Norsara Atikah
Aku terus melepaskan brek tangan dan menekan pedal minyak setelah pintu kereta aku katup rapat. Mataku menjeling ke arah Daus yang masih tidak sedarkan diri. Setelah 4-5 saat kenderaan ini bergerak, aku menarik satu nafas panjang, dan hembus.
Adrenalin yang mengalir di dalam badan aku akibat kejadian tadi masih lagi berbaki. Aku sempat menjeling ke cermin pandang belakang melihat lelaki yang masih lagi terbaring di atas jalanraya.
Tak apa ke tinggalkan dia macamtu?
Buat beberapa ketika aku mengelamun, aku putuskan untuk teruskan perjalanan. Aku seolah tidak percaya ada 2 pembunuh berasingan yang berkongsi target yang memutuskan untuk selesaikan 'kerja' mereka pada hari dan waktu yang sama.
Apa agaknya budak ni dah buat kat mamat tu?
Ah, sudahlah. Aku tidak perlu ambil pusing hal ini. Lagi pula dia nampaknya tidak cam aku, jadi aku rasa semuanya akan baik-baik saja. Aku sangat meragukan kemungkinan lelaki tadi akan membuat laporan polis. Ia umpama "Encik, saya nak buat report. Ada budak lelaki yang saya dah cop nak bunuh kena sailang dengan pembunuh lain."
Haish, apa aku mengelamun ni?
Sunyi la pulak.
Aku menggerakkan sebelah tangan untuk mencari butang on radio, namun sebelum sempat jari aku menemukannya, ekor mata aku menangkap satu pergerakan.
"Shit!"
Daus di sebelah tiba-tiba menggerakkan sikunya laju ke arah muka aku. Dan yang paling menyakitkan hati, aku tidak dapat berbuat apa-apa. Pedal minyak aku tekan semakin dalam – tanpa niat – sebelum kesedaran aku pulih semula dan terus menukar kaki menekan pedal brek, dan atas hukum fizik, velositi kereta yang berhenti secara tiba-tiba menyebabkan kedua badan kami berganjak ke hadapan.
Kepala aku berlaga dengan stereng kereta beberapa kali dan pada masa yang sama bunyi 'skreeet' akibat brek tadi memekakkan telinga. Aku memusingkan stereng kereta ke kanan – tanpa sebab yang munasabah akibat panik – menyebabkan kereta ini mula meluncur ke kanan buat beberapa saat sebelum berhenti sepenuhnya.
Pada ketika ini penglihatan aku mulai kabur; aku kira akibat kepala yang terhentak kuat pada stereng. Ini tak bagus! Belum sempat pandangan aku pulih sepenuhnya...
"Siapa kau hah?!" soal Daus, mencekik leher aku sekuat mungkin dan menekap wajah aku pada cermin kereta, "Siapa kau?!"
Macamana aku nak jawab kalau kau cekik leher aku ni, jahanam?!
Kedua tangan aku mula meronta, cuba untuk melepaskan diri namun ianya sia-sia. Aku masih tidak dapat menandingi kekuatan seorang lelaki. Come on, think of something!
"Ugff!"
Ini adalah kerja sia-sia, aku perlu cuba benda lain!
Dengan sebelah tangan aku cuba untuk menekan butang tali pinggang keledar.
Klik!
Yes!
Aku menggenggam klip tali pinggang keledar tadi dan terus menikam matanya. Itu membuatkan cengkaman tangannya pada leher aku sedikit lemah, dan aku menggunakan peluang ini untuk menarik pemegang pintu dan menolaknya hingga terbuka dengan siku.
Ini menyebabkan badanku terus terjatuh dan Daus turut tertiarap di antara tempat duduk hadapan dan tempat duduk pemandu. Melihatkan aku sudah berjaya lolos, Daus segera bangun dan mengambil sesuatu dari tempat duduk belakang.
Semua itu berlaku dengan sangat cepat, dan sebelum sempat aku berdiri semula, dia keluar dari kereta dengan memegang steering lock di tangan.
Mati aku kali ni.
"Siapa kau?!" soal Daus, sambil menudingkan pengunci stereng ke arah aku, "Kau nak apa dengan aku?!"
"Woi kau pekak ke pompuan?!" soalnya lagi, semakin mendekat.
Aku nak bunuh kau, lembab! Tapi sekarang ni nampak gaya macam aku yang balik rumah bungkus kapan!
Aku hanya memandangnya tajam ke anak mata, memikirkan apa harus aku lakukan sekarang. Aku tidak boleh menggunakan trik yang sama seperti tadi. Tidak apabila mangsa aku sedar dan berhati-hati sepenuhnya.
Ah, ini semua gara-gara jantan tadi!
"Kau taknak cakap? Fine, aku call polis sekarang!" kata Daus.
"Kejap..." balas aku, cuba untuk berdiri.
"Diam!" tengking Daus, "Kau duduk situ diam-diam! Kau bergerak sikit je, aku pecah kepala kau kat sini!" ujarnya lagi sambil menghalakan pengunci stereng ke arah aku.
Sebelah tangannya meraba-raba poket seluar, cuba mengeluarkan henfon. "Aku dah taknak dengar apa-apa sekarang, kau tunggu nasib kau!"
Ah, celaka! Apa harus aku lakukan sekarang? Lari? Celah mana nak lari kat tempat macam ini? Dan kalau aku lari sekalipun, jauh mana sangat aku boleh pergi? Lagipun wajah aku sekarang sudah terdedah, bahkan jika aku lari, aku tidak akan dapat bersembunyi lama. Aku sudah jangka satu hari nanti aku pasti akan jatuh juga.
Aku sedar manusia tidak mampu selamanya berada di atas. Cuma aku tidak sangka ianya secepat ini!
"Please, Daus–"
"DIAM!" dan pada ketika ini sebelah tangannya sedang menaip sesuatu di henfon.
That's it.
Bila butang dail ditekan, aku akan menghabiskan waktu aku dipenjara atas cubaan membunuh. Atau silap-silap, kisah lama aku akan turut terbongkar.
Macam mana ni sekarang, macam mana?!
"Herkk.. Herghh.. Urgf!"
Tiba-tiba, aku lihat Daus berdiri tegak dengan badan yang terkujat-kujat. Aku turut terbau sesuatu yang terbakar, dan mendengar bunyi buzzing – seperti bunyi aliran elektrik.
Elektrik?
Beberapa saat kemudian Daus terkulai layu merebahkan dirinya di atas jalanraya – masih lagi terkujat-kujat. Berdiri di belakang Daus, sesusuk tubuh lelaki yang masih lagi memegang sebatang baton elektrik.
"Yo. Miss me?" soalnya, bibirnya mengukir satu senyuman sinis.
YOU ARE READING
SHAHRIL
Bí ẩn / Giật gânBeg sandang itu aku dikeluarkan isinya satu persatu. Satu lagi beg strip hitam yang aku gunakan untuk menyimpan pelbagai jenis alatan - playar, pisau, gunting, et cetera - aku keluarkan dan letak di sebelah kanan lelaki itu. "Let the game begin."