AARIZ menolak troli dengan penuh hati-hati, takut-takut terlanggar sesiapa yang mungkin tiba-tiba muncul di hadapannya. Matanya memandang bahagian sisi Dahlia yang sedang asyik membelek shopping list yang sempat disediakan oleh isterinya tadi semasa sedang bersiap untuk keluar.
Dahlia jelas sedang mengerutkan dahi sambil memusing-musing pen yang dipegangnya. Mulutnya terkumat-kamit. Mungkin sedang mengira barang yang telah dibeli atau mengomel tentang barang yang belum ditemuinya atau mungkin juga tidak berpuas hati dengan harga yang ditawarkan.
'Apalah yang dia buat tu? Cakap sorang-sorang,' komen Aariz dalam hati. Dahlia kelihatan kelakar di matanya.
"Aariz! Kejap, sini!!!" Dahlia tiba-tiba berpaling ke arahnya. Tangannya diangkat, melambai-lambai.
Aariz menolak troli dan menghampiri Dahlia yang kembali membelek shopping list yang dipegangnya. Dahi isterinya itu berkerut.
"Dah naik hargalah. Lapan puluh sen pula tu. Last time saya datang sini tak mahal macam ni pun." Dahlia menyuarakan rasa tidak puas hatinya tanpa memandang Aariz yang sudah berdiri di sampingnya.
Aariz mengerling ke arah longgokan bawang di hadapannya. Hatinya ingin ketawa. Rupa-rupanya Dahlia bermuram durja dan berwajah serius begitu hanya kerana selonggok bawang.
"Saya tahulah bawang dah naik harga, tapi tak sangka bezanya macam ni sekali. Isy, tak sukalah!" Dahlia masih terus-terusan memberi komen dengan serius. Aariz yang sedang berdiri di sebelah langsung tidak dipedulikan.
"Tapi kena beli jugak. Kalau tak ada bawang, macam mana nak masak, kan?" sambung Dahlia lagi, masih bercakap sendiri.
"Setengah kilo rasanya cukup, kan?" Dahlia akhirnya memalingkan wajah pada Aariz dan menyoal lelaki itu.
Ketawa Aariz yang ditahan-tahan sejak tadi akhirnya meletus. Dia memegang perut, cuba mengawal ketawa yang seperti tidak habis-habis meledak.
Dahlia hanya memandang dengan wajah yang penuh kehairanan.
"Awak ni... awak ni... kelakar, awak tahu tak?" Aariz cuba bersuara diselangi dengan ketawa yang tidak dapat ditahan-tahan.
Dahlia mengerutkan dahi, tanda tidak berpuas hati dengan kata-kata suaminya. Apa yang kelakar tentangnya?
"Awak, janganlah gelak lagi. Orang dah tengok tu. Malulah." Dahlia seolah-olah memarahi Aariz. Dipandangnya sekeliling, melihat kalau-kalau ada pengunjung lain yang memerhatikan mereka berdua.
Dan ternyata mereka memang menarik perhatian orang apabila telinga Dahlia dapat mendengar dengan jelas satu suara memanggil namanya.
"Hei, Lia! Dahlia!!!"
Dahlia menoleh ke arah tuan empunya suara.
Ketawa galak Aariz serta-merta mati, lantas pandangan matanya tertumpu kepada seorang lelaki yang berjalan ke arahnya dan Dahlia.
"Redza! Awak buat apa kat sini?" Riang suara Dahlia menyapa lelaki asing yang kelihatan kemas dan bergaya itu.
"Adalah, beli barang sikit." Lelaki itu menjawab sambil memandang sekilas ke arah Aariz yang hanya berdiri di sebelah Dahlia tanpa kata. Wajah lelaki asing itu kelihatan sedikit kehairanan.
"Tak nak kenalkan, ke?" Lelaki bernama Redza itu menyoal Dahlia sambil mengangkat kening.
Riak wajah Dahlia serta-merta berubah. Jelas kelihatan tidak selesa apabila diminta memperkenalkan Aariz. Tadi sewaktu Dahlia ceria bertegur-sapa dengan Redza, langsung dia terlupa akan suaminya itu. Perlahan Dahlia melepaskan nafas.
YOU ARE READING
JODOH ITU MILIK KITA (Published)
RomansaNOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: "Kita tidak akan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai kerana kita akan berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah telah tetapkan sejak az...