Bab 33 - 36

272 6 0
                                    

         

33. Khairil Adha

Intan Mastura mengadu berkali-kali yang dia cuba menghubungi Karen banyak kali tetapi gagal. Dia sudah mengarang sebuah rencana baru bertujuan untuk menghimpunkan pendapat massa ke arah menentang tindakan autokratik kerajaan yang menyamar liberal itu.

"Mungkin dia sedang bercuti." Aku menawarkan kemungkinan untuk meleraikan kekusutan yang dirasainya. Intan Mastura hanya mengeluh. Kami sedang berada di sebuah kabin peranginan di Cameron Highlands.

"Artikel ni perlu diterbitkan secepat mungkin." Intan Mastura memberitahu mengapa dia begitu resah.

"Buat edaran dalaman dahulu?" Aku memberikan cadangan. Daripada mengeluh tentang apa yang tidak boleh diubah, lebih baik kita melakukan sesuatu yang berada dalam genggaman kita. Intan Mastura memikirkan usul aku lantas menganggukkan kepalanya.

"Bagus juga. Kena jumpa wakil Gersik di sini untuk sampaikan dalam risalah Suara. Boleh diedarkan ke seluruh ahli Gersik yang masih didaftarkan alamat mereka." Intan Mastura membuka buku nota bagi mencatit beberapa perancangannya. Aku hanya melihat kegigihan dia sambil tersenyum. Masa depan keadilan negara berada dalam tangan gadis ini. Gadis muda yang begitu istiqamah dalam melawan penindasan tangan-tangan penguasa yang ditipu habuan kuasa dunia yang fana.

Setelah itu, kami turun dari Cameron Highlands untuk menemui salah seorang ahli Gersik yang berada berdekatan. Intan Mastura memberitahu yang dia pernah pergi ke rumah rakannya itu dahulu tetapi sekarang dia ingat-ingat lupa. Kami berpusing-pusing selama sejam mencari jalan sebelum jumpa. Intan Mastura memberikan salam dari luar rumah. Aku hanya menunggu di dalam kereta. Seorang gadis keluar mendokong seorang bayi. Intan Mastura masuk ke dalam kawasan rumah dan bertegur sapa dengan mesra bersama gadis tersebut. Mereka bertukar-tukar khabar dan cerita kerana sudah lama tidak berjumpa. Intan Mastura memberikan sebuah sampul surat berisi risalah Suara terbaru untuk dibuat salinan dan diedarkan. Gadis itu menyambut. Namun gadis itu memberitahu sesuatu kepada Intan Mastura yang menyebabkan riak wajahnya berubah mendung. Beberapa ketika berlalu, mereka nampak sedang berborak tentang sesuatu yang serius. Pertemuan itu diakhirkan dengan Intan Mastura memeluk erat rakannya sambil berbisik sesuatu. Jaga diri baik-baik, mungkin. Aku faham, Intan Mastura juga faham, entah dia akan menemui rakannya itu lagi atau tidak. Ramai orang yang akan bertemu dengan kita dalam hidup hanya beberapa kali tetapi persahabatan dan hubungan yang diberikan oleh mereka akal kekal bermakna bersama kita hingga ke akhir hayat.

"Adam Musa cari saya. Karen Yap kena culik." Intan Mastura memberitahu, nada suaranya bimbang. Dia menutup pintu dan memegang lengan aku. Matanya merebah pilu, mengharapkan aku dapat memberi sebarang jawapan kepada dia. Aku memegang tangannya semula.

"Kita cari Adam Musa dulu." Aku memutuskan tindakan yang sepatutnya dilakukan sambil menenangkan Intan Mastura. Dia bersandar dan merenung ke hadapan.

"Kalau sesuatu terjadi kepada Karen..." Intan Mastura berkata tetapi terhenti. Tangannya menutup mulut menghalang sebak. Tangisan mula mengalir. Aku hanya membiarkan dia melayan emosinya yang pasti mencurah-curah. Bayangkan apa yang ditanggung oleh gadis semuda itu yang terpaksa berdepan dengan bermacam dugaan. Selama ini dia sering tabah tetapi pada ketika itu, Intan Mastura melepaskan lelah penat dan kesedihannya. Berita kehilangan kawan baik amat mengganggu fikiran.

"Saya tak akan boleh maafkan diri saya." Intan Mastura menyambung kata-kata setelah tangisannya mulai reda.

"Hei, awak tak salah apa-apa pun. Jangan pikul semua beban." Aku menarik kepalanya lembut dan dibaringkan ke dada kiriku. Serentak itu aku membelai wajahnya dan mengesat tangisan yang mengalir di pipi Intan Mastura.

KASTA - sebuah novel Noer WahiWhere stories live. Discover now