Bab 3

1.4K 38 2
                                    

Kesabaran Suhana sudah sampai hadnya. Dalam kesibukan melunaskan tugasan pejabat, dia terserempak Zarief berdua-duaan dengan perempuan yang sama. Kalau urusan kerja pasti pasangannya berbeza. Tapi kenapa pasangannya tetap Sofia? Sudahlah dengan penampilan Sofia mengalahkan model antarabangsa yang tak pernah cukup kain. Belum masuk lagi dengan sikap kekwat perasan cantiknya tu lagi. Itu yang membuatkan hati Suhana benar-benar bengkak.

Bukannya Sofia tidak tahu yang Zarief sudah bertunang. Berita pertunangan mereka diumumkan sendiri oleh Zarief pada majlis makan malam syarikat tiga bulan lalu. Cuma pada hari biasa, mereka jarang dapat mempamerkan kemesraan mereka di khalayak warga Cempaka International. Tuntutan tugas yang membataskan mereka bertemu.

Usai berurusan dengan Tan Sri Abdullah, Suhana terus menerpa ke bilik Zarief. Tersentak Zarief yang sedang menjawab panggilan interkom. Wajah Suhana yang tegas dalam tenang dipandangnya dengan pandangan mata yang penuh persoalan.

Terus Zarief memendekkan perbualannya. Kening terangkat menyoal Suhana.

"Abang, Enna tak selesalah tengok cara abang yang rapat dengan semua orang," luah Suhana terus terang tapi masih bernada lembut. Sikap Zarief yang terlebih mesra itu betul-betul membuatkan dia rasa cukup tak selesa. Bagi Suhana, walau bagaimana profesional mereka dalam melaksanakan tugasan, mereka perlu tahu batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Itulah akhlak hidup masyarakat Muslim.

"Maksud Enna?" soal Zarief sambil menyandarkan badan di kerusi.

"Sikap abang yang terlebih mesra itulah. Kalau ya pun nak close deal, jangan mempergunakan wanita."

Zarief tersenyum lalu bangun dan bersandar di meja sambil menghadap Suhana.

"Cik Enna sayang, dalam bidang kita strategi pemasaran dan jualan perlu tiptop. Itu lumrah hakikat zaman moden ini. Bukan abang buat apa pun. Bila dah rapat barulah senang kerja kita. Nak close deal pun mudah," jelas Zarief. Dia sering mendengar rungutan Suhana tentang isu yang sama. Dia sudah naik muak dengan cara pemikiran Suhana yang kuno dalam hubungan lelaki dan perempuan. Ini tak boleh, itu tak boleh. Rimas.

"Tapi Enna tetap tak selesa. Bagi Enna, ia akan menjadi penyebab dan dugaan pada hubungan kita. Enna tak nak nanti kita bergaduh kerana perkara yang tak munasabah. Majlis kita pun tinggal dua bulan aje lagi, bang. Cara abang ni buat Enna tak sedap hati," luah Suhana terus terang.

Zarief menggeleng lalu mengatur langkah merapati Suhana. Dia tahu siapa yang dicintainya. Dia tahu apa yang dilakukannya sekarang ini adalah yang terbaik buat masa depan mereka nanti. Semuanya terancang rapi dan direstui keluarga. Apa nak ditakutkan sangat? bebel hati Zarief.

"Abang tak buat apa pun, sayang oi. Abang kerja sama macam sayang juga. Enna dengar sini. Abang yakin dan percayakan Enna tanpa sikitpun rasa syak pada kesetiaan Enna. Dan abang nak Enna pun buat perkara yang sama juga. Fikir positif, sayang. Yakin dengan abang sepertimana abang yakin pada Enna. Boleh ya, sayang?" soal Zarief. Dia tak selesa Suhana mempersoalkan kejujurannya.

"Bukan itu maksud Enna, bang... Sebagai teman sepejabat, Enna sokong abang seratus peratus. Abang memang hebat dan membanggakan syarikat. Tapi sebagai tunang dan bakal isteri abang, Enna rasa tergugat dengan sikap abang yang mesra dengan semua perempuan yang abang kenal. Sikap layanan mesra abang itu membuatkan Enna rasa tiada keistimewaan dalam hidup abang. Perempuan ni lain, bang," jelas Suhana.

Zarief tertawa lucu. Cemburu! tebak hatinya. Zarief memegang bahu Suhana lalu memalingkan tubuh Suhana menghadapnya. Dia rasa cukup bertuah dan rasa diri sempurna sebagai lelaki apabila berdampingan dengan Suhana. Inilah pendampingnya sampai bila-bila. Tiada yang lain.

"Cemburu, ya?" usik Zarief. Mata Suhana ditenungnya.

"Cemburu itu memang mainan perempuan, bang. Tapi tidak pada Enna. Walaupun Enna cintakan abang, Enna masih sayangkan hubungan kita. Enna nak kita sama-sama berpimpinan tangan masuk ke syurga. Jika Enna silap, abang tegur. Begitu juga dengan abang. Enna harap sangat kita dapat merealisasikan impian kita dengan reda Allah... Enna tak nak kita berdua lalai. Kerana setiap kali lelaki dan perempuan itu berdua-duaan, pasti adanya yang ketiga," jelas Suhana cukup berlapik. Zarief dapat menangkap maksud di sebalik kata Suhana itu. Senyuman lega dilepaskan. Cemburu Suhana itu membuatkan dirinya rasa dihargai.

Cinta Ajari AkuWhere stories live. Discover now