Lama juga Halim bersembang dengan Parsha, Najmi dan Widad sambil menunggu Suhana selesai makan. Mata Halim memang tak lepas daripada memerhati tingkah Suhana yang makan sambil menjawab panggilan telefon. Pasti Zarief tak henti-henti memujuk.
"Kamu apa khabar, Arsh?" soal Halim yang cuba mengalihkan rasa risau kepada Parsha.
"Macam yang tuan tengok inilah." Parsha tersenyum.
"Saya bangga dengan semangat kamu. Walaupun pada mulanya kamu payah nak lakukan, namun sokongan yang tak putus daripada keluarga dan kawan sekeliling membuatkan kamu melangkah jauh ke depan. Saya nampak kamu yang dulu dah kembali. Malah lebih baik daripada itu. Kamu dah baca buku yang saya berikan tu?"
Halim melihat sebuah buku bersaiz A5 terletak kemas di atas meja. Dari warna kulit buku pun dia sudah tahu itulah buku yang diberikan kepada Parsha semasa melawat Parsha di hospital dulu.
"Ni dia buku yang tuan bagi tu. Buku Dahsyatnya Taubat Nasuha ni dah lama saya khatam, tuan. Dan sekarang saya baca sekali lagi. Ada unsur yang saya sedang hayati. Contohnya kisah seorang sahabat Nabi Muhammad bernama Ka'ab bin Malik."
Sudah menjadi kebiasaan Parsha akan berkongsi ilmu yang digalinya di dalam buku dengan orang sekeliling. Kupasan dan interaksi soal jawab itu membuatkan mindanya berfikir tentang kehidupan dan tanggungjawab.
"Mmm... Apa yang awak dapat daripada kisah itu?"
"Tuan suka pancing saya bercerita..." Parsha tersenyum sambil menggeleng.
Halim tertawa kecil. Dia memang suka bersembang dengan Parsha sebenarnya. Bukan sembang kosong.
"Hmmm... Ka'ab bin Malik ni merupakan salah seorang sahabat Rasulullah. Menurut sejarah, dia tidak pernah meninggalkan walau satu pun peperangan bersama Rasulullah melainkan dalam satu peperangan ni. Kalau tak silap saya dalam peperangan Tabuk." Parsha tersenyum lucu apabila dapat membaca fikiran Halim waktu itu.
"Ya. Ketika bala tentera Rasulullah berangkat, dia sedang memetik hasil buah-buahan dari kebunnya. Waktu itu semua pemilik kebun sedang tekun menguruskan kebun untuk dipasarkan dengan segera. Rancangannya adalah menyusul Rasulullah lewat sehari, kan?" bicara Halim.
"Betul tu, tuan. Dugaan datang dalam bentuk yang cukup mudah. Hasratnya tertangguh kerana tidak memperolehi barang keperluan yang dikehendaki di pasar untuk disediakan sepeninggalannya nanti. Dia bertambah gelisah dari sehari ke sehari sebab tak dapat menyediakan barang keperluan rumahnya sehinggalah dia terpaksa bersembunyi saja di dalam rumah hingga Perang Tabuk berakhir. Lepas itu dia pergi menghadap Rasulullah setelah dia sempurnakan solat sunatnya di masjid untuk memberikan alasan kenapa dia tidak turut serta... Dia berkata jujur. Rasulullah mendengar alasannya kemudian menyuruhnya pergi hingga Allah turunkan hukuman atas kesalahannya. Dia berdiri di tengah bandar selama lima puluh hari bersama dua lagi sahabatnya yang juga tidak menyertai peperangan itu. Mereka dicemuh dan dikeji oleh penduduk setempat..."
"Jawapannya; Ya Allah, aku tak akan sekali-kali menarik balik perkataanku ini dan aku tidak mahu membohongi diriku sendiri. Jadi selama itulah dia dipinggirkan oleh masyarakat. Kalau kita sudah meroyan, kan?" Halim cukup selesa mengupas isu akhlak dengan Parsha. Setelah mendampingi Parsha dengan lebih dekat, baru dia tahu yang Parsha ini bukan calang-calang orang rupa-rupanya. Parsha cukup berilmu pengetahuan. Cuma sebagai manusia, dia memang tak lepas daripada tergelincir dari landasan dek imannya tak cukup kuat melawan hasutan nafsu dan penyesalan.
"Betul cakap tuan tu. Saya rasa kerdil dengan kisah ini. Sebak dada saya bila mengenangkan kesabaran Ka'ab bin Malik ini. Rasa macam nak sujud syukur bila membaca bait hatinya yang berbunyi, benar-benar sesak kurasakan diri ini dan bumi yang luas terasa sempitnya... Subhanallah, itulah yang saya rasa, tuan. Cuma bezanya saya tak mendengar laungan dari puncak Gunung Sal'ein yang melaungkan perkataan, berbahagialah kamu wahai Nasrun Parsha..." cerita Parsha sambil tersenyum kelat.
YOU ARE READING
Cinta Ajari Aku
RomanceBacaan Awal Sahaja.. Tajuk: Cinta Ajari Aku Penulis: Hessa Widad Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0992-18-1 Harga: RM22 (Semenanjung) // RM25 (Sabah & Sarawak) Pertemuan yang tidak diatur membawa satu titik perubahan dalam hidup Nasrun Parsha. Se...