24

5 1 0
                                    

"CIK Qina?" soal Fatin, terkejut melihat penampilan baru ketuanya. 

Qarina datang ke ofis dengan berbaju kurung dan bertudung. Rasanya, baru empat hari dia tidak berjumpa Qarina. Cepat benar ketuanya berubah. Sudahlah tadi dia terkejut melihat Qarina keluar dari kereta bersama Fareez. 

"Borang untuk LHDN dah siap?" soal Qarina, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. 

"Ni pakai sekejap aje atau untuk selama-lamanya?" soal Fatin. Lain yang ditanya, lain pula yang dijawabnya. 

"Macam nilah Fatin, jangan hairanlah dengan penampilan baru saya ni. Artis pun dah ramai pakai tudung sekarang," jawab Qarina. 

"Iyalah, syukur pada ALLAH, terbuka juga hati Cik Qina nak bertudung. Tapi, kenapa datang dengan Encik Fareez? Skandal ke?" soal Fatin lagi. 

"Kereta dia rosak. So, dia tumpang kereta saya. Puas hati? Dah, pergi buat kerja. Jangan lupa, nanti telefon LHDN. Tanya dia orang tentang seminar akan datag," arah Qarina. 

"Baik, bos. Err... Cik Qina," panggil Fatin. 

 "Hmm... ada apa?" soal Qarina, endah tak endah. 

"Cantiklah," puji Fatin. 

Qarina menjeling, namun hatinya berbunga-bunga mendengar pujian itu. 

***********************************************************************************************

"CANTIK awak hari ni," tegur Firhad. 

Hari ini, dia berbesar hati mengajak Qarina dan dua orang pelajar praktikal termasik Fareez dan Fatin untuk menikmati makan tengah hari. 

"Terima kasih," ucap Qarina. 

Tersipu-sipu dia manahan malu. Maklumlah, dipuji bos sendiri. handsome pula. 

"Muka pun berseri macam pengantin baru aje," sampuk Fareez. 

Muka Qarina yang merah kerana malu kini berubah merah kerana geram. 

"Encik Fareez, siapalah yang beruntung dapat Cik Qina ni, kan? Encik Fareez tak nak cuba ke?" usik Fatin. 

"Kau jangan nak caras aku, Reez. Aku dah lama tunggu ni," ujar Firhad. 

Dia kemudian mengenyit mata kepada Qarina. Fareez sekadar menjeling. Ada yang makan sup penampar juga selepas ini. 

"Eh bos, isteri bos nak letak kat mana?" soal Fatin. 

Pelajar praktikal yang ada hanya tersenyum. 

"Lelaki boleh kahwin empat. Betul tak, Reez?"

"Betul tu, bos. Saya, kalau dapat isteri yang tak serupa isteri, harus tambah lagi, bos," ujar Fareez. 

"Ada ke isteri yang tak serupa isteri, Abang Fareez?" tanya salah seorang pelajar praktikal itu. Nelinda namanya, tetapi semua orang memanggilnya Nelly. 

"Ada. Kenapa pulak tak ada?" jawab Fareez. 

"Hisy, Abang Fareez ni. Ada-ada aje tau," gelak Nelly. 

Entah kenapa, macam nain senak sahaja Qarina mendengar gelak ketawa mereka. Abang Fareez konon. Qarina terus menyuap makanan ke dalam mulut sambil menjeling ke arah Fareez. 

***********************************************************************************************

"MASAM aje muka tu. Kenapa?" soal Fareez. 

Isterinya dari tadi tidak bersuara. Mukanya asyik mencuka sahaja. 

"Mana ada," dalih Qarina. 

Padahal dia naik menyampah dengan sikap gedik Nelly. Sempat lagi main usik-usik manja dengan Fareez. Yang Fareez pula, melayan saja. 

"Muka macam tempoyak basi. Macamlah saya tak tahu muka macam ni," ujar Fareez. 

"Tak ada apalah. Malam ni nak makan apa?" soal Qarina, kasar. Sengaja dia menjeling. Marah dan geram. 

"Naik angin ajelah dia ni. Mesti awak ikut perangai abah awak, kan?" usik Fareez. 

Marah Qarina semakin jelas. Kenapalah Fareez suka bercakap ikut sedap mulut sahaja. Namun, Qarina mendiamkan diri. Dia turut merasakan hal yang sama. Sejak akhir-akhir ini, kerap benar dia naik angin tidak tentu fasal. Mungkin disebabkan genetik. Tidak! Dia tidak mahu menjadi seperti ayahnya. Qarina mernarik nafas panjang, cuba menahan sabar. 

"Kita singgah Tesco. Saya masak. Awak tak rasa lagi masakan saya. Sedap tau," ujar Fareez, cube memujuk isterinya. 

Dia sedar, dia sudah terlajak kata. Sudahlah hubungan Qarina dengan abahnya tidak baik. 

"Tak payahlah, nanti awak letak ubat guna-guna pulak. Kita ordeer pizza aje," putud Qarina. 

"Saya tak bolehlah tak makan nasi. Tak apalah, kita makan kat luar aje. Apa kata kita makan kat Seri Pantai, kat Queenabay, nak?" cadang Fareez.

"Ikut sukalah," jawab Qarina, acuh tak acuh. 

Entah kenapa, dia terasa sangat menyampah dengan Fareez petang ini. Segala tingkah gedik Nelly dan ramah Fareez terhadap perempuan itu bermain-main dalam mindanya. Cemburukah dia? Tidak! Dia tidak mahu ada apa-apa perasaan terhadap Fareez. Itu nekadnya, tetapi kalau dia cemburu pun tidak salah. Fareez suaminya. Aduh, kini hatinya mula berbelah bahagi. Qarina menggaru-garu kening. 

***********************************************************************************************

PUAN Fatimah masih di talian. Sudah satu jam lebih dia menggunakan telefon. Kesemua adik-beradik Encik Hussain dan adik-beradiknya sendiri sudah dikhabarkan dengan berita perkahwinan Fareez. Nekadnya, biarlah apa yang hendak dikatakan orang, dia kenal fareez macam mana. Kalau hendak diikutkan cakap orang, memang terlingkuplah rumah tangganya. 

Dia sedar, kemungkinan besar ahli keluarganya yang lain pasti menganggap ada perkara buruk yang telah dilakukan Fareez sehingga menyebabkan dia menikahi Qarina dalam keadaan yang begitu. Biarlah apa yang dianggap mereka. Hanya dia dan Encik Hussain yang tahu apa sebenarnya yang terjadi. Yang paling terkejut besar dengan perkahwinan itu pastilah Puan Mariam. Dari nada Puan Mariam, Puan Fatimah dapat berasa kekesalannya. 

"Tak habis lagi ke bergayut tu, Cikgu Timah?" tegur Encik Hussain. 

Naik rimas dia melihat isterinya bergayut di telefon sejak tadi. 

"Dah habis dah," jawab Puan Fatimah. 

"Macam mana? Dah habis semua orang awak beritahu fasal anak awak tu?" soal Encik Hussain. 

"Dah, hisy abang ni. Macam perli saya aje. Saya cuma nak khabarkan berita tu aje. Tak adalah yang salah faham bila tengok Reez keluar berdua dengan Qina. Taklah Iqram tu sakitkan hati Qina lagi," ujar Puan Fatimah. 

"Baguslah, awak pun redalah sama. Yalah, hajat awak nak buat kenduri ala-ala mak datin tu tak kesampaian," usik Encik Hussain sambil tersenyum kambing. 

"Suka sangatlah tu. Tak apalah, jimat sikit duit saya. Tapi, kenduri tetap nak buat jugak. Tapi, tak adalah besar mana pun. Ingat nak buat tahlil dengan doa selamat aje," ujar Puan Fatimah. 

"Alhamdulillah, tu yang paling baik. Nampaknya, perkahwinan di antara Reez dengan Qina ada hikmahnya. Dapat elakkan awak daripada buat pembaziran dan mengelakkan daripada timbul sikap riak. Yalah, dah majlis grand, naik banggalah awak nanti, Cikgu Timah," ujar Encik Hussain. 

"Memang dah nasib saya dapat suami suka perli-perli. Nak buat macam mana, reda ajelah," ujar Puan Fatimah sambil menjeling. 

"Marah? Awak kalau marah, bertambah-tambah manislah Cikgu Timah. Tu yang saya sayang kat awak," usik Encik Hussain, tersenyum. 

Isteriku Naik Hantu karya Syikin ZainalWhere stories live. Discover now