17. Adam Musa
"Terima kasih sebab tolong kami." Aku memaut pinggang Karen dengan lebih erat sambil dia bersandar di dadaku. Di atas ribanya ada sebuah laptop yang sedang digunakan untuk membaca sebuah artikel. Artikel khas untuk Kampung Memial yang baru saja dilanda serangan kerajaan melalui pasukan polis. Penduduk kampung itu yang berkeras mahu membina surau untuk kampung mereka telah ditembak sehingga mati. Aku telah pergi bersama Karen ke tempat kejadian. Darah yang membasahi dinding surau dibiarkan dan tidak dibersihkan. Lubang-lubang bekas peluru turut memenuhi dinding. Tidak dapat aku bayangkan apa yang berlaku kepada penghuni surau itu. Apa yang aku dengar, pasukan penyerang telah meletupkan sebuah bom asap menyebabkan penghuni yang mempertahankan surau sesak nafas. Setelah itu beberapa orang polis yang memakai topeng muka telah masuk dan melepaskan tembakan sehingga semua mati. Mayat dilabel sebagai pemberontak seramai lapan orang menurut laporan media utama. Namun, jika dilihat pada suasana tempat kejadian, nampak seperti lebih berpuluh-puluh yang mati. Mayat mereka dibawa ke tempat lain dan kerajaan menyatakan bahawa pemberontak telah berjaya diberkas. Beberapa keping gambar bom buatan sendiri turut ditampilkan sebagai bukti mereka ialah kumpulan penjahat.
"Anything for you, baby." Karen menggeselkan kepalanya di celah ketiak aku. Jari-jemarinya yang runcing laju menekan bawah sambil dia baca perenggan terakhir artikel sepanjang seribu dua ratus patah perkataan itu. Gambar dinding berlubang dibasahi darah yang diambil akan turut diterbitkan sebagai menimbulkan persoalan apa sebenarnya yang berlaku kepada penduduk di situ?.
"I happy dapat balik semula ke Malaysia. Dapat kembali ke sisi you." Karen mengakui setelah dia menutup skrin laptop dan meletakkan ia di meja tepi. Artikel dan gambar itu sudah pun dihantar sebentar tadi . Semuanya akan pada esok pagi. Mujur Karen menerima sebuah alat khas yang dapat menangkap siaran internet untuk dia gunakan. Karen juga bijak kerana tidak menggunakan nama sebenarnya sebagai pengarang artikel. Dia tahu dia juga perlu berhati-hati agar tidak masuk dalam perhatian pengintip kerajaan. Setakat ini dia berasa yang dia selamat kerana bersama dengan aku, anak seorang tokoh politik kerajaan.
"Rasa macam you tak pernah pergi." Aku mengakui perasaan yang aku rasakan. Sekelumit rasa bersalah timbul memikirkan Intan Mastura yang tidak dilayan dengan baik. Malah, aku lebih mengutamakan Karen. Intan Mastura yang tidak mengetahui kisah antara aku dan Karen pasti tersinggung tetapi apakan daya, aku tak dapat menolak kemanisan cinta yang ditawarkan Karen. Kini Intan Mastura sudah kembali dalam persembunyian dan tidak dapat dihubungi lagi. Jika dahulu mereka ada bertemu dua kali untuk mendapatkan maklumat, kini maklumat hanya disampaikan secara sembunyi-sembunyi. Mungkin sudah tidak selamat lagi untuk mereka bertemu.
Karen membetulkan baringannya agar lebih rapat. Tangan aku disilangkan melintasi pinggangnya. Tumpuanku terganggu daripada memikirkan kekasih yang dalam persembunyian ke menikmati kelembutan dan kehangatan kekasih yang sedang berada di dalam pelukan nyata. Adakah aku lelaki paling malang atau paling bertuah dalam dunia kerana mempunyai dua orang kekasih yang cantik dan berperwatakan hebat? Lagipun aku bertambah rindukan belaian seorang gadis kerana Intan Mastura bukannya seperti Karen.
Aku menundukkan kepala mencumbui leher dan wajah Karen. Kedinginan penghawa dingin menggigit kulit kami menggigil yang kemudiannya digesel-geselkan antara satu sama lain menimbulkan kehangatan. Bau mandian lavender menerjah harum ke dalam rongga hidungku. Selimut dicapai menutup badan kami sehingga ke kepala. Daripada kucupan di bibir, aku mula turun ke bawah menghilangkan kepala ke dalam selimut sementara Karen menarik selimut ke atas perlahan-lahan menutup wajahnya dengan mata terpejam nikmat.
* * *
Pagi itu aku bangun apabila sinaran matahari menyinar garang masuk melalui celah langsir yang terbuka. Aku lihat Karen sedang mengadap laptopnya di meja kopi di sebelah katil.
YOU ARE READING
KASTA - sebuah novel Noer Wahi
Художественная прозаIntan Mastura mengasaskan Gersik, sebuah kumpulan memperjuangkan hak kaum minoriti. Apabila dia digertak dan diculik, dia diselamatkan oleh Khairil Adha, kekasih lamanya. Keadaan menjadi rumit setelah Intan mendapat tahu Khairil sebenarnya bekerja s...