Pergi ke pulau menaiki sampan
Pagi-pagi lagi dah hilang kesabaran.
"JUJURLAH sayang, aku tak mengapa. Biar semua jelas telah berbeda, jika nanti aku yang harus pergi, kuterima walau sakit hati..." suara nyaring seseorang menyanyi riang saat itu mengejutkan aku dari tidur. Jam di sebelah, aku kerling sebaik mataku berjaya dibuka. Cis, baru pukul lapan pagi, cuti hujung minggu begini selalunya aku bangun lambat, almaklumlah nak qadha balik tidurku yang terganggu kerana setiap hari harus bangun awal untuk ke tempat kerja.
Nyanyian sumbang di luar bersama alunan petikan gitar benar-benar menganggu membuatkan aku tak mampu nak tidur walaupun sudah kupaksa mataku untuk pejam dan menekup telingaku dengan bantal. Hesy, ini memang bikin aku marah. Ingatkan sudah bendera merah, bolehlah aku tidur lebih lama tanpa sebarang gangguan lepas tak payah bangun untuk solat Subuh pagi tadi. Kusangka panas hingga ke petang, rupa-rupanya dah ada katak puru menyanyi pagi-pagi. Grrrr!
Bantal di kepala, aku baling ke dinding sebelum aku bangun dengan sebal di hati. Aku keluar dari bilik dengan wajah yang bengang, rasa macam nak patahkan saja gitar mamat yang memekak pagi-pagi buta itu. Aku jenguk bilik Hajar, dia masih tidur dengan nyenyak sambil mendakap bantal peluknya erat. Haih, memang tak sia-sia orang beri dia gelaran ratu tidur. Suara sumbang punya kuat kat luar, dia boleh tak terkesan langsung.
Aku mencapai tudung yang tersangkut sebelum menjenguk keluar dengan baju kelawarku. Peduli apa, bukan tak tutup aurat, baju ni kan jenis berlengan panjang. Heh. Sebaik wajahku tersembul di muka pintu, anak saudara Mak Ngah Ana itu terhenti memetik gitar.
"Eh kak. Selamat pagi." Dia tersengih ceria sambil bangun dari duduknya tanda hormat kepadaku.
"Sekarang pukul berapa ya awak?"
"Hmmm... baru pukul lapan lebih." Dia bersuara sambil merenung jam di tangan kirinya.
"Oh tau pun baru pukul lapan. Yang awak dah memekak awal-awal pagi ni kenapa? Awak tau tak saya, kawan saya dan ramai lagi orang dekat flat ni nak tidur. Malam tadi awak dah menyanyi kan? Kenapa pagi ni awak nak menyanyi lagi? Kalau nak menyanyi pun tunggu la petang-petang sikit ke." Aku dah mula membebel secara senafas. Dia cuma ketawa mendengarkan kata-kataku itu. Aku tak faham, ada ke aku buat lawak tadi?
"Yang awak gelak ni kenapa?"
"Tak elok tau anak dara tidur sampai tengah hari." Pang, rasa macam sesuatu menampar pipi. Baik punya sentap.
"Suka hati sayalah nak tidur sampai bila, sampai esok ke. Masalahnya awak yang buat bising."
"Dah pagi kan, anggap sajalah nyanyian ni untuk kejutkan orang dari tidur, bangun pagi kan bagus, pintu rezeki terbuka luas. Kalau solat dhuha lagi cenggini." Dia mengangkat ibu jari tangannya tanda bagus.
"Awak dah dhuha ke?"
Dia menggaru kepalanya sebelum menggeleng dan tersengih kepadaku.
"Kalau belum buat, pergi buat. Jangan kacau orang nak tidur dengan nyanyian sumbang tu. Ok selamat pagi." aku kembali melangkah masuk ke dalam rumahku semula tanpa menunggu reaksi mamat itu. Hati dah sebal, lagi layan lagi macam-macam pulak nanti dia tu.
"Kau kenapa Fatih? Pagi-pagi dah keluar, pergi beli sarapan ke?" Hajar menyoal sambil menahan kuap, matanya digosok tanda masih mengantuk.
"Tak ada apa-apalah. Awal kau bangun hari ni." Aku malas hendak bercerita tentang hal tadi kepada Hajar.
"Aku belum nak bangun la. Nak pergi tandas je kejap, lepas tu aku nak sambung tidur..." Hajar memejam matanya tanda belum puas tidur.
YOU ARE READING
Mamat Muka Selenga
Hayran KurguORANG cakap, tak kenal maka tak cinta. Tapi kalau baru tengok muka pun dah meluat gila-gila, macam mana nak suka, apatah lagi nak jatuh cinta? Aku bukanlah nak memilih sangat bab mencari jodoh ni, tapi kalau boleh nak la juga bakal suami aku tu oran...