BAB 3

6.6K 133 0
                                    

PERLAHAN Dahlia membuka mata. Sedikit demi sedikit sebelum matanya terkebil-kebil memandang siling. Dahlia cuba berfikir, cuba mengingati apa yang telah terjadi. Namun fikirannya keliru. Kepalanya dipicit beberapa kali, masih cuba mengingati segalanya.

Fikirannya menerawang pada majlis perkahwinannya, pada saat-saat dia dikahwinkan dengan Syafiq, tunangnya. Seketika kemudian, Dahlia teringatkan sesuatu. Tidak! Dia tidak berkahwin dengan Syafiq! Lelaki dalam ingatannya bukan Syafiq, tetapi Aariz. Ya, Aariz Danial. Dahlia terus terbangun dari pembaringan. Cepat-cepat dia memandang sekeliling.

Dalam kelam, samar-samar mata Dahlia menangkap sekujur tubuh yang kaku di atas sofa. Dahlia mengerlipkan mata beberapa kali, cuba untuk memastikan apa yang dilihatnya. Ya, itulah dia. Aariz Danial, suaminya.

Lambat-lambat Dahlia bangun dari katil dan menapak ke arah Aariz yang sedang lena. Dia berhenti betul-betul di sebelah sofa dan kemudiannya duduk bersila di atas lantai. Pandangan Dahlia tidak lepas daripada Aariz. Ditelitinya wajah tenang itu. Kening yang elok terlukis, hidung yang sedikit mancung, bibir merah tanda tidak merokok dan kulit yang kuning langsat.

Dahlia cuba membandingkan wajah Aariz dengan Syafiq. Syafiq berkulit hitam manis, mempunyai kening yang agak tebal, hidung yang lebih mancung berbanding Aariz dan bibir yang lebih tebal.

"Diorang tak sama," getus Dahlia tanpa sedar. Cepat-cepat dia menutup mulut, takut-takut Aariz akan tersedar.

"Apa yang tak sama?" Tiba-tiba Aariz menjawab.

"Aaaahhh!!!" Dahlia terjerit. Agak kuat.

Tergesa-gesa Dahlia berundur ke belakang. Dadanya diurut sambil matanya terkebil-kebil memandang Aariz yang sudah mula bangun dan duduk di atas sofa. Selimut yang menyelimutinya ditarik lebih erat. Sejuk mungkin.

"Good morning," ucap Aariz sambil menguap beberapa kali.

Dahlia tidak menjawab. Masih terkejut.

"Lia, are you okay?" Aariz menyoal setelah agak lama Dahlia kelihatan terkaku di hadapannya. Dia menggerakkan tangan beberapa kali di hadapan Dahlia.

"Yang awak kejutkan saya macam tu kenapa? Nasib baik tak terkeluar jantung saya," marah Dahlia.

Aariz tersenyum. Nampaknya emosi Dahlia sudah tenang. Tidak lagi sedih seperti semalam. Dipandangnya wajah Dahlia yang sedikit masam. Namun, perasaan amarah sudah tidak kelihatan lagi pada wajah itu. Aariz berasa lega.

"Siapa yang kejutkan siapa sebenarnya ni? What are you doing down there? Elok pula tu bersila atas lantai," jawab Aariz diselangi dengan soalan juga.

Dahlia dapat merasakan darah menyerbu ke wajahnya. Malu! Dia sendiri pun tidak pasti kenapa dia berbuat demikian. Tadi sewaktu dia bangun dan melihat Aariz tidur begitu, terdetik di hatinya mahu melihat lebih jelas wajah suaminya. Semalam langsung tidak sempat untuk dia meneliti wajah itu. Mungkin kerana perasaan marah yang dibendungnya.

"Saja. Nak test macam mana rasanya duduk atas lantai macam ni." Selamba jawapan Dahlia sambil bangun dan menepuk punggung yang terasa agak kebas.

Meletus ketawa Aariz mendengar jawapan selamba yang keluar dari mulut mungil Dahlia. Sungguh dia tidak menyangka Dahlia seorang yang lucu begitu. Hilang sudah imej garang dan tidak berperasaan yang dilihatnya sejak semalam.

Dahlia hanya memandang Aariz yang sedang ketawa galak. Dia sedar lelaki itu sedang mentertawakannya. Rasa geram menerpa masuk ke dalam hatinya.

"Jangan ketawakan saya, boleh tak? Suka hati dia aje nak ketawakan kita," bebel Dahlia, tanda tidak puas hati.

JODOH ITU MILIK KITA (Published)Where stories live. Discover now