BAB 14

3.8K 80 0
                                    

ALYA berjalan laju untuk pulang ke rumahnya. Dia tidak mahu terserempak dengan Syafiq yang mungkin masih mahu mengganggunya. Sejak Syafiq muncul semula dalam hidupnya, dia benar-benar berasa tidak tenteram. Lelaki itu selalu sahaja muncul di hadapannya tidak kira di mana dia berada. Tidak kira ketika mahu ke kelas, atau ketika ke kedai, atau ketika dia keluar bersama kawan-kawannya.

Kadang-kala Alya merasakan seperti Syafiq adalah seorang 'stalker' yang menghendapnya, yang sentiasa menghantuinya, yang mungkin akan berbuat apa-apa terhadapnya. Dan sesungguhnya dia berasa takut terhadap Syafiq. Ketakutannya bertambah apabila teringatkan tindakannya yang menimbulkan soal abang Syafiq, Aariz Danial sewaktu mereka bergaduh dua hari yang lepas.

Entahlah... Alya sendiri tidak tahu kenapa dia berani berkata begitu terhadap Syafiq walaupun dia cukup tahu bahawa itu adalah satu kepantangan bagi Syafiq. Ketika itu dia seakan-akan bertekad untuk berhadapan dengan Syafiq, meluahkan apa yang dirasakannya dan menghamburkan kata-kata yang Alya pasti akan menyakitkan hati Syafiq. Ya, Alya memang sengaja mahu menyakitkan hati Syafiq!

Kini, Alya berasa sedikit menyesal atas kata-katanya itu. Dia tidak tahu apa yang akan dilakukan Syafiq terhadapnya sebagai balasan.

"Laju nampak." Tiba-tiba telinga Alya menangkap suatu suara yang amat dikenalinya.

Automatik tubuh Alya terkaku. Kakinya seolah-olah digam dan langsung tidak dapat digerakkan. Telinganya pula jelas mendengar derap langkah Syafiq yang semakin menghampiri.

Perlahan Alya menelan air liur.

"Awak nak lari daripada saya, kan?" Suara Syafiq kedengaran betul-betul di hujung telinganya.

Alya tersentak. Jantungnya bedegup kencang manakala tangannya mula terketar-ketar. Suara Syafiq yang perlahan dan mendatar benar-benar menakutkannya.

Dan kini wajah Syafiq sudah pun berada betul-betul bertentangan dengannya. Wajah itu serius dan sedang memandangnya dengan suatu pandangan yang sangat tajam, seakan-akan mahu membunuhnya dengan pandangan itu.

"Kenapa awak nampak takut ni? Hari tu bukan main lagi awak 'serang' saya," sindir Syafiq apabila melihat wajah Alya yang sudah pun pucat.

Alya tetap membatu. Suaranya langsung tidak dapat dikeluarkan daripada kerongkong. Hanya matanya yang terkebil-kebil memandang wajah Syafiq.

'Ya Allah! Tolonglah hamba-Mu ini. Selamatkanlah aku daripada Syafiq.' Dalam hati Alya berdoa agar Syafiq tidak akan bertindak bodoh dan melakukan apa-apa terhadapnya.

"Kenapa diam? Dah tak tahu nak cakap apa? Atau awak nak saya ingatkan awak? Pasal Aariz Danial, maybe?" Syafiq menyambung lagi. Wajahnya mempamerkan senyuman sinis yang benar-benar menakutkan Alya.

Perlahan Alya menarik nafas dalam-dalam. Tangannya digenggam, seakan-akan mencari kekuatan melalui genggaman itu.

"A... apa... awak nak daripada saya?"

Syafiq tidak terus menjawab, sebaliknya dia menarik pergelangan tangan Alya, seakan mahu gadis itu mengikutnya.

"Apa ni? Apa awak nak buat ni???" jerit Alya. Dia cuba menarik tangannya kembali. Namun usahanya sia-sia sahaja kerana ternyata pegangan Syafiq pada tangannya sangat kemas dan kuat.

Tidak semena-mena Syafiq berpaling dan menarik Alya menyebabkan gadis itu terdorong betul-betul ke hadapannya. Kemudian dia menundukkan kepala dan mendekatkan wajahnya pada wajah Alya.

"Awak ingat apa yang akan saya buat pada awak?" jawab Syafiq dengan senyuman sinis yang jelas terpamer pada wajahnya.

Alya sedikit tergamam. Pandangan tajam dihalakan pada wajah Syafiq yang dekat benar dengan wajahnya sebelum mengundurkan tubuh ke belakang. Tangannya masih berada di dalam genggaman lelaki itu.

JODOH ITU MILIK KITA (Published)Where stories live. Discover now