Cinta adalah sesuatu yang kadang-kala memenatkan untuk dilakukan. Ia mampu buat kita rasa seperti sedang berlari tidak kiralah seorang diri yang mana ia sangat sedih dan sunyi atau pun dengan pasangan di sisi sambil tangan digenggam kemas dan ditarik tanpa ada ruang untuk mencuri nafas. Ya, sepenat itu.
Bila mana hidup tanpa cinta itu ada yang membayangkan ibarat malam tanpa bintang, aku dengan tenang menganggapkan yang hidup tanpa cinta itu ibarat berjalan-jalan mengelilingi tasik sambil menghirup udara segar. Tapi, di akhirnya akan tiba di mana tempat bermulanya perjalanan itu dan kau akan dapati yang perjalanan kau itu tadi tiada makna. Tenang tapi tiada makna.
Kerana mencintai itu seharusnya seperti satu perjalanan yang sarat dengan adventure. Seharusnya kita harus melalui dengan penuh elemen suprise dan menikmatinya perlahan-lahan. Penat tapi menyeronokkan. Lebih menarik jika setiap momen disertakan sekali dengan sebuah lagu yang akan diulang dengar untuk merasai keseronokkan itu sekali lagi.
Aku jenis yang suka mengingati sesuatu yang menarik dan melupakan apa-apa sahaja yang tidak mencecah tahap seronok. Lagu-lagu yang akan aku selitkan sendiri di dalam kepala hanya untuk aku mengingatinya kembali di malam hari saat aku susah tidur dengan hanya memainkan semula lagu-lagu itu. Lagu tentang kita. Lagu tentang aku dan kau. Lagu aku untuk dia dan sebaliknya. Ah, mudah.
Dan akhir-akhir ini ada sebuah lagu yang sering bermain di kepala aku. Ah, jujur aku katakan yang aku tidak pun mahu mengingati lagu ini apatah lagi untuk mengingati momen yang bersembunyi di sebalik lagu ini. Tapi, momen itu sebenarnya tidaklah mencecah level seronok yang aku tetapkan. Lalu aku jadi pelik kenapa lagu ini sering sekali bermain di kepala dan lebih teruk ia sering dimainkan di radio. Mungkin kerana itu aku kurang mendengar radio.
Ya, ia sudah tentu tentang dia. Dia yang aku gelarkan sebagai cinta yang gagal. Gagal. Tidak seronok langsung perkataan tu. Malah ia dalam diam buat aku rasa geram dan penuh dengan negativiti. Aku tidak suka itu memandangkan aku ini seorang lelaki yang penuh dengan positiviti dan aku optimis! Ini tidak boleh diterima!
Tapi, mungkin kerana semakin lama aku semakin dewasa. Akhirnya aku anggap ia satu kelebihan buat aku. Kelebihan untuk melihat semula momen yang telah berlaku tidak kiralah ia menyeronokkan atau pun penuh dengan negativiti. Cinta yang gagal bukan lagi masalah buat aku kerana aku tahu yang gagal itu bukan bermaksud tiada lagi cinta di dunia ini buat aku. Aku pasti masih ada cinta di luar sana yang masih belum aku jumpa. Mungkin dia juga sedang memainkan lagu-lagu yang mengingatkan dia tentang cinta yang gagal miliknya.
Jadi malam ini, aku ambil keputusan untuk memainkan lagu ini berulang kali hingga aku tertidur dengan harapan aku akan berjumpanya di dalam mimpi hanya untuk bertanya khabar kerana mengingati sesuatu yang ingin dilupakan itu sesungguhnya ada rahsia yang tersimpan kemas menunggu untuk dibongkarkan.
p.s: #nowplaying Bau - Warkah
YOU ARE READING
Sedetik Rasa Hati Yang Tidak Terluahkan
RandomKadang-kadang, ada rasa yang tak dapat kita luahkan yang akhirnya kita pendam dan simpan hanya untuk diri kita sendiri. Bukan kerana kita kedekut, tapi mungkin kerana ada rasa yang tidak boleh dikongsi walau pun kita cuba sedaya upaya untuk meluahka...