54. Tiga hari sebelum persidangan mahkamah dunia
Kereta mereka dipandu sehingga masuk ke perkarangan garaj kosong di hujung lapangan terbang Batu Berendam yang kini digunakan sebagai pusat latihan akademi tanpa sebarang penerbangan komersial. Pada hari itu, lapangan terbang itu nampak kosong kerana tiada kelas dijadualkan. Di situ, Khairil Adha telah berjanji menemui John Low untuk menyerahkan Intan Mastura. Lelaki itu menghentikan kenderaan mereka di luar garaj kosong. Di dalamnya, John Low sedang duduk di atas kerusi sambil membaca akhbar.
"Kita buat apa di sini?" Tanya Intan Mastura yang terpinga-pinga. Rupa John Low tidak jelas kelihatan untuk dia nampak siapa yang sedang duduk di meja itu. Khairil mengajaknya berjalan ke dalam. Tangan Intan Mastura dipegang erat sambil mereka jalan berdampingan.
"Kau lambat!" John Low membentak marah dan bangun. Suratkhabar di tangannya direnyukkan lalu dilempar.
"Ada hal sikit." Khairil Adha menjawab dengan tenang.
"Awak kenal dia?" Intan Mastura yang akhirnya mengenali siapa lelaki Cina bersut itu bertanya dalam nada tidak percaya. Soalan itu dibiarkan tidak berjawab.
"Saya dah bawa dia ke sini. Sekarang apa bos?" Khairil Adha bertanya kepada John Low tanpa menghiraukan Intan Mastura yang dilanda keliru.
"Awak kenal dia, Khairil?" Gadis yang tidak suka dibiarkan begitu menarik tangannya dengan kasar lalu bertanya sekali lagi kepada Khairil Adha. Pandangan mata Intan Mastura mula nampak curang apabila dia terdengar lelaki itu memanggil penjenayah yang berlakon sebagai ahli politik di hadapannya sebagai bos.
"Duduk diam-diam, boleh tak?" Khairil Adha mengejapkan pegangan tangannya sehingga Intan Mastura tidak dapat bergerak lagi. John Low ketawa dengan kuat lantas datang mendekati mereka.
"Mestilah dia kenal. Dia kerja untuk aku." Kata-kata John Low menyebabkan Intan Mastura merasakan seperti rusuknya dilanda kesesakan. Pembohongan apa yang telah dilakukan oleh lelaki itu yang selama ini sentiasa berada di sisi untuk mempertahankannya?
"Khairil, betul apa yang dikatakan?" Intan Mastura bertanya lagi dan kali ini Khairil Adha menarik tangan gadis itu sehingga rapat dengan tubuhnya dan memberikan amaran supaya diam. Nadanya tegas. John Low ketawa dengan kuat lagi.
"Nampaknya, kau dah berjaya jinakkan dia. Hebat!" Kata-kata John Low menghiris hati Intan Mastura mengenangkan penipuan dan kecurangan yang telah berlaku. Dia benar-benar terguris luka dengan realiti yang menjelma secara tiba-tiba tanpa disangka-sangka. Baru saja semalam dia menghabiskan masa indah dan romantis bersama lelaki yang sebenarnya ialah hanyalah seorang penipu.
"Dia ada di sini. Sekarang apa?" Khairil Adha mengulang soalan tanpa mempedulikan esak tangis Intan Mastura yang mula menjelma.
"Tinggalkan dia dengan aku. Ini bayaran tambahan untuk kau kerana menjalankan tugas dengan baik." Sebuah beg bimbit diserahkan kepada Khairil Adha lalu John Low meminta tangan Intan Mastura. Khairil Adha kelihatan diam sebentar menyebabkan John Low merengus.
"Nak buat apa dekat dia?" Soalan itu ditanyakan mahu mengetahui untung nasib Intan Mastura.
"Itu hal aku. Dah tak ada kaitan dengan kau. Kontrak kau tamat di sini. Cepat serahkan dia." John Low mendesak sekali lagi lantas cuba meraih tangan Intan Mastura. Khairil Adha pantas mengelak.
"Oh, dah tamat kontrak? Jadi aku tak bekerja dengan kau lagi? Kalau macam tu..." Khairil Adha menyeluk tangan ke dalam poket jaket untuk mengeluarkan sepucuk pistol tetapi tindakannya terhenti apabila dia terdengar bunyi detapan pistol. John Low tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.
YOU ARE READING
KASTA - sebuah novel Noer Wahi
Художественная прозаIntan Mastura mengasaskan Gersik, sebuah kumpulan memperjuangkan hak kaum minoriti. Apabila dia digertak dan diculik, dia diselamatkan oleh Khairil Adha, kekasih lamanya. Keadaan menjadi rumit setelah Intan mendapat tahu Khairil sebenarnya bekerja s...