Masuk hari ni sudah tiga hari Suhana berada di Alor Setar dengan aktiviti melawat ladang lembu. Selama itu juga Zarief tidak menghubunginya. Terdetik juga dalam hati kenapa Zarief tidak menghubunginya? Adakah disebabkan kejadian tempoh hari? Tapi semua itu sudah diperjelaskan. Dan Zarief faham kenapa dia bertindak menolak kemahuan Zarief malam itu. Gelodak rasa sangsi dibiarkan sepi seketika.
Homestay berdekatan dengan ladang lembu, Pelindung Argo menjadi tempat penginapan Suhana. Suasana kampung dengan bunyi cengkerik dan deruan mata air di belakang rumah membuatkan hati Suhana terasa damai.
"Cik Enna, hari ni kita pergi melawat ladang lembu terbesar di Malaysia. Pelindung Agro Farm. Milik Tuan Haji Sharif dengan adiknya. Di sini Cik Enna boleh dapatkan segala maklumat yang Cik Enna perlukan untuk projek mega lembu tu. Mereka mengusahakan cara ternakan moden dan terkini. Teknologi canggih diperlukan bagi meningkatkan lagi pengeluaran syarikat," jelas Arif, pegawai dari pejabat haiwan negeri.
"Emmm... Bagus tu. Tak sangka pula di Malaysia ada ladang ternakan lembu besar-besaran macam di New Zealand," jenaka Suhana.
"Tuan Haji Sharif ni memiliki banyak ladang lembu. Di Indonesia dan Kemboja pun ada," jelas Arif lagi.
Suhana memerhati dua orang lelaki yang berjalan menuju ke arah mereka. Lelaki yang muda tu macam pernah dilihat sebelum ini. Tapi dia lupa di mana dia pernah bertemu.
"Assalamualaikum. Selamat datang ke Pelindung Agro Farm. Saya Haji Sharif dan ini adik saya, Parsha." Sharif bersalaman dengan dua orang pegawai kementerian.
"Saya Mansur dan Syaari dari kementerian. Ini Cik Suhana pegawai dari syarikat IT yang akan membuat spesifikasi projek ini nanti," terang Mansur. Suhana hanya tersenyum dan menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat.
"Kalau macam tu, kita masuk dalam makan tengah hari dulu. Lepas tu kita boleh sembang panjang."
Tiga jam berada di Pelindung Agro Farm membuatkan hati Suhana tersentuh mengingatkan lembu peliharaan papanya, Atan dan Minah di Sungai Buloh. Terbit rasa rindu yang menggunung. Dalam diam hatinya mengorak gembira dan bersyukur kerana makin ramai usahawan Melayu yang berjaya dalam bidang pertanian dan penternakan hingga ke peringkat antarabangsa.
Perbincangan Suhana yang rancak dengan pihak kementerian dan pengusaha Pelindung Agro Farm terhenti seketika. Suhana menjauhkan diri dari meja perbincangan untuk menjawab panggilan telefon daripada Halim.
"Assalamualaikum, pak long."
"Waalaikumussalam. Enna kat mana sekarang ni?"
"Enna ada kat Alor Setar tengah bincang pasal projek bersama pihak kementerian dan pengusaha. Ada apa, pak long?"
"Pak long dan papa nak Enna pulang ke KL sekarang juga. Ada hal mustahak."
"Pak long, Enna tengah kerja ni. Boleh tak Enna balik esok?" rayu Suhana. Kerja lebih utama waktu ini. Dia tak boleh ambil cuti sambil lewa. Sudahlah jadual kerjanya sangat padat sekarang ini.
"Ini antara hidup dan mati. Masa depan Enna. Papa Enna tak nak buat keputusan tanpa persetujuan daripada Enna."
"Apa pak long cakap ni? Enna tak fahamlah."
"Pak long nak Enna balik sekarang juga. Semua orang dah ada kat sini. Tunggu Enna sampai sahaja."
"Pak long, Enna tengah kerja ni. Kalau ya pun pak long nak Enna balik KL, bagi tahu Enna hal apa yang mustahak sangat tu sampai tak boleh tunggu esok? Peninglah Enna macam ni." Suhana mula naik angin.
"Zarief kena tangkap." Pendek jawapan Halim.
"Tangkap khalwat ke tangkap basah?"
Meluru sahaja persoalan itu keluar dari mulut Suhana yang terkejut. Peristiwa Zarief yang ingin menyentuhnya di pejabat beberapa hari lepas kembali terpapar dalam mindanya. Dadanya terus berombak kencang.
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...