Semalam sama seperti malam-malam yang biasanya. Malam yang tenang tanpa bunyi. Malam yang dingin dan tiada cahaya bulan yang mengetuk tingkap bilik untuk masuk. Yang ada cuma dinginnya angin malam. Angin yang bertiup entah dari mana tapi aku dapat rasakan ia datang dari tempat kamu yang masuk melalui pintu beranda yang aku bukakan sedikit dan ia memeluk aku yang ketika itu sedang merindui kamu. Aku yakin itu kerana semalam kamu datang dan mengintai aku dari pintu beranda. Aku yang ketika itu sedang duduk di sofa menikmati secawan kopi kegemaran aku dan kamu satu ketika dahulu sambil membaca kembali buku nota yang kita tuliskan bersama-sama. Entah kenapa tapi aku yakin yang setiap kali aku membaca buku nota ini, kamu akan datang mengintai di pintu beranda. Kali ini kamu mengunjungiku dengan wajah yang sedih. Sama seperti selalunya, air mata yang bertakung di mata kamu itu perlahan-lahan mengalir ketika melihat aku. Kenapa kamu tidak datang membawa kegembiraan bersamamu untuk dikongsi bersama aku, aku pun tidak tahu.
Kamu perlahan-lahan masuk ke dalam bilik ku dan tanpa disuruh kamu terus baring di tepi ku dengan peha ku dijadikan bantal. Pandangan matamu itu tidak terlepas memandang tepat ke mataku. Ah, aku lemas. Aku lemas dalam kolam matamu. Sekali lagi aku lemas. Kamu hanya baring sambil melihat aku. Senyap. Tiada sepatah yang keluar. Aku sambung membaca buku nota itu sambil sesekali mengusap kepalamu. Aku nampak sedikit senyuman terbit dari wajah mu. Aku berharap sungguh yang kesedihan yang dibawa bersamamu sebentar tadi akan hilang perlahan-lahan dan yang tinggal cuma rasa cinta yang aku kongsikan bersamamu.
Kamu menarik tanganku dan digenggam erat. Tanganku dirapatkan ke pipimu. Dapat aku rasakan panas air matamu yang masih mengalir perlahan. Mungkin baki daripada kesedihan tadi. Aku harap tiada lagi air matamu yang tertumpah. Sekurang-kurangnya cukuplah setakat itu untuk malam ini. Kamu bermain-main dengan jari-jemariku. Ruangan di antara jari-jarimu dipenuhi dengan jari-jariku. Sempurna seperti jigsaw.
Aku letak buku nota di atas meja. Aku mengusap perlahan kepalamu sambil sesekali aku memintal perlahan hujung rambutmu yang separas dada itu. Tidak terlalu panjang bagi aku kerana aku suka kamu menyanggulkan rambutmu. Hangat tanganmu terasa di tapak tanganku yang kamu genggam sedari tadi. Aku lihat ke dalam anak matamu. Seperti ada sesuatu yang ingin kamu luahkan. Kemudian, menghelakan nafas yang berat. Kamu melihat ke dalam mataku sambil menyoal perlahan, "Bolehkan terus menyanyi untuk ku? Selamanya?"
Aku mengganguk perlahan sambil mengucup dahimu dan kamu tersenyum manis sambil matamu terpejam. Jari-jarimu merangkul jari-jariku erat. Semakin merapat. Aku gelisah, lalu mengendurkan sedikit jari-jari tanganku darimu, tapi kamu tetap menggenggamku erat. Seakan tidak mahu lepas. Seakan kamu takut aku pergi meninggalkanmu. Kemudian, radio memainkan lagu yang sayup-sayup kedengaran dari sofa. Ianya lagu James Morrison, "The Pieces Don't Fit Anymore".
Why I can't explain why it's not enough
Cause I gave it all to you
And if you leave me now
Oh just leave me now
It's the better thing to do
It's time to surrender
It's been too long pretending
There's no use in trying
When the pieces don't fit anymore
The pieces don't fit anymoreTiba-tiba, kamu bangun dari baringan. Genggaman tanganmu kau lepaskan perlahan-lahan. Kamu berjalan perlahan-lahan ke pintu beranda. Kamu melihatku dengan satu pandangan yang sedih. Air mata itu mengalir lagi. "Awak terus nyanyi untuk saya. Saya akan sentiasa setia mendengar. Tapi, saya tak boleh bersama dengan awak. I just can't.". Kamu kemudian terus hilang terbang entah ke mana tanpa ucapan selamat tinggal atau mungkin satu kucupan terakhir untuk aku. Tiada.
Aku tersedar. Rupanya aku bermimpi. Buku nota masih di tangan dan dapat aku rasakan air mata yang mengalir perlahan dari mata sebelah kiri. Semalam sama seperti malam-malam yang biasanya. Malam yang tenang tanpa bunyi. Malam yang dingin dan tiada cahaya bulan yang mengetuk tingkap bilik untuk masuk. Yang ada cuma dinginnya angin malam. Aku harap mimpi itu kekal bersamaku kerana saat mataku terbuka, semuanya telah berubah dan itu sangat menyakitkan.
YOU ARE READING
Sedetik Rasa Hati Yang Tidak Terluahkan
De TodoKadang-kadang, ada rasa yang tak dapat kita luahkan yang akhirnya kita pendam dan simpan hanya untuk diri kita sendiri. Bukan kerana kita kedekut, tapi mungkin kerana ada rasa yang tidak boleh dikongsi walau pun kita cuba sedaya upaya untuk meluahka...