🌺 Bab 1 🌺

7.5K 321 5
                                    

Seorang gadis bertudung biru kelihatan sedang berlari pantas di kaki lima jalan. Wajahnya resah, hatinya gundah. Nampaknya, dia ini sudah lewat untuk ke sekolah!

Nama 'Fiya' tertera jelas pada pin yang dicucuk pada tudungnya. Manakala di hujung pin tersebut pula terdapatnya lambang gah sebuah sekolah di negara mereka. Sekolah yang dinamakan sebagai Institut Agung Altair. 

Budak sekolah elit lambat ke sekolah? Ah, dia itu hanya manusia biasa. Apa yang dia fikir sekarang ini hanyalah untuk tiba ke sekolah dengan selamat.

Dengan berlari-lari anak, Fiya mengesat peluh yang sudah pun mula jatuh ke pipi. Beg sandang yang terhenjut-henjut di belakangnya dibetulkan setiap kali tali beg yang dipegang terasa jatuh ke sisi.

"Aku dah lambat!" Jeritnya di situ tanpa menghiraukan mereka yang memandang. Penat dan lelah dibiarkan. Tinggal beberapa minit sahaja lagi kelas akan bermula.

•••

"Pak Ali, boleh cepat sedikit? Umm, saya dah lambat ni. Tak pasal-pasal kena marah dengan pengawas nanti." Pinta Firah dengan lembut kepada pemandu keretanya. Meskipun dia yang terlambat sebentar tadi di rumah, dia tahu pemandunya ini faham akan keadaan yang terjadi.

Pak Ali mengangguk faham lalu melajukan kereta yang dipandunya, menuju ke Institut Agung Altair yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan mereka. Seorang gadis bertudung biru di kaki lima dilintasinya tanpa memandang sedikit pun.

Jam tangan yang berwarna ungu ditilik Firah berkali-kali. Tangannya digenggam manakala kepalanya terteleng-teleng melihat ke luar. Bagaikan cacing kepanasan, dia seringkali membetulkan segala perkara yang tidak perlu dibetulkan pada pakaiannya.

Tidak lama kemudian, sebuah bangunan sekolah menyapa pandangan mereka berdua. Lambang indah yang terletak di atas bangunan sekolah itu benar-benar menghiasi suasana. Institut Agung Altair sudah jelas di hadapan mata!

"Baiklah, sudah sampai." Tutur Pak Ali dengan senyuman nipis kemudian berpaling ke belakang. "Nah! Ini duit saku yang ibu kamu beri. Jangan lambat-lambat, Firah." Sambungnya lagi seraya menghulurkan duit.

Firah menganggukkan kepalanya sambil tersenyum kecil. Dia menyambut duit saku tersebut kemudian lekas memasukkannya ke dalam poket kain yang dipakai. Beg digalas, kaca mata diletakkan kemas.

Tanpa membuang masa, Firah melangkah keluar dari keretanya lalu menutup pintu. Terkedek-kedek dia berlari ke arah pagar dengan pilihan pakaiannya pada hari itu. Berkain pun berkainlah, janji dia cepat ke sekolah.

•••

Selendang hijau beralun mengikut tiupan angin apabila basikalnya meluncur laju membelah jalan raya. Dia sedar bahawa dia sudah lambat untuk ke sekolah namun hatinya masih tenang seperti tiada apa yang sedang berlaku. Sambil mengayuh basikal, dia bersenandung perlahan dan menikmati keindahan alam yang mengiringi perjalanannya ke sekolah.

"Pagi yang indah." Gumamnya dengan senyuman. 

Institut Agung Altair, sekolah terkenal yang menjadi tempat belajarnya. Sebaik sahaja bangunan sekolah itu terlihat di layar mata, dia mencebik kecil. Tanpa berfikir panjang, lopak air yang terletak di tepi jalan dilanggarnya dengan sengaja bagi menambahkan 'keindahan' paginya itu.

"Mini!!!" Jeritan lantang Firah jelas kedengaran di tepi telinganya yang mana mampu memecahkan gegendang seseorang. Mini yang terdengar namanya dijerit terus sahaja memakirkan basikalnya di tempat letak basikal.

Firah yang sedang menahan amarah di tepi jalan lekas ditujunya. Kelihatan sahabatnya itu sedang memegang sisi kainnya dengan wajah kelat yang comel.

"Huwaa, sorry Fir sorry!" Pohon Mini berkali-kali sambil menepuk kain labuh milik Firah dengan harapan lumpur yang melekat bakal tanggal begitu sahaja.

Firah merengus geram lalu mengeluarkan sepeket tisu dari begnya. "Sorry naik lorilah, Min." Balasnya kemudian menggunakan tisu yang baru sahaja diambil untuk membersihkan kainnya.

Mini bercekak pinggang di sisi, mengeluh kecil apabila kemaafannya tidak diterima. Itulah, lain kali lihat kiri dan kanan dahulu disertai pemikiran 'berfikir sebelum bertindak' sebelum melakukan apa-apa.

Ingat ya itu, semua.

Kepala yang tidak gatal digaru Mini apabila Firah tidak habis-habis membersihkan kainnya itu. Loceng sekolah bakal berbunyi, namun ini yang harus ditunggunya kini?

Sedang dia bermonolog sendiri, Mini dapat merasakan satu tepukan pada bahunya oleh seseorang. Firah yang perasan akan itu turut mengerutkan dahinya. Lantas, mereka berdua berpaling ke belakang serentak.

"Baa!!" Jerkah seorang gadis bertudung putih dengan wajah yang menakutkan. Namun, jerkahannya itu tidak berjaya apabila dua orang gadis yang ingin ditakutkannya itu hanya memaparkan wajah selamba.

"Tak terkejut pun." Balas Mini lalu tertawa. Tangannya sengaja melibas hujung tudung putih sahabatnya itu sebagai jenaka. Pantulan cahaya matahari bersinar cerah di pin namanya, Maira.

Firah pula menjelirkan lidah tanda mengejek. Tetapi perbuatannya mengundang cubitan di pipi pula oleh Maira yang sudah merasa jengkel.

"Hah, buat apa tu?! Cepat, nanti lambat!" Satu suara lain pula menyapa mereka dari belakang.

Hari ini memang sesi lambat datang ke sekolah seduniakah?

Tiga sahabat yang sudah pun berdiri di sisi pagar sekolah mengerutkan dahi mereka, hairan. Adakah itu Fiya?

"Kau pun lambat?" Tanya mereka bertiga serentak. Fiya yang sudah mula memperlahankan lariannya mengangguk mengah. Setibanya di hadapan mereka, Fiya menunduk sambil memegang lutut bagi mengambil udara yang sudah pun semakin hilang dari trakea-nya.

"Kalau macam tu baik cepat masuk. Jom, jom, jom, nanti pengawas marah. Kalau dapat dengan cikgu garang, mampus kita!" Mini berkata resah lalu meninggalkan sahabat-sahabatnya dalam keadaan yang tergesa-gesa.

Firah menggelengkan kepalanya apabila terlihat Mini yang sudah pun mendahului mereka. Selepas itu, mindanya bagaikan memetik suis yang tidak dipinta. Jari telunjuknya diletakkan ke dagu, matanya memandang langit yang cerah.

"Agaknya Shima pakai baju apa hari ini?" Tanya Firah sambil meneruskan perjalanan untuk masuk ke dalam.

Maira yang jalan beriringan dengan Firah menoleh ke sisinya pantas bersama wajah pelik yang sukar ditafsir. "Aik? Dah kenapa tanya pasal budak gedik tu pagi-pagi?" Soalnya, hairan.

"Tak adalah, aku hanya terfikir sebab dia tu gemar sungguh pakai pakaian pelik-pelik. Susah juga ya dapat sekolah yang dapat pakai baju bebas? Semua benda aku tengok dia nak pakai." Balas Firah kemudian berpeluk tubuh. Fiya yang sudah menyamai langkah mereka sekadar mengangguk setuju.

Selepas itu, Mini segera berpaling ke belakang dengan wajah marah. "Lagi satu, kenapa tempat letak basikal dekat luar? Sepatutnya sekolah elit ginilah yang kena sediakan kemudahan untuk kita, hmph!" Bebelnya geram tiba-tiba. Kedua-dua belah pipinya dikembungkan.

Maka dengan itu, Firah, Fiya dan Maira hanya mampu mengangguk mengiyakan. Ada benarnya juga di situ.

"Sudahlah, sampai bila kita nak masuk kalau jalan slow-melow macam ni? Baik cepat, nanti lambat." Tegur Fiya, mendesak.

Akhirnya, empat orang sahabat itu selamat masuk ke dalam bangunan sekolah dengan berlari-lari anak menuju ke kelas mereka. Di sini, bermulalah persahabatan dengan satu cerita.

Gadis Acah Popular #1Where stories live. Discover now