SEBAIK sahaja Suhana sampai di pekarangan rumahnya, Chinobe berlari-lari anak mendapatkannya. Tubuh Suhana dipeluk erat. Kamarul berdiri di muka pintu bersama Halim dengan wajah yang serius. Apa yang terjadi hari ini sangat rumit untuk diluahkan dengan kata-kata.
"Kak Enna..." panggil Chinobe sambil menangis.
"Bee," ucap Suhana sambil membalas pelukan Chinobe.
"I'm here for you, Kak Enna. We're here," pujuk Chinobe.
"I know, dear. I know. Thank you," balas Suhana.
"Bee! Enna! Masuk dulu. Eh! Sharif, Buhairah dan Parsha pun ada sekali? Masuklah dulu," pelawa Halim ramah. Dalam hati terkejut juga melihat kehadiran keluarga teman baiknya mengiringi Suhana.
"Maaf, tuan. Kami yang tak benarkan Suhana ni memandu pulang sendirian dari Alor Setar dalam keadaan dia yang tak tidur semalaman," cerita Haji Sharif.
"Laaa... Dia ke ladang kamu ke, Sharif? Subhanallah, kecilnya bumi ni. Pusing-pusing ke situ pula." Halim tersenyum. Lega hatinya mendengar penjelasan ringkas Haji Sharif.
"Suhana dengan orang kementerian melawat ladang lembu saya untuk satu projek kementerian. Saya pun tak tahu pada mulanya yang Suhana ni anak buah tuan. Bila saya jawab panggilan telefon itu, saya dapat cam suara tuan. Itu yang saya tanya Suhana," jelas Haji Sharif.
"Syukurlah dia bersama kamu semalam Sharif, Buhairah. Hati saya ni usah cakaplah. Tak tenang selagi dia tak ada kat sini. Yalah, dia ni anak buah yang pelik sikit. Emosi sukar nak dijangka. Dah tu, mari kita masuk dalam. Saya pun perlukan pandangan Sharif dan Buhairah dalam menyelesaikan hal bersangkut dengan agama ni sikit. Kita sama-sama permudahkan urusan ni," pinta Halim.
Haji Sharif dan Buhairah berpandangan. Kemudian mereka memandang Parsha yang hanya membalas dengan anggukan tanda setuju. Mereka semua melangkah masuk ke ruang tamu yang penuh dengan tetamu yang berwajah sugul.
Suhana terus memeluk tubuh Kamarul. Kamarul menyapu air mata yang mengalir di tubir mata Suhana.
"Papa faham," bisik Kamarul lalu memeluk tubuh Suhana. Semua yang ada di situ memandang tingkah dua beranak itu dengan pelbagai rasa. Tok ibu yang duduk di sebelah Mariam dan Asmah tak henti-henti menyapu hidungnya yang sudah berair.
Pilu hati Suhana memandang wajah insan-insan yang sangat disayanginya itu. Bibirnya masih lagi ligat berzikir agar hatinya sentiasa tenang mendengar cerita yang bakal menerjah telinganya.
Sepuluh minit kemudian, Zarief keluar dari dapur bersama Muslim dan seorang ustaz. Muka Zarief begitu sedih sekali. Melihatkan Suhana yang duduk dengan wajah yang pucat lesi membuatkan hatinya dirundung rasa bersalah.
"Bagaimana ustaz?" tanya Halim.
"Saya dah buang semuanya, tuan. Insya-Allah, dia sembuh," jawab ustaz.
"Alhamdulillah. Semua orang pun dah ada di sini. Encik Ramli, saya ni tidak memihak kepada sesiapa. Saya ini hanyalah orang tengah dalam menyelesaikan masalah budak-budak ni. Encik Ramli benarkan saya menjadi orang tengah?" soal Halim memohon persetujuan.
"Saya benarkan demi maruah anak saya, Sofia." Ramli membalas dengan tegas.
"Baiklah, terima kasih Encik Ramli. Kebetulan nak dipermudahkan oleh Allah, kita ada saksi yang cukup arif dalam hal agama. Tuan Haji Sharif bersama isterinya, Ustazah Buhairah dan adiknya Parsha. Mereka boleh menjadi saksi dan seterusnya orang tengah jika terjadi perbalahan yang berat sebelah nanti. Tunang Zarief yang ada tugas di Alor Setar pun saya dah panggil balik untuk sama-sama dalam perbincangan kita ini. Sebelum itu, boleh saya minta izin Encik Ramli untuk membenarkan Ustaz Leman melihat Sofia? Takut-takut mungkin terkena sihir juga. Saya bukan apa, untuk menyelesaikan segala yang bermain dalam benak orang tuanya ini. Boleh ibu Sofia dan isteri saya Mariam ke dapur menemani Sofia?" pinta Halim dengan penuh diplomasi.
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...