TERKIAL-KIAL Puan Mariam mencari nombor telefon bimbit kakaknya. Dia hanya mahu memastikan, adakah benar apa yang dikatakan Balqis sebentar tadi. Andai benar, entah apa yang harus dikatakan. Kasihan juga dia melihat anaknya. Pasti Iqram makan hati apabila melihat Qarina di samping Fareez. Baru dia tahu bagaimana perasaan Qarina sewaktu Iqram membuat keputusan untuk bersama dengan Balqis.
"Assalamualaikum, Mah. Aku ni, Yam," ujar Puan Mariam memperkenalkan diri.
"Waalaikumussalam, Yam. Sihat ke?" soal Puan Fatimah.
"Sihat, Mah. Saja aje aku menelefon ni. Lama tak dengar cerita fasal kau dan anak-anak," jawab Puan Mariam.
"Iya ke? Aku sihat. Yalah, dah tua-tua macam nilah. Anak-anak semua duduk jauh," ujar Puan Fatimah.
"Duduk jauh? Reez ke mana?" soal Puan Mariam.
"Reez dah kerja kat Penang sekarang, Yam. Tinggallah aku dengan Abang Hussain aje kat rumah ni. Iqram tak beritahu ke?" soal Puan Fatimah.
Dia tahu, pasti Puan Mariam sudah tahu tentang berita Fareez, tetapi sengaja kakaknya itu buat-buat tidak tahu.
"Iqram? Balik rumah pun dengan muncung 14. Qis ada beritahu aku yang dia ada jumpa Reez, tapi tak pulak diceritakan fasal Reez kerja kat sana. Aku ingatkan Reez saja jumpa kawan dia kat sana," ujar Puan Mariam.
"Tak adalah Yam, dia dah kerja kat sana. Aku dah larang tapi dia tergedik jugak nak kerja kat sana. Nak kata apa, kan?" ujar Puan Fatimah.
"Aku nak tanya sikit ni. Qis ada beritahu aku yang Reez nak bertunang. Betul ke?" soal Puan Mariam.
"Reez ada jugak beritahu, tapi tak pasti lagilah Yam. Tapi kau jangan susah hati. Ada rezeki nanti, aku jemputlah kau anak-beranak," ujar Puan Fatimah dengan senyuman meleret.
"Jadi, kau kenallah dengan bakal tunang Reez tu? Orang mana?"
"Hmm... orang Pahang aje. Alah, bagilah dia orang kenal hati budi dulu," ujar Puan Fatimah.
"Siapa nama budak perempuan tu?" Terus sahaja Puan Mariam bertanya.
"Beritahu nama pun, bukan kau kenal, Yam. Namanya Qarina, dah berumur sikit. Sama baya dengan Iqram kalau tak salah aku, tapi kecil molek orangnya. Baik pekertinya, berkenan jugaklah aku menengoknya," puji Puan Fatimah.
Puan Mariam menarik nafas panjang. Nampaknya, memang makan hatilah Iqram.
"Baguslah kalau macam tu. Yalah, tapi kau tak kisah ke? Yalah, Reez tu baru 26 tahun, kan sama baya dengan Ikin tu. Kalau perempuan tu sebaya dengan Iqram, maknanya dah 30 tahunlah," ujar Puan Mariam.
"Kalau dah berkenan, tolak ke tepi aje semua tu. Aku tak kisah Yam, janji dia boleh jaga Reez. Kepala otak Reez tu, bukan betul sangat. Takkan kau tak tahu, kut? Lagipun, budak Qarina tu nampak macam budak sekolah pun ada. Putih orangnya. Aku ingatkan anak Cina manalah, rupa-rupanya Melayu. Kecil aje orangnya, Yam. Dengan Reez rasanya paras bahu Reez tingginya," cerita Puan Fatimah, panjang lebar. Bangga sungguh dia ingin bermenantukan Qarina.
"Tak apalah Mah, aku letak telefon dulu. Nanti kenduri kahwin anak Lijah bulan depan, bawaklah bakal menantu tu sekali. Bolehlah kenal-kenal," cadang Puan Mariam.
"Betul jugak tu. Nantilah aku beritahu Reez. Darah tinggi kau macam mana?" soal Puan Fatimah.
"Okeylah, aku dah tak makan masin-masin sekarang. Takut kena strok. Tak apalah Mah, aku nak masak dah ni. Nanti anak-anak balik, kebulur semuanya. Assalamualaikum, kirim salam pada Abang Hussain ya," ujar Puan Mariam, terus mematikan talian.
"Mak telefon siapa tu?" soal Salina.
Dari tadi, ralit sungguh emaknya bersembang sehingga tidak nampak dia yang baru pulang dari kerja. Di luar rumah, dia melihat kereta milik adiknya ada di perkarangan rumah.
"Dengan Mak Lang Timah. Awal kau balik hari ni, Ina?" soal Puan Mariam kepada anak sulungnya yang sudah kematian suami empat tahun yang lalu.
"Tak banyak kerja, mak. Apa khabar mak lang? Iqram ada balik?" soal Salina.
"Mak lang kau sihat. Iqram? Ada kat dalam bilik. Balik dengan Qis," beritahu Puan Mariam.
"Aik, Qis pun balik? Apa mimpi dia? Selalunya, Iqram balik sendiri aje," ujar Salina. Dia memang tidak berapa kamceng dengan adik iparnya itu.
"Hmm..." jawab Puan Mariam, ringkas.
Salina terus menuju ke dapur. Tekak yang haus harus diisi dengan minuman sejuk, baru terasa segar.
"Mak bakar sampah ke?" soal Salina sebelum meneguk air. Dia masih dapat melihat saki-baki bakaran yang ada.
"Bukan mak, tapi Iqram."
"Iqram bakar sampah? Apa mimpi budak tu?" soal Salina, kehairanan.
Bukan dia tidak kenal dengan Iqram. Jangankan hendak membakar sampah, hendak pegang penyapu pun malas.
"Mimpi apa? Makan hati. Habis dibakarnya semua barang yang Qina bagi," cerita Puan Mariam.
"Baru sekarang nak bakar? Bukan dulu dia cakap, jangan buang barang dalam kotak tu ke? Apa mimpi pulak baru sekarang nak bakar? Takut binilah tu," tuduh Salina. Dia tahu bagaimana perasaan adiknya terhadap Qarina.
"Tak baik tuduh Qis. baru-baru ni, mereka berdua ke Pulau Pinang, terjumpa dengan Qina," cerita Puan Mariam.
"Qina? Iya ke? Lama tak dengar derita pasal dia. Habis tu, kenapa dia nak makan hati pulak? Masa dia kahwin dengan Qis, tak fikir ke yang Qina tu makan hati ke tak? Dengan kawan baik sendiri pulak tu. Qina dah kahwin ke mak?" soal Salina bertubi-tubi.
"Belum. Tapi nak bertunang dah, tu yang Iqram makan hati sangat," jawab Puan Mariam.
"Baguslah tu. Tapi, kenapa Iqram nak makan hati pulak? Biarkan ajelah Qina tu nak bertunang ke nak kahwin ke. Kenapa dia nak marah? Dia nak suruh Qina tunggu dia ke?" marah Salina. Tidak faham sungguh dengan perangai adiknya itu.
"Masalahnya, Qina tu nak bertunang dengan Reez, anak Mak Lang Timah. Tu yang mak tanya pada mak lang kau tadi," ujar Puan Mariam.
Hampir tersembur minuman yang ada di dalam mulut Salina.
"Dengan Reez ke? Biar betul, mak? Reez tu bukan sebaya Ikin ke?" soal Salina.
"Mak lang pun dah setuju," ujar Puan Mariam.
"Nampaknya, bukan Iqram aje yang makan hati, tapi Ikin pun makan hati jugak. Dia kan suka pada Reez," ujar Salina.
"Jangan lupa, Qis pun makan hati jugak," tambah Puan Mariam.
Kemudian, dia mengeluh. Malang nasib anaknya kalau Fareez dan Qarina jadi kahwin. Dia tahu, Iqram masih sayang pada Qarina dan anak bongsunya pula sejak dulu memang suka pada Fareez. Kalau ada kenduri kahwin, pasti Fareez dan Ikin akan digosipkan. Semasa mengisi borang UPU dulu, Fareez yang nasihatkan Ikin supaya mengikuti kursus perguruan dan Ikin mengikut sahaja apa yang dikatakan Fareez.
"Mak tak beritahu mak lang yang kita kenal dengan Qina?" soal Salina.
"Taklah Ina, tak sanggup mak nak beritahu dia. Dengar suara mak lang kamu tu, cerianya bukan main. Tapi mak teringin sangat nak jumpa dengan Qina. Dah lama tak jumpa dengan dia. Sejak Iqram kahwin, sekali aje dia telefon mak. Menangis-nangis dia masa tu," ujar Puan mariam.
"Yalah, kesian dia. Ina pun tahu, mak. Reez dengan Iqram bukan tak banyak bezanya, warna kulit sama, muka pun ada iras-iras. Perangai pun lebih kurang. Agaknya, sebab tulah Qina terpikat dengan Reez kut. Kalau dah jodoh mereka, biarkanlah," ujar Salina.
"Mak tak kisah, tapi Iqram tulah. Mak tengok dah lain macam aje. Tadi, sampai berkecai gelas dibalingnya. Habis gambar-gambar Qina dibakarnya," adu Puan Mariam.
"Gelaklah si Qis tu," ujas Salina.
Puan Mariam menjeling ke arah anaknya. Mujurlah Balqis ada di dalam bilik bersama-sama Iqram. Kalau tidak, muncung lagilah mulut menantunya itu.
YOU ARE READING
Isteriku Naik Hantu karya Syikin Zainal
RomantizmSekadar Berkongsi. Kalau suka, sila beli. https://www.karangkrafmall.com/isteriku-naik-hantu Persahabatan Qarina dimusuhi teman baik sendiri. Sepuluh tahun dia mengunci rapat pintu hatinya. Baginya, kasih pada Iqram adalah kasih tersimpul mati. Dia...