DAHLIA memandang wajahnya di cermin dan memicit lehernya beberapa kali. Lenguh! Sejak siang tadi tidak habis-habis dia melayan tetamu yang datang ke majlis yang diadakan di sebelah pihak Aariz. Tidak habis-habis juga dia ditanya tentang pertukaran pengantin lelaki. Mujur juga Aariz tidak pernah meninggalkan dia sendirian. Jadi, tidak perlulah dia menjawab. Semuanya Dahlia serahkan pada Aariz dan pelbagai alasan juga yang diberikan oleh lelaki itu.
"Oh, itu sebenarnya ada kesilapan masa printing kad kahwin. Syafiq yang tolong order. Itu yang orang tu tersilap."
Itulah jawapan selamba Aariz. Jawapan yang Dahlia kira langsung tidak logik. Tetamu-tetamu yang bertanya juga tidak bodoh untuk percaya bulat-bulat. Namun, dia lega apabila mereka tidak bertanya lebih lanjut. Dahlia juga pandai memainkan peranan. Semua yang dikatakan Aariz diiyakan sahaja, sambil tersenyum manis. Mahu berlakon konon-kononnya lelaki yang sepatutnya dia kahwini benar-benar adalah Aariz Danial.
"Letih?" Telinga Dahlia menangkap sepatah kata.
Mata Dahlia memandang cermin di hadapannya. Dari pantulan cermin, jelas kelihatan Aariz yang tegak berdiri di belakangnya. Perlahan Dahlia mengangguk sambil melemparkan senyuman buat suaminya itu.
"Itulah, semua benda dia nak buat. Macamlah dia ada empat tangan," bebel Aariz sambil tangannya mula memegang bahu Dahlia dan memicitnya lembut.
Dahlia terkedu, agak terkejut dengan tindakan selamba Aariz. Namun dibiarkan sahaja perbuatan suaminya itu. Sepanjang satu minggu perkenalannya dengan Aariz, dia semakin faham dengan perangai suaminya yang sangat penyayang dan sangat menjaga dia. Dalam hati, Dahlia senang diperlakukan begitu. Rasa terlalu dihargai.
Pernah sekali Dahlia menyoal kenapa dia sering diperlakukan begitu olah Aariz. Dan jawapan yang diperolehinya membuatkan Dahlia sedikit tersentak.
"Sebab hati awak dah dilukai oleh adik saya sendiri. So I've to heal your heart. Itu tanggungjawab saya. Apa-apa pun yang dah dilakukan oleh keluarga saya, saya perlu betulkan semuanya. Because my family is my everything."
Jauh nada suara Aariz sewaktu memberikan jawapan. Saat itu Dahlia seperti dapat melihat luka yang dalam pada pandangan mata Aariz. Namun sekejap cuma, apabila Aariz menyambung lagi jawapannya.
"Lagipun... awak ni comel sangat. Buat saya rasa macam nak jaga awak, and nak protect awak. You know, bila saya kahwin dengan awak ni, saya bukan saja dapat seorang isteri, tapi saya juga dapat kawan baru yang comel sangat-sangat."
Jawapan Aariz itu membuatkan Dahlia ketawa. Sejak dia mengahwini Aariz, hampir setiap hari dia dipuji comel oleh suaminya itu. Dahlia sendiri tidak pasti apa yang comel tentang dirinya.
"Nasib baik saya tak ada empat tangan. Kalau tak, saya ni dah kira alien tau. Awak dah kahwin dengan alien empat tangan. Ho, ho, ho!!!" usik Dahlia sambil ketawa pura-pura ala-ala Santa Claus, menjawab bebelan suaminya tadi. Meletus ketawa Aariz.
"Ngok! Itu pula yang dia fikir," jawab Aariz dalam ketawanya yang masih bersisa. Tangannya laju sahaja menarik hidung Dahlia.
"Awak! Saya tahulah hidung saya tak mancung macam hidung awak, tapi janganlah tarik hidung saya," marah Dahlia sambil menggosok hidungnya berkali-kali. Mulutnya sedikit muncung.
Aariz ketawa lagi.
"Mulalah tu, muncung macam itik. Cium karang!" usik Aariz lagi.
Mendengarkan kata-kata Aariz, automatik Dahlia berpaling ke belakang. Menjegil matanya besar-besar dan menekup mulut.
"Hmmm... hmmm... hmmm...." Dahlia cuba bercakap dengan mulutnya yang masih ditutup.
"Kalau nak cakap, jangan tutup mulut tu. Buruk punya perangai." Aariz mula membebel. Tangannya dicekak ke pinggang. Membuat gaya serius.
YOU ARE READING
JODOH ITU MILIK KITA (Published)
RomanceNOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: "Kita tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai kerana kita akan berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah telah tetapkan sejak az...