Kamarul duduk di ruang tamu sambil membaca buku kesukaannya. Tadi abang bersama ibunya, Toh Puan Hamidah menceritakan perihal Suhana padanya. Anak manjanya ini memang membuatkan hati tua ibunya risau.
Wajah muram Suhana yang lalu di hadapannya itu membuatkan hati tuanya pula dipukul resah. Takkanlah tak selesai lagi masalah Suhana dengan Zarief ni? soal hati Kamarul.
"Assalamualaikum, papa."
"Waalaikumussalam."
"Bila papa sampai? Tok ibu mana?" soal Suhana sambil duduk di sebelah Kamarul.
"Papa tunggu Enna. Lama tak sembang dengan Enna. Sejak dah bertunang ni, papa tengok Enna makin sibuk. Sabtu dan Ahad pun sibuk dengan shooting modeling tu," rungut Kamarul membuatkan Suhana terus membatalkan niatnya untuk baring di atas riba Kamarul. Wajah papanya direnung.
"Enna dah buat keputusan untuk berhenti modeling, pa. Shooting yang terakhir masa di Cameron Highlands dua minggu sudah. Sekarang Enna hanya nak selesaikan tugas di pejabat saja. Dah tak terkejar Enna," kongsi Suhana. Segalanya sudah difikirkan.
Dunia modeling adalah sebagai platform untuk bina dan melatih diri agar lebih berkeyakinan berdepan dengan rasa malu yang terlalu menebal dalam dirinya. Itu cadangan Anita masa di UK dulu hingga terbawa balik ke Malaysia. Alhamdulillah, cadangan itu membuatkan rasa malu itu sudah mampu diuruskannya dengan cukup sopan. Dan kini sudah sampai serunya untuk kembali kepada tujuan hidup. Kecantikan bukan untuk ditayang atau diperdagangkan. Itu semua hanyalah pinjaman Allah buat hamba-Nya sedar dan insaf atas kesempurnaan ciptaan yang Dia tunjukkan.
"Alhamdulillah. Itu yang terbaik, Enna. Papa fikir, sudah sampai masanya Enna belajar jadi isteri solehah. Lelaki ni tak suka berkongsi dengan orang lain apa yang dia ada. Terutama sekali kecantikan isterinya... Papa ada sesuatu untuk Enna..."
"Enna tahu, pa. Hmmm... Apa pulanya ni, pa?" soal Suhana lembut.
Kamarul menghulurkan sebuah kotak berwarna merah siap bereben emas pada Suhana. Dilihatnya wajah Kamarul penuh berseri macam baru lepas dapat kontrak puluhan juta yang tidak ada tempoh luput seumur hidup. Suhana pelik. Selalu kalau nak beri hadiah, tak pernahlah pula Kamarul berseri macam itu.
"Bukalah. Ini hadiah istimewa dari papa dan arwah mama. Benda ini sepatutnya papa serahkan pada Enna masa Enna balik hari tu. Tapi tak sempat. Macam-macam yang terjadikan hingga papa pun terlupa. Sampailah malam semalam, papa terjumpa masa kemas almari papa. Nah..."
Suhana menyambutnya dengan dada yang berdebar.
"Kami sudah lama restu jodoh Enna dengan Zarief. Kesungguhan Zarief untuk mendapatkan hati Enna membuatkan papa dan mama sendiri telah menemuinya tanpa pengetahuan Enna. Pada papa, Enna perlu dapat yang terbaik seperti yang Enna impikan..." terang Kamarul membuatkan Suhana terkedu. Memang dia tahu akan hal itu sebab Chinobe sudah jelaskan setelah disoalnya.
Reben berwarna emas itu dibuka perlahan. Di dalamnya terletak kemas sehelai kertas yang cukup dikenali tulisan tangan itu. Itu surat cintanya yang dituju kepada Yang Maha Esa suatu masa dulu. Macam mana boleh terlepas? Mata mulai kelabu dengan air mata yang bila-bila masa akan menitis. Surat cinta pada Yang Maha Esa itu dibukanya perlahan.
Bismillahirahmanirrahim...
Kepada Tuhanku Yang Maha Esa,
Enna bersyukur dengan limpah kurnia-Mu, rezeki-Mu dan rahmat-Mu sampai saat ini. Sudah 21 tahun Enna bernafas di bumi bertuah ini dengan keadaan sihat sejahtera dan bahagia selalu. Warkah ini Enna layangkan agar ia sampai melebihi langit ke tujuh sana. Sebagai tanda kesyukuran pada-Mu dengan nikmat kegembiraan yang tidak terhingga pada hamba-Mu yang terlalu meminta pertolongan-Mu ini. Terima kasih atas rezeki 9A dalam keputusan SPM yang cemerlang dulu hingga mampu membawa Enna menjejakkan kaki di bumi bertuah ini. Keputusan demi keputusan peperiksaan yang cemerlang atas dorongan-Mu, Ya Allah. Aku bersyukur, Ya Allah. Aku bersyukur.
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...