Prolog - Bab 1

4.3K 46 0
                                    

         

Prolog

They must find it difficult, those who have taken authority as the truth, rather than truth as the authority – G. Massey

Pasca menandatangani perjanjian TPPO, ekonomi rakyat Malaysia kian merudum. Tambahan pula sikap boros berbelanja Perdana Menteri dan suami serta jemaah menteri yang semakin menjadi-jadi. Sekejap-sekejap diadakan majlis perkahwinan di Indonesia, ada yang sampai ke Kazakhstan serta tidak kurang juga yang membelanjakan sehingga setengah juta ringgit untuk bermain golf di luar negara. Rakyat pula hanya mampu melahirkan tanda tanya tentang biaya dan ongkos perbelanjaan. Persoalan yang dibiarkan tidak berjawab.

Walaupun ekonomi rakyat kian runtuh dan jatuh, pembangunan di Malaysia pula semakin pesat. Pelbagai projek pembangunan lahir hasil daripada pembiayaan oleh syarikat dan korporasi gergasi luar. Prasarana dibina dengan begitu mengagumkan termasuklah jaringan pengangkutan awam yang cemerlang meliputi seluruh semenanjung Malaysia. Akan tetapi semua ini datang bersyarat. Kemajuan, pembangunan dan kemakmuran ekonomi yang dilihat ini hanya untuk mereka yang mampu membayar harganya.

Oleh kerana itu, jurang antara kasta sosial kian melebar. Rekod penggandaan perbandingan pendapatan untuk 20 peratus penduduk elitis teratas mencecah sehingga 22 kali ganda pada tahun 2015 berbanding 40% rakyat di kelas bawahan. 50 peratus harta negara dimiliki oleh hanya segelintir penduduk elit. Ketidakseimbangan dalam jurang pendapatan ini menyebabkan berlaku banyak penindasan oleh pemimpin tamak. Golongan elitis kaya dan berpengaruh bertambah mencipta kekayaan-kekayaan baru apabila bekerjasama dengan pelabur asing dan diberikan insentif atau dalam bahasa pasarnya, rasuah. Sementara itu, mereka yang berada di kasta terendah, golongan pekerja dan kelas pertengahan rendah semakin ramai dihimpit kesempitan hidup. Dengan nilai matawang yang semakin jatuh, ekonomi Malaysia benar-benar dilacurkan atas nama pasaran bebas. Tanah yang harganya semakin murah kerana kejatuhan matawang dilelong-lelong kepada pedagang antarabangsa yang berminat menambah kekayaan mereka. Malaysia menjadi syurga untuk pelabur dan pelancong asing. Segala-galanya murah di sini.

Di celah-celah kemajuan itu, di luar bangunan-bangunan lima tingkat yang menjadi tempat beratus kelab malam dan rumat urut, di tepi-tepi jalan, rakyat tempatan miskin gigih menumpang cebisan kemewahan negara, mencari rezeki barang sesuap nasi. Ada yang membawa tisu atau permainan ke hulu ke hilir sebagai bahan jualan. Tidak kurang yang berniaga kecil-kecilan menjual makanan untuk mengisi perut pelancong asing yang mabuk dan kelaparan. Peluang perniagaan bercambah untuk mereka dan harga turut dinaikkan apabila dijual kepada pelancong asing. Walaubagaimanapun, mereka menghadapi satu masalah. Tiada perniagaan menjaja kecil-kecilan atau orang perseorangan diberikan lesen oleh pihak berkuasa yang giat membanteras dan menangkap penjaja-penjaja kecil ketika membuat siasatan. Sekali-sekala riuh bunyi jeritan nyaring apabila kawasan pelancongan diserbu penguasa yang selalunya datang selepas tengah malam. Apabila kejadian itu berlaku, pelancong asing hanya memerhatikan dengan penuh perasaan terhibur apa yang berlaku kepada penjaja-penjaja tempatan. Mereka dihayun dengan cota, dikejar dan disepak seperti anjing. Mana yang malang gagal melepaskan diri akan ditahan dalam bulatan. Barang niaga mereka dirosak dan dimusnahkan. Dalam kegelapan malam yang diterangi lampu-lampu jalan dan kelab disko, beberapa orang lelaki tua memakai kopiah putih nampak terkial-kial membetulkan duduk mereka di tengah-tengah bulatan penjaja yang ditahan. Peluh berjejesan membasahi kopiah putih mereka sehingga menitik-nitik namun tidak dihiraukan. Hanya perihal nasib diri yang berselirat di fikiran tika itu. Ramai antara mereka ialah orang tua dan wanita. Walaupun penguasa yang berkawal memegang cota ada yang memakai anutan sama dengan lelaki tua berkopiah tersebut, pada malam itu mereka hanya menjadi bahan tatapan pelancong-pelancong asing.

Setelah kangkang ekonomi Malaysia dibuka seluas-luasnya untuk dijilat, diratah dan dinikmati pelabur asing, maka hilanglah sisa daulat, maruah dan kehormatan yang tinggal, ditelan pengertian kemajuan dangkal. Dengan bertambahnya pelabur dan pelancong asing, masyarakat penghuni Malaysia terutamanya di bandar-bandar besar menjadi semakin bercampur-aduk. Inilah apa yang digesakan sebagai 'kota metropolitan' oleh bekas Perdana Menteri Malaysia keenam yang berjaya menempa nama sebaris dengan pemimpin korup seperti Joseph Estrada dan Marcos.

KASTA - sebuah novel Noer WahiWhere stories live. Discover now