Dan selepas berlari di dalam hujan petang semalam, aku pulang ke rumah. Aku bancuh secawan Mocha panas untuk memanaskan badanku yang ketika itu sangat sejuk. Aku berdiri di beranda rumahku. Aku hirup perlahan-lahan sambil melihat hujan yang masih turun dengan lebatnya membasahi bumi.
Tiba-tiba ada soalan yang bermain di fikiran ku - apakah begitu dalam cinta kau kepada dia? Adakah itu cinta atau sayang hinggakan kau jadi begitu? Aku sendiri tidak faham entah kenapa akhir-akhir ini, setiap ucapan kata-kata cinta yang aku dengar membuatkan mataku berkaca dan akhirnya ia pecah dan pipiku akhirnya basah.
Kemudian ada soalan lain pula datang dan berpusing di dalam kepala aku - bagaimana rasanya membenci seseorang? Aku jarang sekali hendak membenci sesiapa walau sesakit mana aku rasakan. Dan bagaimana hendak berkata tidak walau pun kita tahu ia ada? Soalan dan soalan lagi.
Aku bertanya dan terus bertanya kepada diriku, mencari jawapan yang aku sendiri tidak pasti siapa yang mampu menjawabnya. Kawan ku pernah berkata, "Mengapa kau sendiri tidak tanya diri kau, apa yang sebenarnya kau mahu kan? Itu lebih penting." Tanpa aku sedar, persoalan kawan ku tadi membuatkan aku menangis kembali. Lengan baju menggantikan tisu dan mengesat air mata yang meleleh.
"Hati boleh berubah. Manusia boleh berubah. Apa yang kita fikirkan akan sentiasa berubah mengikut keadaan." kawan ku berkata lagi. "Lalu, apa yang kekal? " aku menyoal kawan ku. "Memori." dia senyum kepadaku. Ah, memori. Jawapan yang bagi aku seperti sukar untuk aku terima.
Ia boleh jadi gembira dan sedih atau mungkin gabungan dua perasaan ini yang pada aku seperti kopi dan coklat. Ia boleh jadi sepahit kopi, menyakitkan dan menyedihkan. Ia juga boleh jadi semanis coklat, menyeronokkan dan menggembirakan. Atau, ia boleh jadi seperti mocha. Manis dah pahit yang bersatu dan menghasilkan satu rasa yang sukar untuk aku gambarkan. Aku hirup lagi Mocha yang aku bancuh tadi. Ya, seperti ini.
Mungkin saat ini yang aku inginkan cuma - melupakan segalanya sebentar. Berharap untuk aku menipu diri sendiri dan tersenyum sambil berkata, "I'm fine." Tiada siapa akan persoalkan "I'm fine" yang datangnya daripada seorang lelaki sama ada ia jujur atau pun ia hanya jawapan palsu yang digunakan untuk menipu mereka semua dan lebih teruk menipu diri sendiri.
Mungkin itu bukanlah sebuah harapan tapi doa, kerana katanya doa ketika hujan turun akan dimakbulkan Tuhan. Jadi, aku tambah sedikit doaku dan berdoa agar penipuan ini menjadi kebiasaan dan aku terlupa yang aku sedang menipu. Ah, Mocha aku sudah sejuk. Lebih baik aku habiskan mocha aku ini dan terus tidur sambil berselimut di dalam bilik.
YOU ARE READING
Sedetik Rasa Hati Yang Tidak Terluahkan
RandomKadang-kadang, ada rasa yang tak dapat kita luahkan yang akhirnya kita pendam dan simpan hanya untuk diri kita sendiri. Bukan kerana kita kedekut, tapi mungkin kerana ada rasa yang tidak boleh dikongsi walau pun kita cuba sedaya upaya untuk meluahka...