"AARIZ, thanks. Saya gembira sangat dapat jumpa Redza dengan Teja," ucap Dahlia sambil memandang Redza, Teja dan Joshua yang semakin jauh daripada pandangan matanya.
Ikhlas suara Dahlia menyuarakan rasa gembiranya kerana Aariz membenarkannya mengadakan majlis itu.
Aariz tidak menjawab. Hanya pandangan matanya sahaja yang tertancap pada wajah manis Dahlia. Sejujurnya, dia masih teringatkan kata-kata yang diucapkan Redza tadi.
"Mungkin jodoh dia adalah awak. Dan jodoh awak adalah Dahlia."
Kata-kata itu seperti terngiang-ngiang di telinganya.
Dahlia tidak mempedulikan suaminya yang tidak membalas kata-katanya dan berpaling masuk ke dalam rumah. Hatinya benar-benar riang. Tiba-tiba telefon di ruang tamu berbunyi. Dahlia yang berdiri berdekatan terus sahaja mengangkat gagang telefon.
Aariz memerhati dari jauh. Hatinya diserbu rasa aneh apabila melihat wajah Dahlia yang tiba-tiba berubah. Wajah riang tadi kelihatan terkejut. Hampir-hampir sahaja Dahlia terjelepuk ke atas permaidani namun sempat dia menyambut tubuh kecil isterinya itu.
Tangan Dahlia terketar-ketar, wajahnya pucat dan dadanya turun naik dengan laju, seakan-akan sukar untuk bernafas.
"Lia, Dahlia... are you okay?" Aariz menyoal dengan penuh rasa ambil berat.
Dahlia mengangkat wajah sebelum merenung tepat ke dalam mata Aariz.
"U... u... umi...." Tersekat-sekat suara yang keluar dari kerongkong Dahlia.
Aariz terpempan. Umi?
*****
DAHLIA menyelimutkan umi dengan penuh hati-hati. Wajah tua itu disentuh dengan lembut sebelum Dahlia menunduk dan mencium dahinya. Aariz di sebelah hanya melihat tanpa kata.
"Jom, keluar. Kita bagi umi rehat," ujar Dahlia pada Aariz seraya berpaling.
Aariz tetap tidak berganjak. Hatinya berat untuk meninggalkan ibunya di dalam bilik itu seorang diri. Hatinya juga sakit kerana tiada apa yang dapat dia lakukan untuk meringankan penderitaan umi. Perlahan Aariz menarik nafas panjang dan menggenggam tangan. Dalam hati, dia mengutuk diri sendiri kerana tidak dapat menjaga dan melindungi umi dengan baik.
Dahlia yang perasan Aariz tidak menurutinya keluar, menoleh kembali. Wajah tegang suaminya ditatap. Timbul rasa kasihan pada lelaki itu. Perlahan dia merapati Aariz dan mengambil kedua tangan lelaki itu. Digenggam tangan itu sambil bibirnya mengukirkan senyuman. Senyuman yang Dahlia pasti kelihatan canggung memandangkan senyuman itu jelas dibuat-buat. Ya! Dia tidak mampu untuk tersenyum dengan riang dalam keadaan sebegini. Namun Dahlia tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukannya bagi menenangkan perasaan suaminya itu.
Wajah Dahlia hanya dipandang tanpa kata. Tiada juga senyuman yang biasanya Aariz ukirkan buat isterinya. Hanya pandangan kosong yang mampu lahir dari hatinya yang gundah gulana.
"Jom. Kita tengok abah." Dahlia bersuara dengan lembut sambil tangannya menarik Aariz keluar.
Aariz membuntuti tanpa sebarang kata. Dia hanya mengikut langkah isterinya.
Tuan Haikal memerhati anak dan menantunya yang semakin merapati. Wajah sugul Aariz meruntun jiwanya. Dia tahu Aariz terlalu menyayangi ibunya. Bagi Aariz, ibunya bukan sahaja seorang wanita yang telah menghadiahkannya dengan kasih sayang seorang ibu, malah ibunya adalah seorang penyelamat yang telah menariknya keluar dari sebuah kehidupan yang penuh kegelapan. Dan kerana itulah Aariz sanggup berbuat apa sahaja demi ibunya.
"Abah, abah macam mana? Okey?" soal Dahlia sebaik sahaja berdepan dengan bapa mertuanya. Soalannya dibalas dengan anggukan, lemah sekali.
"I'm fine. Tapi, abah bimbangkan umi kamu tu. Semalam keadaan dia tu tak adalah teruk sangat. Cuma pagi tadi tiba-tiba aje dia asyik muntah-muntah, sampai pengsan," terang Tuan Haikal perlahan.
![](https://img.wattpad.com/cover/48195179-288-k580637.jpg)
YOU ARE READING
JODOH ITU MILIK KITA (Published)
عاطفيةNOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: "Kita tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai kerana kita akan berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah telah tetapkan sejak az...