Parsha lepak bersama Najmi dan Widad di warung nasi lemak kukus di Kampung Baru. Minggu depan dia mula bertugas selepas bercuti sakit selama tiga bulan akibat kemalangan motosikal. Sepanjang tempoh bercuti Parsha tidak duduk diam. Dia ke sana ke mari dengan teman rapatnya, Najmi dan Widad.
"Aku suka tengok kau sekarang ni, Arsh," puji Najmi yang lega dengan perubahan Parsha yang sangat ketara sekarang ini.
"Terima kasih pada kau orang berdua juga. Tak putus asa jaga aku masa aku sasau tu," kata Parsha.
Parsha memandang pinggan nasi lemak yang masih bersisa separuh. Entah kenapa mindanya terimbau kembali saat manis bersama Tania. Pertemuan secara tidak sengaja di Bali telah membuahkan bibit-bibit cinta yang tak mampu dipisahkan lagi.
"Dee, I nak you..." rayu Tania penuh makna. Parsha tersenyum bahagia. Tania tidak lepas dari memeluk tubuhnya dengan mesra sekali.
"I'm yours, sweetheart," balas Parsha sambil mengucup dahi Tania. Kecantikan, sikap manja dan belaian Tania yang menggoda membuatkan Parsha hanyut dalam percintaan nafsu. Tingkah mesra tanpa ikatan sangat mengasyikkan lalu dia memutuskan untuk berkahwin. Siapalah yang tak bahagia apabila didampingi oleh jelitawan idaman ramai jejaka? Itu satu kebanggaan buat Parsha!
Lamunan Parsha terhenti apabila mendengar gelak tawa Najmi dan Widad. Dia segera beristighfar. Kemudian dia memandang Najmi dan Widad yang sedang bergurau di hadapannya. Inilah sahabat dunia akhiratnya. Sejak kecil mereka bersama hingga sama-sama menjejakkan kaki menjadi pegawai tentera.
Ucapan syukur terucap dalam hati Parsha. Perkataan taubat dan syukur itu terus membuatkan fikirannya melayang semula kepada pertemuan yang tak disangka dengan gadis yang telah dicabulinya di Munich tempoh hari. Bait kata gadis itu cukup kuat dalam mindanya.
"Lari dari masalah bukan jalan terbaik, encik. Masalah tetap datang menemui kita selagi kita bernyawa di muka bumi ini. Pengecut yang tiada matlamat hidup sahaja yang akan lari dari masalah."
Benar kata-kata itu. Aku pengecut yang melarikan diri dari menghadapi musibah. Padahal masih ramai lagi makhluk Allah yang diturunkan ujian hidup namun mereka tetap sabar dan menerimanya dengan reda. Sedangkan aku pula terlalu mengikut telunjuk marah, ego dan nafsu untuk melepaskan segala rasa yang terbuku dalam hatiku ini. Aku terlupa Allah sentiasa ada untuk mendengar doaku. Allah itu ada untuk mendengar segala rintihanku. Allah ada untuk memberi petunjuk kepadaku, ucap Parsha dalam hati.
Kedatangan Halim secara tiba-tiba di meja mereka mengejutkan mereka bertiga. Kerusi di depan Parsha ditarik. Mereka terpinga-pinga sambil berpandangan antara satu sama lain. Pelik pun ada juga.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam. Tuan buat apa kat sini?" Mereka terus berdiri memberi hormat kepada Halim yang merupakan bekas majikan mereka dulu.
"Duduk Arsh, Najmi, Widad. Saya tengah uruskan anak buah saya tu. Buang tabiat pula dia malam ni," jelas Halim sambil menyambut salam mereka. Mereka semua memandang susuk tubuh yang dimaksudkan oleh Halim. Ramah pula gadis itu bertegur sapa dengan pembantu warung. Macam sudah biasa sangat ke mari.
Pening kepala Halim mengikut kepala Suhana yang mula buat perangai. Boleh pula dia keluar meninggalkan rumah yang ada tetamu. Bukan orang lain, tunangnya juga. Mujurlah kudrat tuanya itu masih kuat. Cepat saja dia menyelinap masuk ke dalam kereta ketika Suhana mahu meninggalkan kawasan rumah.
"Yang tu?" soal Najmi.
"Hmmm... Yang pakai seluar jean hitam dan baju T-shirt merah itulah," jelas Halim.
Najmi telan liur kemudian memandang Parsha yang tenang dan tunduk menghadap nasi lemak yang masih bersisa di atas pinggannya. Hati Parsha sebenarnya rasa tak sedap. Sudah banyak kali mereka bertembung secara tak sengaja begini.
"Itu bukan ke model yang namanya tengah naik? Apa namanya? Suhana Kamarul, kan?" soal Widad yang inginkan kepastian. Kalau betul memang dia nak minta bergambar bersama.
"Yalah tu. Betullah cakap kamu tu," balas Halim. Kemudian dia mengeluh.
"Dah berpunya tu, jangan nak berangan," sakat Najmi.
"Kenapa dengan anak buah tuan tu?" soal Parsha dengan nada serius.
"Berangin! Ingatkan bila dah bertunang, fiil dia akan berubah jadi matang. Rupa-rupanya lagi payah nak faham. Dia masih terbawa-bawa rasa bersalah dalam diri. Sebab itu dia begitu teliti dalam mengatur hidup..." Terhenti bicara Halim apabila melihat Suhana mengambil keputusan untuk duduk di meja lain.
"Dia ke yang buat hal masa majlis pengebumian hari tu?" soal Najmi.
"Mmm... Kami sekeluarga panggil dia Enna. Budaknya memang dari kecil lagi pelik dan degil. Lahir aje, dia ni memang ada masalah. Mujurlah susu isteri saya boleh merawat sakit perutnya yang asyik kembung kalau minum susu lembu. Susu mamanya pun tak boleh. Pening kami nak hadap dia menangis tak henti. Bila dah masuk sekolah, kami ingat dia mudah diuruskan. Rupa-rupanya makin pening kepala mama dan papanya. Sampaikan masa dia nak ambil SPM, dia duduk dengan saya... Zaman sekolah dulu dia ni montel tak macam sekarang ni. Disebabkan fizikalnya yang montel itulah dia selalu jadi mangsa buli dan ejekan nakal di sekolah. Dah lama baru kami tahu cerita yang dia tertekan di sekolah. Sampai dia tak bersemangat nak ke sekolah waktu itu.
Mujurlah keputusan SPMnya cemerlang dan ditawarkan di universiti terkemuka di UK sana. Sejak duduk di UK, dia nekad tak nak balik langsung ke Malaysia. Keluargalah yang melawat setiap tahun. Cuma pada tahun akhir dia buat perangai lagi. Dia memencilkan diri dari keluarga. Puaslah mama dan papanya mencari helah untuk bertemu. Namun keputusan dan kedegilannya itu membuatkan segala usaha kami gagal. Degil dan..." Terhenti cerita Halim untuk mengendurkan rasa sebak di dalam dada.
"Dan sebaik saja tiba di Malaysia, ibunya dah tiada," celah Parsha yang sudah faham situasi hari itu. Jika dia di tempat Suhana, dia akan melakukan perkara yang sama. Kehilangan orang yang paling disayangi tidak mampu digambarkan dengan kata-kata.
"Ya. Emosi dia cukup tak stabil. Kami semua dah agak perkara itu akan terjadi. Tapi tak sangkalah seteruk itu. Dia bagaikan hilang padahal dia ada saja di depan kami. Puaslah kami bawa berubat. Dia hanya duduk di dalam bilik mengaji dan menyendiri. Mujurlah kawan baiknya mampu bawa dia keluar. Bekerja pun bagaikan robot tak bernyawa. Pening juga. Bila tunangnya masuk meminang, kami tak lengahkan masa. Terus terima. Walaupun pada mulanya Enna masih tak berapa yakin. Harapan kami agar dia dapat memulihkan semula semangatnya. Tapi sejak dua menjak ni, fiil dia tidak dapat diramal dan merunsingkan semua orang. Ada saja angin ribut yang melanda. Sampaikan tunang dia pening." Terpacul perkataan itu di bibir Halim.
Perkataan tunangan orang membuatkan Parsha ditebak rasa tak tenang. Dia telah mencabuli tunangan orang? Tersentak Parsha mendengar berita itu walaupun sebelum ini dia hanya mendengar desas-desus saja tentang pertunangan model ini dalam media massa. Rasa bersalah makin menjadi-jadi dalam diri. Sungguh, dia perlu bertaubat dengan seikhlas hati. Apabila ada masa sesuai dan dia cukup bersedia, dia ingin berjumpa gadis bernama Suhana ini untuk memohon maaf. Ya, mohon maaf!!!
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...