SEBAIK sahaja Suhana sampai di Dine In, dia terus berlalu ke pejabat. Dia tahu Chinobe tidak akan berada di sini. Masuk sahaja di pejabat, dicapainya gitar kapuk milik Chinobe lalu dibawa turun ke pentas kecil di hujung restoran. Dek rasa marah dan geram yang membuak dalam hati, terus hilang sifat pemalunya. Dia ingin lepaskan segala yang terbuku dalam hati.
Johan terlopong melihat gaya Suhana yang selamba. Tiada langsung sifat malu bak daun semalu yang digondolnya dulu. Petikan gitar Suhana sambil diiringi piano menyerikan suasana tenang Dine In. Memang waktu malam begini Dine In menjadi tempat lepak bagi golongan profesional yang inginkan suasana santai dan selesa untuk janji temu perniagaan. Setiap malam pasti ada alunan muzik instrumental secara live di sini. Itu menjadi tarikan unik buat Dine In.
"Kak Enna tu kenapa, bos?" Seorang pramusaji bertanya pada Johan yang memerhati dari kaunter pembayaran.
"Demam kus-kus dia menyerang kut. Biarlah. Pergi buat kerja," suruh Johan.
Alunan lagu Have You Ever Been In Love dendangan Celine Dion dialunkan dengan penuh perasaan hingga tanpa sedar air matanya turut mengalir. Suhana menundukkan kepala sambil memejamkan mata. Selesai lagu tu, Suhana merapati pemain piano dan berkata sesuatu. Kemudian dia menarik mikrofon. Johan yang duduk memerhati kini sudah berdiri tegak. Ini kali pertama dalam hidupnya dia melihat Suhana seberani itu.
"I want one moment in time,
When I'm more than I thought I could be,
When all of my dreams are a heartbeat away,
And the answers are all up to me,
Give me one moment in time,
When I'm racing with destiny,
Then in that one moment of time,
I will feel... I will feel eternity..."
Suara Suhana bergema dengan penuh emosi. Lagu dendangan Whitney Houston bertajuk One Moment In Time menggambarkan apa yang terbuku dalam hatinya tika ini.
Selesai saja, tepukan gemuruh daripada kakitangan Dine In mengejutkan Suhana yang masih lagi mengelamun hingga membuatkan pipinya berona merah. Barulah dia tersedar dari rasa marah dan geram yang terkumpul dalam hatinya tadi.
"Lega?" soal Johan sewaktu Suhana menghampirinya.
"Lega tapi malu. Lupa diri sekejap," ucap Suhana yang sedang menekup pipinya.
"Sedap suara Enna. Boleh setanding dengan Bee," puji Johan ikhlas.
"Bee tu bukan tandingan Enna, Abang Joe. Dia dah kira profesional. Enna ni nak kata amatur pun tak. Dik, buatkan Kak Enna jus epal kurang ais, ya." Suhana meminta penuh sopan pada pramusaji yang lalu di hadapannya.
"Minah tu tak payah ceritalah. Dia biasa karok. Kalau tidak, tak ada maknanya pentas tu ada kat situ. Mujurlah sejak dah bernikah ni jadi pemalu sikit. Taklah terkinja-kinja sangat macam dulu. Ayu aje Abang Joe tengok. Bagus bimbingan cinta Chad tu," puji Johan membuatkan Suhana angguk tanda setuju.
"Jodoh, bang. Kenal sekejap lepas tu kahwin lebih baik daripada cinta bertahun lepas tu renggang," balas Suhana kemudian mengeluh perlahan.
"Gaduh dengan Rieflah ni, ya? Enna... Enna... Biasalah tu adat orang bercinta. Mana ada gembira aje. Mestilah ada pasang surutnya. Nak pula kau orang berdua ni dah nak dekat kahwin. Memang akan bergaduhlah. Jangan ikutkan sangat kata hati tu. Godaan-godaan masa bertunang ni getir sikit. Enna kena dekatkan diri dengan Allah. Jangan layan sangat bisikan-bisikan songsang yang berlagu tu," nasihat Johan kepada Suhana.
"Entahlah, bang. Dada Enna sejak dua menjak ni memang tak tentu arah langsung. Puas Enna cari jawapannya. Mungkin bila dah berjauhan nanti baru pulih kut."
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...