Kesibukan dalam melunaskan tanggungjawab pada tugas sebelum bercuti panjang membuatkan Zarief dan Suhana tidak berhubung. Tiada lagi pesanan ringkas seperti selalu. Jika ada ia cukup ringkas dan padat. Semuanya atas pemintaan Suhana agar mereka jarang berhubung hingga tiba hari bersejarah itu nanti.
Zarief duduk termenung di rumah sewanya. Sekembalinya dari Bintulu, hatinya cukup tak senang. Peristiwa di Bintulu itu membuatkannya jadi takut dan gentar. Nak pula bila nama Suhana yang terbayang dalam fikiran. Jangan buat gila!
Namun rasa rindu yang menggunung membuatkan Zarief macam anak kucing kehilangan ibu. Tak senang duduk dibuatnya. Pelbagai rasa yang menyelubungi dirinya.
"Kau ni kenapa, Rief?" soal Adnan, teman serumah Zarief.
"Thanks, Nan. Aku penat sikit," jawab Zarief sambil menyambut muk berisi Nescafe panas yang disediakan oleh Adnan. Adnan duduk di sebelah Zarief. Alat kawalan jauh televisyen diambilnya untuk menukar siaran pada siaran bola Liverpool lawan Arsenal malam ni.
"Pejam celik, pejam celik lagi tiga minggu kau nak nikah, Rief. Macam mana perasaan nak jadi suami orang?" soal Adnan ramah.
Zarief diam merenung kaca televisyen. Soalan Adnan berlalu tanpa balasan. Dia masih mengelamun dan mencari punca bagaimana semua itu boleh terjadi. Macam mana dia boleh tergamak membelakangkan rasa cintanya pada Allah tika melakukan perkara itu?
"Rief! Hoi, Rief!" panggil Adnan.
"Hah! Sorry Nan, aku hilang kejap. Ha, apa dia?" soal Zarief setelah kembali ke realiti.
"Betul ke kau ni okey, Rief? Aku tengok macam kau ni ada masalah aje. Chill bro, it's gonna be fine. Trust me."
Adnan menenangkan hati Zarief. Memang dia dapat perhatikan Zarief agak tertekan sikit dari biasa. Semua teman serumah mereka nampak akan perubahan Zarief. Lebih menyokong usul mereka apabila Zarief ada berkongsi cerita yang Suhana minta supaya mereka tak berhubung sepanjang tempoh menjelang hari bahagia ini. Puncanya kerana Suhana ingin tetapkan hatinya daripada sakit dek cemburu yang melulu.
"Aku okey," jawab Zarief lemah.
"Hei, semalam aku terserempak dengan Enna yang baru sampai rumah Tuan Halim. Wah, bijak kau pilih calon isteri. Sopan sungguh aku tengok dia bertudung. Aku tanya bila dia bertudung? Dia kata baru dua minggu. Nak siapkan diri jadi isteri solehah." Cerita Adnan bagaikan masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.
Fikirannya masih belum mampu bertenang selepas apa yang telah berlaku di Bintulu itu. Dia tidak mampu kawal diri. Seperti cintanya sudah beralih arah. Tapi tak mungkin. Tak mungkin sekelip mata saja dia boleh melupakan Suhana yang dicintainya sepenuh hati. Lebih lima tahun tempoh percintaan mereka. Bukannya jangka masa yang singkat.
"Aku penatlah, Nan. Aku masuk dalam dululah."
Adnan pelik dengan perangai Zarief hari ini. Selalu tak pernah pun Zarief macam ini. Cuma sejak pulang dari Bintulu aje perangainya nampak lain. Mmm, gementar nak nikah kut. Biarlah, fikir Adnan. Dipandangnya saja Zarief yang hilang di balik pintu bilik.
Di dalam bilik Zarief berbaring di atas katil bujang. Sedaya mungkin dia ingin mengembalikan semula saat manisnya bersama Suhana. Saat mereka hangat bercinta di laman siber, tika berjauhan dulu. Seorang di United Kingdom, seorang lagi di Malaysia. Bercinta di alam maya merupakan kenangan terindah mereka. Pantang ada ruang masa pasti berjam-jam di depan skrin komputer.
"Enna... Maafkan abang," bisik Zarief perlahan.
Mata dipejamkan semula untuk mengimbau kembali saat indah perkenalannya dengan Suhana. Waktu itu, Suhana tengah bersiap-siap untuk berlepas ke United Kingdom. Zarief baru pulang dari kerja. Penat hari pertama bertugas di Cempaka International membuatkan Zarief duduk rehat sebentar di pangkin di tepi pagar rumah. Suhana pula sedang mengelamun sambil menyiram pokok orkid dan pokok bunga kertas milik Mariam.
Tanpa disengajakan, Suhana menyiram Zarief yang duduk di atas pangkin itu. Zarief bangun dan memandang Suhana namun gadis itu masih tidak perasan akan kehadirannya. Jauh benar lamunan Suhana hingga Zarief basah kuyup.
"Eh! Cik kak," tegur Zarief. Suhana masih lagi kaku dan tersenyum-senyum sendirian. Teguran Zarief langsung tidak dihiraukannya.
"Aduhaiii, cik tembam oiii!" Zarief kuatkan suaranya hingga mengejutkan Suhana.
"Eh, opsss... Sorry." Suhana menjatuhkan getah paip ke tanah.
"Awak ni siram bunga ke mandikan bunga?" marah Zarief dengan suara sedikit tinggi.
"Emmm... Sorry, saya tak sengaja." Suhana sudah merah padam menahan malu. Kepala terus ditunduk memandang tanah.
"Tak sengaja! Tak sengaja! Sampai aku habis basah lencun kena siram. Tak sengaja lagi!" sergah Zarief lagi.
Chinobe keluar apabila mendengar keadaan kecoh di luar. Melihat Zarief yang sudah basah lencun dan getah paip yang masih terpasang di atas tanah, dia sudah tahu punca sebenar kekalutan ini.
"Ada apa, abang handsome?" sapa Chinobe bersahaja.
"Si tembam ni siram aku. Dia tak nampak ke aku duduk kat sini? Mata tu letak kat lutut agaknya!" Masih keras suara Zarief.
"Maafkanlah kakak saya ni, bang. Dia memang macam ni. Kalau terlebih seronok dia kuat berangan. Ini mesti lepas tengok Titanic Kak Enna berangan, ya?" usik Chinobe lagi.
"Isy, mana ada..." Muka Suhana mula merah padam.
"Abang, saya minta maaf ya bagi pihak kakak saya. Dia ni dengan lelaki memang pemalu sikit. Susah nak cakap. Mulut tu boleh lumpuh dan bisu tak bersuara. Maaf, ya. Oh ya, saya Chinobe dan ni kakak saya, Enna. Abang?"
"Zarief."
"Abang mesti baru duduk sini sebab tak pernah nampak pun," cerita Chinobe yang sememangnya ramah.
"Baru tiga hari sampai. Okeylah, saya masuk dulu. Pesan kat kakak awak tu. Lain kali kalau siram pokok jangan guna banyak air. Pokok pun boleh mati lemas nanti," pesan Zarief sebelum berlalu.
"Ya, Abang Zarief," balas Chinobe sambil tersenyum. Zarief berlalu meninggalkan Chinobe dan Suhana yang terkebil-kebil di halaman rumah Halim.
Zarief masuk ke dalam biliknya dan memerhati gelagat Suhana dan Chinobe yang belum reda lagi di laman rumah. Ditambah lagi dengan kehadiran Mariam. Lagi gamat suasana. Merah pipi Suhana dileteri Mariam. Namun Suhana nampak sangat comel hingga membuatkan dia merakam gambar Suhana dalam diam.
Deringan telefon pintar Zarief membuatkan Zarief tersentak dari lamunan yang panjang. Dia memandang skrin telefon pintar itu. Berat hatinya hendak menjawab. Deringan itu terhenti sendiri. Zarief mengeluh panjang. Sekali lagi telefon pintarnya berdering. Dipandang pada skrin telefon pintar. Nama yang tertera membuatkan jarinya pantas menekan butang hijau.
"Ya, mak. Hmmm, along pun balik malam ni. Mak tunggu aje. Assalamualaikum," ucap Zarief kemudian mencapai dua pasang baju lalu dimasukkan ke dalam beg galasnya. Dia terus menghubungi setiausahanya untuk mengetahui jadual Suhana.
"Enna... Enna... Workaholic!" rungut Zarief kemudian menggeleng.
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...