Parsha mengeluh sambil mencampak kunci motornya di atas meja. Dia terus duduk di sofa sambil memandang tepat pada kaca televisyen yang baru dipasang. Ketika mahu balik tadi, dia menerima panggilan telefon daripada Tengku Harith yang sedang lepak di Dine In. Kenangkan lama tak jumpa, dia terus memandu ke Mont Kiara.
Ketika masuk ke Dine In, dia melihat aksi seorang lelaki memujuk seorang gadis yang dikenalinya. Gadis yang pernah dicumbuinya ketika separuh mabuk di Munich dulu.
Entah kenapa, hatinya menjadi sakit dan perit ketika melihat air mata gadis itu mengalir. Masakan seorang gadis yang degil dan tegas seperti itu mampu mengalirkan air mata hanya kerana seorang lelaki? Pelik!
Parsha teringat kembali perbualan ketika di Dine In tadi...
"Pandang-pandang tu berkenan ke?" usik Tengku Harith.
"Taklah. Aku macam pernah tengok tapi tak ingat kat mana," ucap Parsha.
"Laaa... Itulah model yang sedang hot tu. Suhana Kamarul," kata Tengku Harith.
"Ooo..." balas Parsha.
"Aku kenal dia. Kalau nak kenal, aku boleh kenalkan kau dengan dia," cadang Tengku Harith.
"Laaa, ya ke? Tak naklah. Serik. Model macam bekas isteri aku juga. Biarlah aku cari orang biasa-biasa aje nanti," kata Parsha. Pengalaman lalu banyak mengajarnya erti sebuah perhubungan. Waima mencari kawan pun biarlah molek akhlak dan agamanya. Cantik itu jatuh di tempat yang terakhir.
"Dia tak seperti macam kau cakapkan tu, Arsh. She's beauty with brain. Budi bahasanya pun aku suka. Otak business ni," kongsi Tengku Harith lagi.
"Kau pernah berurusan dengan dia ke?"
"Adalah rancangan nak buat macam tu. Tapi belum berkesempatan. Dia ni tak ada sembang kosong kalau nak bercakap tentang business. Dan kau salah kalau hanya fikir dia ni macam model lain. Pentingkan status, kecantikan dan perhatian."
"Hmmm..."
"Yang satu ni kau mesti terkejut. Dia memperjuangan sistem perniagaan berkonsepkan halal. Otak geliga. Anak-anak perempuan Dato Kamarul ni memang bijak berniaga. Mereka nampak peluang yang orang kata remeh dan tak nak buat. Dia melihat benda kecil yang mampu dibesarkan. Tak macam usahawan lain yang memandang projek besar saja," cerita Tengku Harith.
Lamunan Parsha terhenti apabila telefon pintarnya berbunyi. Nama Buhairah tertera di skrin telefon. Bibirnya terus tersenyum. Pasti Buhairah ingin mengetahui di mana dia berada sekarang. Yalah, sejak kakinya pulih, dia jarang berada di rumah kakaknya. Dia sungguh terhutang budi pada Buhairah yang tak pernah merungut semasa dia dalam keadaan kelam. Malah ramai yang sanggup berada di sisinya untuk memberi sokongan agar dia segera pulih dan segera menjalani kehidupan yang normal.
Kakak dan adiknya, Melati inilah yang paling ke depan untuk memastikan dia pulih. Dia teringat kembali ketika dia sudah menyerah kalah semasa terselamat dalam kemalangan motor empat bulan lepas.
"Angah," panggil Buhairah.
"Mmm... Ya, kak long," sahut Parsha lemah.
"Maafkan diri sendiri, dik. Belajar sayangkan diri sendiri dulu. Kak long dah tak sanggup tengok angah macam ini. Jodoh... Ajal... Maut... Semua itu rahsia Allah, dik. Allah sudah beritahu segala cabaran yang diturunkan pada hamba-Nya, hanyalah setakat yang termampu untuk diharungi. Apa yang Tuan Halim cakap masa di hospital tempoh hari sangat betul, dik. Arwah mama tidak akan dihidupkan kembali walaupun angah berkabung seribu tahun pun. Kembalilah angah... Angah masih ada peluang untuk perbaiki diri. Angah masih ada peluang untuk berhijrah. Dengarlah suara hati yang ingin menjadi umat yang soleh itu, dik... Dengarlah," rayu Buhairah yang tidak dapat menahan rasa sedih yang bersarang di dalam dadanya. Dia tidak mampu melihat Parsha tenggelam dan terus tenggelam.
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...