Bab 25 - 28

296 5 0
                                    

         

25. Karen Yap

Keadaan di kawasan perkampungan haram itu benar-benar di luar jangkaan. Ini bukan serbuan tetapi serangan. I tak sangka tindakan segasar ini boleh diambil oleh sebuah kerajaan yang sepatutnya membela dan mempertahankan rakyat mereka. Berapakah harga nyawa mangsa yang terkorban di mata pemerintah? Sehingga boleh dikorbankan sewenang-wenangnya. Nyawa seorang manusia yang dianugerahkan oleh Tuhan, dicabut tanpa sebarang rasa bersalah.

"Sabarlah. Benda sudah pun berlaku." I menyembamkan muka di bahu Adam Musa. Tangisan teresak-esak keluar ekoran campuran perasaan yang sedang I rasakan. Sedih, marah dan takut bercampur-gaul. Jika kerajaan boleh bertindak ke atas sesuatu golongan seperti ini pada hari ini, tidak mustahil kerajaan mensasarkan kita pada hari esok. Kerajaan seumpama ini tidak boleh dibiarkan terus berkuasa. Rakus dan gila.

"I tak boleh bayang perasaan mereka." I berkata setelah esakan I semakin mereda. Adam Musa menyerahkan sehelai tisu kepada I.

"Hidup bagai dalam neraka." Adam Musa menambah.

"Gambar-gambar ini perlu disebarkan kepada semua, Karen." Intan Mastura berkata dengan suara lantang. Dia benar-benar terkesan dengan apa yang berlaku. Matanya sedikit membengkak kerana menangis. Hujung hidungnya turut kemerahan apabila kerap kali digosok. Namun tiada air mata yang kelihatan lagi. Intan Mastura telah menghabiskan tangisannya dan mula mengambil gambar keadaan kawasan itu yang telah musnah. Penduduk masih gagal membaik pulih kehidupan mereka seperti sediakala. Jumlah mereka masih ramai namun beberapa pondok sudah dibina menggunakan kepingan papan yang ada.

"I akan pastikan semua media dapat satu salinan. Kerajaan Malaysia perlu didakwa kerana jenayah kemanusiaan ini." Karen memberi jaminan.

Di sekeliling kami, penduduk perkampungan haram itu meneruskan kehidupan mereka seperti biasa. Ada yang sedang bersolat di atas hamparan kulit guni di tengah-tengah debu merah. Seorang ibu sedang menjerang air dengan beberapa butir kentang direbus di dalam periuk sementara memeluk dua orang anaknya yang menangis kelaparan. Anak-anak itu hanya memakai seluar dalam dan berada dalam keadaan yang sangat kurus sehingga menampakkan tulang pinggul. Intan Mastura merapati pasangan itu menghulurkan dua bungkus roti manis. Seorang daripada anak-anak kecil itu berhenti menangis dan mengangkat tangan meminta didukung Intan Mastura sambil dia menyuapkan makanan.

Melihatkan apa yang berlaku, sekumpulan kanak-kanak yang ada berdekatan bersama dengan beberapa orang lelaki dan perempuan dewasa datang menghulurkan tangan meminta bantuan. Kami diserbu sehingga I berasa takut. Mujur Adam Musa berdiri di hadapan I menghadang mereka daripada rapat. Akhirnya Khairil Adha mengeluarkan pistolnya dan menembak ke udara sekali. Semua penghuni yang berkerumun meminta sedekah terkejut dan menjauhkan diri mereka beberapa langkah. Ada yang meniarapkan diri.

Setelah itu Khairil Adha mengeluarkan beberapa bungkusan besar roti dari dalam bonet kereta dan diletakkan di hadapan kami. Roti itu sempat kami borong ketika singgah membeli barang kelengkapan di pekan Bentong tadi. Khairil Adha menyimpan pistolnya dan membuka bungkusan roti lalu mengagih-agihkan kepada kami untuk diberikan kepada mereka semua. Lelaki itu seterusnya membuka sebuah bungkusan roti manis yang dikeluarkan dan dicarik secebis roti lalu disuap ke mulut salah seorang pakcik yang kebetulan ada berdekatan dengan Khairil Adha sewaktu dia menarik picu pistol tadi.

"Maafkan saya jika buat pakcik terkejut tadi." Khairil Adha berkata dengan baik sambil dia terus menyuap roti ke mulut pakcik itu yang sudah mula menangis sebak.

"Dah dekat enam tahun pakcik tak jumpa anak pakcik. Kali terakhir kami berpisah ketika dia menaiki kapal ke Brunei." Pakcik itu menceritakan nasib dirinya kepada kami setelah itu. Masa yang kami habiskan di situ, dipenuhi dengan pelbagai cerita jerih payah mereka sehingga tercampak di situ. Buku catatan Karen penuh dengan pelbagai nota yang dicatit.

KASTA - sebuah novel Noer WahiWhere stories live. Discover now