Suhana singgah di Pelindung Florist bertemu dengan Melati untuk mengambil pesanan bunga yang ditempah melalui telefon pagi tadi. Seratus kuntum mawar putih dan seratus kuntum mawar merah akan menyemarakkan kamar tidurnya dengan wangian mawar segar. Kata orang, bauan segar daripada bunga-bungaan mampu mengurangkan kadar stres dalam badan. Dia ingin bebas dari rasa sakit hati yang terkurung di dalam dada. Sakit sangat!
Kelibat lelaki yang berpakaian seperti seorang pekebun dan bertopi nyonya di hadapannya sekali lagi mencuri perhatian Suhana. Sejak tiga bulan lepas lagi, dalam diam Suhana sering memerhatikan lelaki itu. Sikap lelaki itu yang terlebih pemalu dan diam tidak bersuara membuatkan Suhana berusaha untuk berbual dengannya. Namun perbualan Suhana hanya dibalas dengan anggukan dan gelengan saja.
"Eh! Kak Enna, kata lepas kerja baru datang. Ini masih waktu kerja sudah terpacak di sini?" soal Melati, pelik.
"Tadi akak ada janji temu kat luar. Itu yang singgah sini tu. Tempahan akak dah siap?" soal Suhana yang ingin segera pulang ke rumah. Dadanya masih sakit dengan fiil Zarief yang liberal tentang adab pergaulan lelaki dan perempuan.
"Sudah. Kereta akak kat mana? Saya panggilkan orang untuk angkat terus masuk kereta. Berat ni."
"Hmmm... Berapa dik?" soal Suhana sambil membawa keluar beg duit dari tas tangan.
"RM250 aje, kak."
Setelah pesanan itu berbayar dan mengembalikan semula baki duit, Melati menolak kerusi rodanya ke tingkap. Dia memanggil pekerjanya untuk membantu Suhana. Beberapa ketika kemudian, seorang lelaki masuk dan mengangkat jambangan mawar itu dan terus berjalan menuju ke kereta Suhana.
"Terima kasih, Melati. Esok Kak Enna nak tiga kuntum mawar kuning bersama sekuntum lily, ya. Nak tukar bunga yang dah layu kat pejabat," pinta Suhana.
"Boleh aje. Pukul berapa Kak Enna nak ambil?" soal Melati.
"Macam biasa dalam pukul lapan setengah pagi."
"Set."
Suhana tersenyum senang lalu berjalan menuju ke keretanya. Kunci kereta ditekan dari jauh bagi membolehkan lelaki tadi meletakkan bunga di dalam kereta. Suhana mengatur langkah dengan perlahan kerana keadaan tanah merah agak licin. Entah macam mana langkah yang diayun penuh berhati-hati itu boleh tersilap hingga dia hampir tersungkur jatuh. Mujurlah lengannya sempat disambar oleh lelaki yang mengangkat bunga tadi.
"Jalan hati-hati. Tanah ni licin." Suara garau lelaki itu kedengaran. Suhana yang terkejut terus terkedu. Dia cuba mencuri pandang wajah lelaki itu namun tidak berjaya.
"Terima kasih." Cepat-cepat Suhana berdiri tegak dan menarik lengannya daripada dipegang oleh lelaki itu.
"Lain kali untuk keselamatan, jangan datang sini dengan kasut tumit tinggi. Bahaya. Pakai selipar jepun aje. Dalam kereta tu pun ada selipar jepun, kan?" pesan lelaki itu sebelum berlalu meninggalkan Suhana yang terpinga-pinga.
Sampai sahaja di rumah, Suhana melihat kereta Hisyam terparkir di situ. Maknanya abangnya itu tidak bertugas malam ni. Riuhlah sikit malam ni.
Suhana mengatur langkah terus ke bilik. Sapaan tok ibu yang duduk menonton di ruang tamu tidak dijawab. Lepas bersalam dan mencium pipi tok ibu, Suhana terus berlalu.
"Kenapa pula tu?" soal tok ibu yang faham benar fiil Suhana. Hisyam yang mendengar suara tok ibu terus memandang tok ibu.
"Kenapa, tok ibu?" soal Hisyam, pelik.
"Entahlah, along. Tok ibu tanya pun dia tak jawab. Yang peliknya, hari ni balik awal pula dia. Selalu pukul sebelas malam baru sampai rumah," kata tok ibu.
"Hmmm, adalah halnya tu. Entah-entah bergaduh dengan Rief tak?" usul Hisyam sambil menggeleng.
"Mana along tahu mereka bergaduh?"
"Hmmm... Rief call tadi, tanya along kerja ke tak. Along kata malam ni along off. Itu yang dia nak datang bawa nasi Arab makan kat sini. Suruh ajak Bee dan Chad sekali. Dah lama tak kumpul sekeluarga," cerita Hisyam.
"Kalau dah bunyinya macam tu, memang sahlah mereka bergaduh. Enna... Enna..." Tok ibu mengeluh. Jelas wajah tua itu mempamerkan kerisauan.
Sejak Nor Azizah meninggal dalam kemalangan sewaktu Suhana baru pulang dari UK, emosi Suhana tak dapat diramal. Selain Kamarul, hanya Halim dan Mariam yang mampu membuatkan Suhana hormat dan mendengar cakap.
"Tok ibu janganlah risau. Along dah call pak long dan mak long datang. Haaa, itu bunyi kereta. Mesti mereka dah sampai," ucap Hisyam. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh tok ibu. Nak menguruskan Suhana bukanlah satu kerja yang mudah melainkan dengan adanya Halim.
Halim bersama Mariam tiba serentak dengan Zarief, Chinobe dan Farish. Berkerut dahi Halim apabila melihat Zarief berbisik-bisik dengan Chinobe yang tertawa kecil sambil memandang Farish yang sama tersengih.
"Apa hal pula ni? Siapa yang menang loteri?" usik Halim.
"Menang loteri apanya, pak long? Abang Rief ni tengah kematu otak fikir macam mana nak pujuk si tunang yang tengah merajuk tu. Sudahlah member nak ke Singapura tengah malam ni," cerita Chinobe selamba.
"Dah nak dekat nikah ni pun boleh lagi merajuk? Apa yang kamu dah buat, Rief?" tanya Halim, ramah.
"Entahlah, pak long. Lagi nak nikah, lagi kuat cemburu Enna tu. Kerja Rief ni biasalah jumpa lelaki dan perempuan yang bermacam-macam ragam. Samalah macam Enna. Tapi entahlah... Rief tak faham," cerita Zarief serba ringkas.
Halim yang mendengar cerita itu terus menepuk bahu Zarief tanda faham. Tahulah dia kenapa dia diminta datang ke vila ini.
"Kita masuk dalam dulu. Nanti sejuklah hati Enna tu."
Usai solat, Suhana terus terjun ke dalam kolam renang vila tersebut. Puas dia berenang, akhirnya dia bersidai di bibir kolam untuk melepaskan penat.
"Tuala!" Zarief berdiri di hadapan Suhana sambil menghulurkan tuala.
"Abang!" Terkejut Suhana dengan kemunculan Zarief. Di sebelah Zarief pula Chinobe sedang memandangnya sambil tersengih nakal.
"Bee pun ada?" soal Suhana lagi.
"Bukan Bee aje, along dan pak long pun ada kat dalam tu. Jomlah masuk dalam. Bee lapar. Ada nasi Arab," pujuk Chinobe lembut.
"Hmmm, sedap tu. Yalah, Bee masuk dulu. Abang pun masuk dulu. Enna nak sudahkan lagi dua pusingan ni," ucap Suhana kemudian terus berenang.
"Sorry, bro. Rasanya abang kena uruskan sendiri. Berat sangat nampaknya ni," kata Chinobe yang sudah tarik bendera putih memujuk Suhana. Faham sangat dia dengan gaya Suhana.
Zarief tersenyum tawar lalu mengeluh kecil. Jarum jam di tangan dikerling seketika. Macam ni nampak gayanya dia perlu menukar jadual penerbangan pada awal pagi esok. Malam ini adalah misi memujuk Suhana, ucapnya dalam hati.
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...