BAB 17

4.4K 84 0
                                    

AARIZ meraup wajahnya beberapa kali. Keluhan berat dilepaskan. Dia benar-benar buntu. Sudah lebih sebulan berlalu sejak umi memintanya mencari Syafiq. Pelbagai cara sudah dia ambil untuk mencari adiknya yang seorang itu, namun tetap juga dia tidak mendapat informasi yang ditunggu-tunggu.

Penyiasat persendirian yang diupahnya pernah mengkhabarkan bahawa Syafiq tidak lagi berada di Malaysia. Menurut rekod dan maklumat yang diperolehnya, Syafiq kini berada di Wellington, New Zealand. Aariz sendiri tidak pasti apa yang dicari adiknya di negara itu. Setahu Aariz, keluarga mereka tidak punya sanak-saudara di sana. Syafiq juga tidak mungkin punya teman-teman di sana kerana Syafiq belajar di tanah air, dan bukan di luar negara sepertinya.

Aariz juga sudah pun menghubungi sahabat-sahabatnya di Wellington, meminta pertolongan mereka untuk mencari Syafiq. Namun tidak ada seorang pun daripada mereka yang sudah mendapat berita tentang adiknya itu. Aariz sedar, Syafiq memang sengaja melarikan diri dan tidak mahu sesiapa pun menemuinya. Mencari orang yang tak mahu ditemui tidak ubah seperti mencari sesuatu yang mustahil.

Jika diikutkan hati, mahu sahaja dia mengalah. Dan terus sahaja berhenti daripada mencari Syafiq. Tetapi apabila difikirkan tentang umi yang benar-benar merindui Syafiq, terpaksa juga Aariz bertahan dan meneruskan usahanya untuk mencari adiknya itu.

Kadang kala Aariz berasa geram dan marah terhadap adiknya yang difikirkan sangat mementingkan diri. Lelaki jenis apa yang sanggup meninggalkan ibu yang sedang menderita sakit? Juga meninggalkan tunangnya pada hari pernikahan sendiri? Mengingatkan hakikat itu, terbit rasa ingin membelasah adiknya itu. Sungguh! Dia benar-benar berasa geram atas tindakan Syafiq.

"Astaghfirullahalazim. Aku tak boleh marah macam ni...." Aariz beristighfar dalam hati sebelum menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri.

"Maybe ada sebab kenapa dia buat macam tu." Hati Aariz berbisik.

Aariz cuba memikirkan yang baik-baik tentang Syafiq namun seketika kemudian dia mengeluh lagi. Mindanya seakan tidak dapat memikirkan apa-apa sebab penting yang dirasakan membawa kepada tindakan gila Syafiq.

"Kau ni kenapa? Sekejap-sekejap mengeluh. Dah tak betul ke?" Tiba-tiba Aariz disergah.

Aariz tersentak, agak terkejut dengan kemunculan Joshua yang tiba-tiba sahaja berada di depan pintu biliknya. Tangannya mengurut dada perlahan.

"Kau jangan muncul tiba-tiba depan aku, boleh tak? And then sergah orang macam tu? Nasib baik aku tak kena heart attack," marah Aariz kepada Joshua yang masih lagi berdiri di muka pintu.

Joshua mencebik.

"Aku tak muncul tiba-tibalah, wei! Aku rasa dah almost five minutes aku tercegat kat sini. Kau tu yang tak sedar!" tempelak Joshua kembali. Tangannya memeluk tubuh.

Aariz terdiam. Dia langsung tidak perasan akan kehadiran Joshua di situ.

"Oh, ya ke? Sorrylah, aku tak perasan." Penuh rasa bersalah Aariz menjawab.

Joshua memandang wajah Aariz dengan teliti. Wajah itu seperti sedang menyimpan rasa yang sangat berat. Wajah orang yang bermasalah. Perlahan Joshua menapak masuk sebelum duduk bertentangan dengan Aariz.

"What's wrong? You look bad, man...."

Aariz melepaskan keluhan perlahan. Hari itu sudah berkali-kali dia mengeluh. Walaupun dia sedar tidak elok mengeluh begitu, namun tetap juga dia tidak dapat mengelakkan diri daripada berbuat demikian.

"Kau ada problem dengan your wife ke?" Joshua menyoal lagi. Membuat andaian bahawa sahabatnya itu punya masalah dengan isterinya.

Mendengarkan telahan Joshua itu, laju sahaja Aariz menggeleng.

JODOH ITU MILIK KITA (Published)Where stories live. Discover now