"BERANI Fiq balik sini lagi???" Bergegar rumah Tuan Haikal pada petang yang hening itu dengan suara lantang pemiliknya.
Puan Marina tersentak.
Aariz hanya tenang di sisi ibunya.
Syafiq yang sedang tercegat berdiri di hadapan pintu rumah pula mempamerkan wajah tanpa reaksi. Kosong! Namun matanya sempat menjeling ke arah abangnya, Aariz Danial yang sedang memeluk lengan umi. Serta-merta perasaan jelak dan sebal singgah di hatinya. Ah, Aariz memang tidak habis-habis dengan sikap suka mengambil hati dia itu!
"Siapa benarkan Fiq jejakkan kaki kat rumah ni, hah?" tempelak Tuan Haikal lagi. Keras dan tegas.
'Abah tanyalah anak kesayangan abah tu. Suruh dia jawab! Dia yang beriya-iya sangat suruh Fiq balik!'
Walaupun hati Syafiq ingin benar membentak begitu, namun ditahan-tahan rasa itu agar keadaan tegang itu tidak lagi makin teruk jadinya. Dia tidak mahu kepulangannya ke rumah itu berakhir dengan dia dihalau keluar pula. Jika diikutkan hati, dia memang tidak mahu pulang, tetapi apabila diingatkan kembali perbuatan Aariz yang tidak henti-henti memaksanya pulang, terpaksalah dia menebalkan muka untuk kembali.
Sungguh! Dia benar-benar rimas dengan tindakan Aariz. Lelaki itu memang tidak habis-habis mahu menyusahkan hidup dia.
"Fiq, cukuplah sekali Fiq hancurkan hati umi, hati abah. Fiq sanggup ke nak biarkan umi terkilan lagi sebab Fiq tak nak balik rumah?"
"Umi tu sakit, Fiq! Kalau ada apa-apa jadi pada umi, Fiq mesti akan menyesal nanti...."
Itulah kata-kata Aariz yang ditujukan khas buat Syafiq tatkala abangnya itu tiba-tiba sahaja muncul di hadapan pejabatnya petang semalam. Kata-kata itu lembut dan bersahaja tetapi mempunyai maksud yang sangat dalam. Syafiq sedar Aariz sengaja menyuntik rasa bersalah dalam hatinya agar dia tunduk pada permintaan lelaki itu untuk pulang ke rumah, ke pangkuan umi dan keluarga itu.
Namun apabila Syafiq tetap berdegil tidak mahu pulang, lain pula pendekatan yang diambil oleh abangnya itu. Suatu pendekatan yang langsung tidak pernah diduga oleh akal fikiran Syafiq. Pendekatan yang lebih keras dan tiada kompromi.
"Kalau Fiq tetap berdegil, abang akan buat sampai Fiq setuju. You do know who I am and what I'm capable of doing, kan?"
Ucapan yang berbaur ugutan itu benar-benar membuatkan Syafiq tersentak. Ya, dia tahu siapa abangnya itu. Aariz Danial bukanlah seorang lelaki yang calang-calang orangnya. Seorang jurutera muda yang membina kejayaan dalam usia yang masih boleh dikira sebagai mentah, juga mempunyai pengaruh bukan sahaja dalam dunia kejuruteraan bahkan dalam dunia korporat kerana kemampuannya untuk menghasilkan pilot plant yang kompleks bagi syarikat-syarikat besar.
Ah, bos mana yang tidak suka apabila mereka boleh menjimatkan kos sehingga jutaan ringgit kerana rekaan abangnya itu!
Jadi boleh dikatakan lelaki yang bernama Aariz Danial itu mampu menjatuhkan dia dalam sekelip mata. Tetapi Syafiq juga tahu siapa abangnya di sebalik gahnya kejayaan lelaki itu. Siapa Aariz Danial yang sebenarnya, bayang-bayang yang berdiri di sebalik nama itu... dia tahu semuanya!
Atau... mungkin juga bukan semua, tetapi Syafiq yakin sekurang-kurangnya dia tahu lima puluh peratus daripada rahsia hitam Aariz Danial. Rahsia yang disimpan oleh keluarga Tuan Haikal sejak munculnya Aariz dalam kehidupan mereka. Rahsia yang tidak boleh disebut langsung!
"Yes, I do know. I know you very well...."
Jawapan sinis itu yang dihadiahkan buat Aariz membayangkan betapa Syafiq tidak gentar pada ugutan abangnya itu. Tetapi bukanlah keinginan Syafiq untuk terus-terusan melawan Aariz di hadapan pejabatnya. Dia bukan bodoh untuk menjatuhkan reputasinya sendiri.
![](https://img.wattpad.com/cover/48195179-288-k580637.jpg)
YOU ARE READING
JODOH ITU MILIK KITA (Published)
RomanceNOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: "Kita tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai kerana kita akan berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah telah tetapkan sejak az...