Bab 12

581 17 0
                                    

Zarief bersandar di pintu pejabat Suhana. Resah hatinya hilang tika memandang wajah ayu Suhana yang sudah bertudung litup. Senyuman terukir indah apabila melihat Suhana tekun dan fokus pada skrin komputer. Suhana yang terlalu leka menghadap skrin komputer membuatkan dia tak sedar Zarief melangkah masuk dan berdiri di belakangnya.

Zarief terus menyentuh bahu Suhana dengan perlahan. Tersentak Suhana dibuatnya.

"Hah!"

"Syhhh... Siapkan kerja Enna. Abang urut bahu Enna yang keras ni. Stres, ya," pujuk Zarief lembut.

"Tapi..."

"Please, dear," pujuk Zarief.

"Kita belum halal, bang," kata Suhana yang cukup tegas pendiriannya.

"Kita halalkan," bisik Zarief yang hilang pertimbangan diri. Rasa rindu membuatkan dia hilang lojik akal. Perhubungannya tidak seperti pasangan lain yang bebas ke sana ke mari. Bersama Suhana semuanya terbatas.

"Ya... Hubungan kita akan halal lepas abang sambut lafaz akad nanti. Dahlah, Enna nak cepat siapkan laporan ni. Enna dah janji nak balik kampung abang," tepis Suhana lembut. Walaupun rasa rindu dalam hati menebal, namun dia masih waras akan adab pergaulan dirinya. Status tunang bukan lesen untuk melanggar adabnya.

"Kenapa kita tak macam pasangan lain, Enna?" soal Zarief cukup tegang. Dia betul-betul tak faham akan sikap Suhana. Kata cinta. Kata sayang. Tapi tak terluah dengan perbuatan. Nak pegang tangan tak boleh. Nak cium pipi lagilah ditepis. Bila dapat sentuh pun kala darurat. Macam tertarik lengan Suhana untuk mengelakkan daripada dirempuh orang yang bersesak di pasar raya.

Suhana mengeluh. Rasa terkejutnya tadi belum reda ditambah pula dengan persoalan yang tak puas hati Zarief secara tiba-tiba. Ahhh, masa ini memang tak adil. Dalam dia mengejar masa boleh pula Zarief muncul di depannya secara mengejut begini.

"Let me finish my report first!"

"Sudahlah, Enna. Sudahlah dengan hal kerja. Enna terlalu lebihkan kerja daripada abang. Enna sedar tak?" soal Zarief cukup lantang. Serabut semula fikirannya. Suhana tak pernah nak faham dirinya.

Jari Suhana yang ligat menaip kini terus terhenti. Mata dipejam seketika. Nafas ditarik dalam kemudian jarinya kembali menyambung kerjanya yang tinggal seminit dua saja lagi. Lepas butang Send ditekan, siaplah e-mel yang dititipkan kepada bosnya, Tan Sri Azman.

Zarief bengang melihat Suhana yang tidak menjawab soalannya itu. Terus saja kerusi Suhana dipalingkan ke belakang agar menghadapnya.

"Suhana!"

"Abang ni kenapa? Tak boleh tunggu sekejap ke? Hesy... Enna dahlah kejar masa. Penat tau!" Marah sungguh Suhana. Dia terus memusingkan kerusi menghadap komputer.

"Enna fikir Enna sorang aje ke yang penat? Abang ni Enna tak fikir?" marah Zarief semakin membuak.

Sebaik saja butang Send ditekan, Enna terus berpaling menghadap Zarief.

"Okey. Sebulan lebih kita tak berhubung. Sepatah kata pun kita tak kongsi. Semua main pesanan aje. Dan bila abang jumpa Enna malam ni, abang terus marah-marah. Apa ni? Apa salah Enna?" soal Suhana cukup serius.

"Do you love me, Enna? Do you love me?!" tengking Zarief lantang.

Terkejut Suhana. Kenapa tinggal beberapa minggu saja tarikh pernikahan mereka, Zarief bersikap pelik? Hati Suhana yang tidak sedap beberapa minggu lepas kini semakin kuat curiganya.

"Kenapa abang tanya Enna soalan macam tu? Tak cukup lagi ke Enna ikhlas terima abang? Tak cukup lagi ke Enna sudi menjadi tunangan abang? Kita dah nak bernikah, apa lagi yang tak kena, bang? Apa lagi yang buatkan abang sangsi pada Enna?"

"Jika Enna betul cintakan abang, buktikan. Act like you serious. Act like you really love me," cabar Zarief sambil tersenyum senget.

Tergamam Suhana dengan cabaran yang baru dituturkan oleh Zarief. Angin gila apa yang melanda dirinya hingga sasau minta dibuktikan kata cinta? Meledak rasa marah di dada Suhana.

"Bukti? Bukti apa, bang? Takkan kita nak pergi pejabat kadi malam ni? Gila!"

Tangan Zarief sudah memegang kedua-dua belah bahu Suhana. Dengan riak wajah yang membuak marah, Suhana menolak Zarief.

"Apa ni, bang?"

"I do love you, Enna. I need you. I really need you," ucap Zarief penuh menggoda. Pinggang Suhana cuba disauknya. Suhana menolak lagi. Zarief semakin teruja dengan keengganan Suhana. Nafsunya bagaikan digoda rasa berahi. Dia hilang iman.

"Gila. Abang, stop! Enna tak suka!" jerit Suhana sambil menolak dan menepis Zarief. Dia semakin cemas dengan sikap Zarief yang lain macam malam ini. Tak pernah sekalipun Zarief melayannya sebegini.

"Tak rugi apapun, sayang. Abang milik Enna. Dan Enna milik abang. Kita saling menyayangi dan abang sangat rindukan Enna... Please, sayang. Sekejap, ya." Pujukan Zarief yang lembut itu merobek jantung Suhana. Menggigil seluruh badannya.

Ya, betul dia cintakan Zarief. Betul dia sayangkan Zarief. Tapi untuk berzina, tidak sama sekali. Dia masih waras. Dia masih punya agama.

"Stop it, Zarief!!! Tolonggg!!! Muslim, tolong saya!" jerit Suhana sambil menolak Zarief sekuat hati.

Muslim yang membuat kerja di kubikelnya terus meluru ke bilik Suhana. Dia memang sedang menyiapkan laporan yang ingin disemak segera oleh Suhana. Sambil tu, dia tak tergamak membiarkan Suhana bersendirian di pejabat. Tergamam Muslim melihat Zarief yang terduduk di atas lantai dan Suhana yang nampak berombak dadanya.

"Cik Enna," panggil Muslim yang berdiri di muka pintu bilik Suhana.

"Muslim, awak tolong uruskan Encik Rief awak ni. Dia dah gila. Saya tak nak bertanggungjawab apapun atas diri dia. Saya nak balik. Laporan yang saya minta tu, awak e-mel saja," arah Suhana kemudian terus mencapai beg dan berlalu keluar. Seluruh badannya masih menggigil. Dia berlari-lari anak menuju ke tempat parkir kereta. Dalam hati sudah mengucap syukur yang panjang.

Muslim menghampiri Zarief yang tergamam sendiri.

"Encik Rief."

"What did I do, Muslim?" soal Zarief penuh kesal.

Sejujurnya Muslim sendiri diselubungi pelbagai persoalan. Wajah cemas Suhana yang menjerit meminta tolong dan keadaan Zarief yang mencurigakan membuatkan rasa sangsi itu semakin membuak.

"I love her, Muslim. Dia tunang saya. Tak boleh ke saya lepaskan rindu saya dengan menyentuhnya?" soal Zarief penuh rasa keliru. Fikirannya kembali berserabut. Dia tidak mampu berfikir mana yang betul dan mana yang salah.

Muslim mengeluh panjang.

"Bos, jom kita ambil wuduk dan istighfar bersama," pujuk Muslim sambil membantu Zarief bangun. Zarief menurut saja pujukan Muslim.

Muslim beriringan dengan Zarief menuju ke surau. Hati Muslim sudah terdetik rasa tidak enak tentang Zarief. Berkali-kali dia memandang Zarief.

"Bos okey?"

"Entahlah, Muslim. Saya sendiri pun tak tahu apa yang tak kena. Hati rasa tak tentu arah," luah Zarief sambil melipat kaki seluar.

"Sabarlah, bos. Nak bernikah ni macam-macam dugaan yang datang. Godaan pun kuat juga. Itu belum masuk halangan untuk membina masjid lagi. Bos banyakkan berdoa. Harap semua urusan dipermudahkan," nasihat Muslim lembut.

"Itulah..." keluh Zarief yang bercelaru fikirannya. Bagaimana nak berdepan dengan Suhana lepas ni? Bagaimana nak jelaskan pada Suhana? Dia tak bermaksud jahat pada Suhana. Dia sayangkan Suhana. 

Cinta Ajari AkuWhere stories live. Discover now