TENGKU Izz Luthfan berdiri di hadapan pintu Jabatan Kecemasan dengan dada yang masih turun naik. Pandangannya tidak pernah beralih daripada pintu yang baru sahaja membawa isterinya masuk beberapa minit lalu.
Bunyi roda pengusung yang semakin menjauh masih terngiang-ngiang di telinganya. Tangannya menggenggam erat fail perubatan milik Zara sehingga buku jarinya memutih. Dia menarik nafas panjang, namun rasa sesak di dada langsung tidak berkurang.
Matanya jatuh pada gambar imbasan ultrasound yang terselit di celah fail itu.
Ovarian Cyst.
Perkataan itu membuatkan dia menutup mata seketika.
Telefon bimbit di dalam poket seluar dikeluarkan sebelum memandang lama pada skrin. Jemarinya teragak-agak.
Akhirnya, dia menekan salah satu nama yang berada dalam senarai panggilan.
Mama.
Tidak sampai tiga deringan, panggilan itu dijawab.
"Assalamualaikum, Luth. Ada apa? Dah balik ke?"
Suara lembut milik Tengku Indah kedengaran seperti biasa. Namun kali ini, Tengku Izz tidak mampu membalas dengan nada yang sama.
"Waalaikumussalam, Ma..."
Suara yang keluar kedengaran serak. Di hujung talian, terus menangkap perubahan itu.
"Luth? Kenapa dengan kamu ni? Kamu menangis ke?"
Tengku Izz menggeleng perlahan walaupun dia tahu Tengku Indah tidak dapat melihatnya.
"Ma..."
Dia menelan liur berkali-kali.
"Zara..."
Nafasnya tersekat.
"Zara dekat hospital."
Beberapa saat talian menjadi sunyi.
"Hospital?" Suara Tengku Indah mula berubah cemas.
"Kenapa dengan Zara? Dia kemalangan ke?"
"Bukan..."
Tengku Izz mengusap wajahnya perlahan.
"Luth baru balik kerja. Sampai rumah... Luth nampak dia tengah kemas barang. Lepas tu tiba-tiba dia pengsan depan Luth."
Dia menarik nafas panjang sebelum menyambung.
"Masa beg dia jatuh... Luth jumpa surat doktor."
"Surat doktor?"
"Doktor cakap dia ada anemia... dan ada cyst dekat ovari." Di hujung talian, hanya kedengaran hela nafas panjang.
"Ya Allah..."
Suara wanita itu perlahan, seolah-olah sedang cuba menerima apa yang baru didengarinya.
"Sekarang Zara macam mana?"
"Dia masih dekat dalam. Doktor belum keluar lagi."
Luthfan menundukkan kepala. Buat pertama kali sejak berkahwin, dia benar-benar berasa takut kehilangan seseorang.
"Ma..."
Suara lelaki itu semakin perlahan.
"Luth rasa bersalah."
"Kenapa pula?"
"Luth suami dia... tapi Luth langsung tak sedar dia sakit."
Air mata yang ditahan sejak tadi akhirnya gugur juga.
"Luth sibuk sangat dengan kerja... sibuk fikir pasal masalah dekat airline... sampai Luth tak perasan isteri Luth sendiri tengah menanggung sakit seorang diri." Tengku Indah turut terdiam beberapa saat. Hatinya sebak mendengar suara anak lelakinya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Mr. Smile Jodohku [og]
Romance𝙏𝙚𝙣𝙜𝙠𝙪 𝙄𝙯𝙯 𝙇𝙪𝙩𝙝𝙛𝙖𝙣 𝙓 𝙕𝙖𝙧𝙖 𝘼𝙦𝙚𝙚𝙡𝙖 My 1st story. (synopsis edited) 𝙕𝙖𝙧𝙖 𝘼𝙦𝙚𝙚𝙡𝙖. Gadis yang malang dalam dunia percintaan, sekali lagi nasib sama menyebelahi dirinya apabila dia dicurangi oleh cik tunangnya sendiri...
![Mr. Smile Jodohku [og]](https://img.wattpad.com/cover/360065236-64-k496088.jpg)