BAB 2

6.8K 151 0
                                    

AARIZ berdiri betul-betul di hadapan pintu bilik tidur yang dikhaskan untuk dia dan isterinya. Tidak! Bilik itu sebetulnya untuk Syafiq dan Dahlia. Memikirkan hakikat itu, perasaan serba salah mula menerpa masuk ke dalam dirinya. Dia tidak pernah menduga majlis perkahwinan adiknya boleh tiba-tiba sahaja bertukar menjadi perkahwinannya sendiri.

"Fiq kat mana sekarang? Apa abang patut buat?" soalnya. Lebih kepada bermonolog, menyoal diri sendiri.

Tangannya diangkat dengan perasaan ragu-ragu dan kemudian memegang tombol pintu. Aariz mengeluh perlahan. Hatinya berdebar-debar. Tidak dapat dibayangkan apa perasaan Dahlia apabila dia masuk nanti. Tombol pintu dipulasnya penuh hati-hati.

Jelas di matanya Dahlia yang sedang duduk di birai katil. Isterinya hanya tunduk sambil menggenggam tangan. Aariz sedar Dahlia sedang cuba untuk menahan perasaannya. Perasaan apa? Marah mungkin, sedih mungkin.

Dahlia dapat melihat dengan jelas susuk tubuh yang menghampirinya dari hujung matanya. Namun dia tetap seperti tadi. Langsung tidak bergerak, langsung tidak mahu mendongakkan kepala. Biarlah, biarlah apa pun yang terjadi selepas ini. Dia sudah tidak mahu ambil peduli lagi. Hidupnya seperti berakhir saat ditinggalkan oleh Syafiq dan pada saat dia terpaksa bersetuju untuk berkahwin dengan Aariz.

Bagi Dahlia, perbuatan Syafiq memang tidak boleh diterima. Bukan kerana dia mempunyai perasaan pada Syafiq atau terlalu mencintai lelaki itu, kerana sejujurnya, dia memang tidak pernah punya perasaan istimewa pada Syafiq. Tetapi Dahlia geram kerana maruah. Perbuatan Syafiq betul-betul telah menjatuhkan maruah dia dan maruah keluarganya.

Ditinggalkan pada hari perkahwinan sendiri? Perempuan jenis apakah dia sehingga diperlakukan begitu oleh bakal suami sendiri? Dahlia tahu ramai orang akan bercakap mengenai hal itu nanti.

Langkah Aariz terhenti betul-betul di hadapan Dahlia. Perlahan dia merendahkan tubuh. Lututnya kini elok terletak di atas permaidani. Wajahnya pula betul-betul bertentangan dengan wajah Dahlia yang sedari tadi hanya tunduk tanpa sebarang reaksi.

"Are you okay?" Suara Aariz kedengaran lembut di telinga Dahlia.

Dahlia mengangkat wajah. Matanya kini bertentangan dengan sepasang mata bundar milik suaminya. Ada ketenangan yang cuba diada-adakan di mata itu. Dahlia sedar Aariz juga seperti dirinya. Cuba untuk bertenang dengan apa yang terjadi, tapi hanya Tuhan yang tahu perasaan mereka.

"Awak fikir? Lepas semua yang dah jadi ni, saya boleh okey ke?" Sinis jawapan Dahlia sambil melarikan pandangannya dari wajah Aariz, suaminya yang sah.

Dahlia tidak bermaksud untuk menjawab kasar, tapi... entahlah, dia seperti tidak mampu untuk mengawal perasaan marahnya sedangkan dia tahu Aariz juga adalah mangsa keadaan. Tidak sepatutnya Aariz yang menjadi tempat untuk dia melampiaskan amarahnya.

"Betul cakap awak tu. Apa punya soalan tu, kan?" balas Aariz. Dia bangun dan mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Dahlia. Sama-sama duduk di birai katil.

Cepat-cepat Dahlia menjarakkan dirinya daripada Aariz. Tidak selesa duduk rapat dengan lelaki itu. Belum sempat pun dia bergerak jauh, tangannya tiba-tiba sahaja ditarik. Automatik dia berpaling ke arah suaminya itu.

"Tak perlu jauh sangat. Saya bukannya nak buat apa-apa pada awak. Saya cuma nak berbincang dengan awak," jelas Aariz. Suaranya penuh kelembutan. Dia sedar Dahlia sedang marah, jadi lebih baik dia menggunakan pendekatan yang lembut.

"Kalau nak berbincang, tak perlu rapat pun, kan? Tak perlu pegang tangan saya pun." Lagi kata-kata yang keluar dari mulut Dahlia berupa sindiran yang tajam. Sesaat kemudian Dahlia mengetap bibir. Dia bercakap kasar lagi.

Aariz tidak menjawab. Dia hanya membiarkan soalan itu tanpa jawapan. Namun, pegangan tangannya dilepaskan perlahan-lahan. Dahlia lantas menarik tangannya kembali.

JODOH ITU MILIK KITA (Published)Where stories live. Discover now