Suhana duduk diam sambil mendengar pembentangan laporan setiap unit dalam mesyuarat pengurusan yang wajib dihadirinya. Muk kopi panas dipusing-pusing sambil memandang ke arah Zarief yang duduk setentang dengannya. Lagak macam tiada apa-apa pun yang berlaku antara mereka.
"Babe, kau kenapa?" soal Anita berbisik. Muka serius dan ketat Suhana membuatkan dia tertanya-tanya. Apa yang tak kena?
"Tanpa cinta tiadalah cerita," kata Suhana berkias.
Anita telan air liur. Dalam fikirannya mula mengesyaki yang Suhana bergaduh dengan Zarief. Dulu masa belajar ada sekali Suhana sentap dengan kekasih alam maya. Sampai berjela-jela puisi cinta yang dikarang dan dilekat pada papan putih di depan meja belajar. Macam tak percaya pula budak kejuruteraan komputer boleh jiwang macam budak sastera. Tapi itulah hakikatnya. Dalam diri Suhana memang tersembunyi jiwa sastera.
"Dah nak nikah kut. Sabar, Enna. Sabar... Mana ada perhubungan yang tak diduga. Jangan ikut sangat sakit hati tu. Kata cinta sama cinta," nasihat Anita yang faham sangat fiil Suhana.
Suhana menoleh ke arah Anita. Hati rasa berat nak bercerita. Ya, benar mereka bertunang atas dasar cinta sama cinta. Percintaan alam maya yang bersulam hampir lima tahun tanpa dia sendiri peduli siapa empunya diri. Cukuplah dikenali dari nama samaran saja. Mereka tetap berhubung seperti biasa. Pertemuan pertama ketika si dia memperkenalkan diri membuatkan Suhana terkejut tak percaya. Suhana teringat kembali detik-detik tersebut.
Cik Enna: Abang, saya dah sampai kat lobi Cyberview lounge. Abang di mana?
Putera Kampung: Jumpa waiter di kaunter. Abang dah tempah meja untuk dua orang. Enna makan dulu. Abang terlewat sikit. Kejap lagi abang sampai. Dalam perjalanan.
Cik Enna: Okey, saya dah duduk di meja ni. Abang kat mana ni? Ke abang tak jadi datang?
Suhana berlalu ke kaunter bufet untuk mengambil sepotong dua kuih bersama sepiring buah sementara menunggu Putera Kampung hadir. Hampir setengah jam menunggu, datang seorang pelayan ke arah Suhana. Jambangan 101 kuntum bunga mawar merah dihulur.
Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi minta dijawab. Mata Suhana melirik pada skrin telefon bimbit yang tertera nama Putera Kampung.
"He... lo," ucap Suhana cemas.
"Kenapa lambat sangat Enna jawab panggilan abang ni? Tak cantik ke bunga tu?" soal Putera Kampung lembut.
"Bukan pasal bunga tak cantik..."
"Dah tu?"
"Terkesima..." jawab Suhana yang masih keliru.
"Hailah, Cik Enna. Sekarang Enna pandang ke belakang," arah Putera Kampung.
Suhana akur dengan arahan Putera Kampung. Dia menoleh ke belakang. Dia memandang seorang pemuda yang masih memegang telefon duduk di atas kerusi roda. Pemuda itu masih menyembunyikan identiti diri di sebalik topeng putih yang hanya menampakkan dua biji mata saja.
"Sayalah Encik Putera Kampung awak, wahai Cik Nurul Suhana." Putera Kampung masih berkata-kata menerusi telefon.
"Awak Putera Kampung saya?" Jantung Suhana berdebar kencang.
"Enna terkejut bila tengok abang yang cacat ni ke?" tanya Putera Kampung.
"Tidak! Cuma apa yang saya lalui malam ni sungguh mendebarkan. Abang buatkan jantung saya kerja lebih masa malam ni." Sempat Suhana berjenaka bagi meredakan keresahan dalam diri.
"Enna tak kesah abang cacat?"
"Tidak."
"Abang tak boleh pimpin tangan Enna ketika berjalan bersama."
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...