macam mana video ni boleh ada dekat kau? Kau stalk aku ke semalam, Qis?"
"Tak ada kerjalah aku nak stalk kau. Kan semalam aku pergi delivery kek dekat kawan mummy aku. Lepas dah balik bakeri semula, baru aku call kau sebab kau tak ada dekat bakeri. Celah mana pula aku pergi mall? Takkan la aku nak stalk kau macam sasaeng fan pula," sangkal Qistina habis-habisan.
Sasaeng fan, merujuk kepada peminat taksub yang sanggup menceroboh privasi selebriti Korea Selatan dengan tindakan mereka yang tidak ubah seperti seorang stalker.
Qistina tidak segila itu ya, sekalipun jika bukan Naaila tetapi artis yang dia minat.
"Habis tu, siapa yang tangkap video ni?" tanya Naaila. Masih tak dapat teka apa-apa.
"Kau tak buka TikTok ke?"
Naaila menggeleng selamba.
"Video kau ni dah viral tau dekat TikTok. Semalaman je dah dapat 500k views. Gila tak gila?"
"Hah?! Kau jangan main-main, Qis. Aku tahulah aku sengaja curah air dekat mamat tu, tapi takkan la sampai kena viral kut. Aku bukannya artis." Gara-gara terkesiap dengan berita itu, laras suara Naaila naik seoktaf.
Walaupun wajah Naaila terlindung dek pelitup muka, juga suara dia dan Fakha tidaklah kedengaran jelas sehingga boleh didengari di dalam video, Naaila tetap tidak suka. Apa yang berlaku itu tidak wajar sama sekali kerana orang yang memuat naik video tersebut telah pun merakam dirinya tanpa izin.
Hal Naaila mencurahkan air kepada mamat itu, ya, dia mengaku dia salah. Tetapi, itu adalah antara Naaila dan Fakha. Kalau pun ada akibatnya kerana tindakan bodoh itu, Naaila rela kalau ia hanya melibatkan mereka berdua sahaja dan bukanlah sampai campur tangan satu Malaysia.
"Memanglah kau bukan artis. Tapi, kau kenal tak lelaki tu siapa?" soal Qistina dengan nada saspens.
"Kenal la. Fakha, kan?"
Qistina menggeleng. "Tu bukan Fakha, Nai. Tu Hafiq Iqmal, dan dia la artis tu," jawab Qistina sungguh-sungguh.
"Hah?! Seriuslah?" Wajah Naaila berubah cuak.
"Deadly serious, Naaila."
Naaila telan liur yang mula rasa kesat. Dia pandang Qistina seperti mahu tembus. Terlayar kembali insiden petang semalam di dalam kotak memori Naaila. Patutlah lelaki itu ingat dia kena prank. Rupanya, dia memang orang yang terlibat di dalam industri seni. Bila ingat semula sepatah demi sepatah perkataan yang dilontarkan, Naaila terasa sangat bodoh kerana dia melepaskan kepada orang yang salah. Sah lelaki itu ingat dia perempuan gila yang terlepas dari Tanjung Rambutan.
"Qis... apa aku nak buat ni? Takutlah. Macam mana kalau aku kena saman? Weh, aku tak nak!" tutur Naaila dalam kegelisahan.
"Okey, macam ni. Kau relaks... tarik nafas, lepas tu hembus." Sambil berkata, sambil Qistina melakukan juga apa yang dibicarakan.
"Kau kena bersyukur sebab kau pakai face mask. Jadi, orang pun tak tahu itu kau. Kalau ada yang perasan sekalipun, mungkin dalam kalangan orang yang kenal kau rapat. Cuma, kau kena bersedia dan hadap segala kecaman sebab orang yang kau dah curah air tu Hafiq Iqmal. Sah, kau akan dihentam teruk oleh peminat Hafiq, nak tak nak kau perlu kentalkan hati. Dan aku rasa, kau patut minta maaf dekat Hafiq pasal benda ni sebelum apa-apa yang lebih buruk terjadi." Qistina mencadangkan apa yang patut dari sudut pandangnya. Dia tidaklah arif sangat bagaimana ingin menghadapi situasi ini, tetapi buat masa sekarang, itulah perkara yang terlintas di benak akalnya.
"Tapi apa-apa pun, kau cuba bertenang. Jangan overthinking sangat. Kita pergi bake dulu apa yang patut dekat dapur. Selesai semua, kau fikir baik-baik apa yang kau nak buat lepas ni."
Meskipun hati Naaila agak tidak tenteram sekarang ini, dia cuba ikut dan hadam apa yang Qistina beritahu. Seberani-berani Naaila, menempuh situasi ini bukanlah perkara yang mudah baginya. Memikirkan bahawa dia sedang menjadi perhatian warganet, jujur Naaila seram. Tetapi, kehidupan perlu diteruskan. Naaila tidak bisa terbawa-bawa sangat.
Ya, itulah yang patut dia buat sekarang.
Naaila melepaskan keluh. Kemudian, dia cuba mengangguk dengan tenang.
YOU ARE READING
Love, In Action! | ON-GOING
Romance𝐇𝐀𝐅𝐈𝐐 𝐈𝐐𝐌𝐀𝐋 ✦ 𝐍𝐀𝐀𝐈𝐋𝐀 𝐌𝐀𝐈𝐒𝐒𝐀 Selaku seorang kakak yang mengambil berat, Naaila cuba menyelamatkan adiknya daripada spesies lelaki tak guna. Lalu, Najla akhirnya mengambil keputusan untuk menoktahkan hubungan dengan Fakha, si tem...