Bab 45 - 49

288 6 0
                                    

45. Intan Mastura

Pintu bilik dibuka dengan kuat sehingga terhempas. Saya terkejut dan terlepas buku nota yang sedang dipegang. Khairil Adha nampak luka-luka dan tercungap-cungap.

"Penduduk Kotaraya merusuh. Keadaan huru-hara. Kita kena gerak kerana kerajaan akan hantar lebih ramai askar ke sini." Khairil Adha memberitahu apa yang berlaku di luar sana. Oleh kerana dia yang sering ke luar untuk menjalankan apa-apa tugas atau membeli barang maka dia lebih mengetahui. Saya membeliakkan mata terkejut sekali lagi.

"Merusuh?"

"Iya. Sepasang kekasih ditembak ketika penguatkuasa mengepung lorong untuk menangkap gelandangan dan penduduk haram." Khairil menerangkan lagi lalu dia menambah seperti dialog selalunya, "Kita tak ada masa ni. Askar kerajaan akan sampai pada bila-bila masa."

Saya bingkas bangun mencapai barang-barang. Hidup sebagai pelarian mengajar saya untuk berkemas dengan lebih cepat. Hanya barang-barang penting seperti sepersalinan pakaian, tuala bersih, kelengkapan mandi, alatulis, ubat-ubatan dan makanan ringan seperti coklat dan gula-gula akan disimpan. Kami berjalan separuh berlari turun ke lobi untuk mendapatkan kereta di luar hotel. Tiga buah kereta peronda melintas membuatkan Khairil Adha mengajak saya berpusing. Kami keluar melalui pintu belakang hotel. Khairil Adha pantas ternampak sebuah Proton Suprima yang kebetulan diletakkan ditepi jalan untuk dicuri. Pemilik kereta itu yang sedang mengeluarkan duit berlari sambil menjerit ketika kami memecut pergi. Mencuri kereta sudah menjadi seperti mencuri gula-gula untuk Khairil Adha. Saya tertanya-tanya apa lagi kebolehan yang membahayakan lelaki itu. Tidak saya ketahui sangat mengenai kehidupannya ketika di dalam perkhidmatan melainkan apa yang diceritakan sahaja.

Kenderaan dipacu meninggalkan bandar itu. Beberapa buah kereta peronda lagi melintasi kami dipandu laju masuk ke kawasan tengah bandar. Rusuhan akan bertukar menjadi perang saudara.

"Bahaya betul." Saya memberi komen apa yang dilihat sepanjang perjalanan tadi. Ada orang yang terbaring di tepi jalanraya sambil berdarah entah masih hidup, entah sudah mati. Saya kengerian.

"Di luar sekarang memang bahaya. Keadaan jadi semakin tak menentu." Khairil Adha mengujar. Perhatiannya ditala ke depan mengadap jalanraya yang lurus. Kelajuan kereta mencecah 110 km/j.

"Saya harap Fina selamat di dalam." Saya berkata lagi memikirkan keadaan Fina seperti yang diceritakan oleh Khairil Adha. Tidak saya sangka dia juga akan didera sebegitu. Saya berdoa setiap hari agar Fina tidak diapa-apakan lagi.

"Dia akan selamat di dalam. Sekarang ni, duduk dalam penjara lebih selamat dari di luar." Khairil Adha berkata sambil kelihatan seperti berfikir tentang sesuatu. Setelah itu dia melihat saya dan tersenyum. Senyumannya nampak lemah.

"Adam Musa ditembak mati." Kata-kata Khairil Adha itu seperti dejavu. Masa terasa berhenti, realiti seakan-akan runtuh dan musnah.

"Tak mungkin." Perlahan bibir saya mengucapkan kata-kata itu. Satu penafian lemah.

"Tak mungkin!" Sekali lagi saya menjerit kecil, berkeras untuk tidak menerima kenyataan yang baru dihempaskan ke dalam rasional akal.

"Dia ditembak di depan mata saya." Khairil Adha menarik saya rapat ke tubuhnya. Saya cuba meronta tetapi dia memegang dengan kuat. Semua amarah dan kebencian benar-benar berpusat. Saya marah dengan semua yang berlaku. Kerajaan yang zalim. Jiwa yang tamak. Kehidupan yang sentiasa penuh dengan kecacatan. Dan paling teruk sekali, semua ini berlaku kepada rakan-rakan saya, disebabkan oleh saya sendiri!

"Tak, Khairil! Mana boleh macam ni?" Asakan saya semakin lemah, kemarahan bertukar menjadi kesedihan dan kekecewaan. Ketidakupayaan untuk melakukan apa-apa.

KASTA - sebuah novel Noer WahiWhere stories live. Discover now