9. Intan Mastura
Saya disuruh menaiki sebuah jip berbaring di bahagian belakang. Kemudian, Khairil Adha telah menyelimutkan badan saya dengan sehelai kanvas biru. Setelah itu, dia membuka pintu garaj dan memandu jip keluar. Kami melalui pos kawalan keselamatan tanpa apa-apa halangan. Jip dipandu sehingga ke jalan besar. Badan saya yang berbaring kaku sejak tadi kerana ketakutan tiba-tiba dicuit. Saya diajak duduk di hadapan. Kemudian, kami meneruskan perjalanan. Buat pertama kali, selepas apa yang berlaku, saya dapat merasakan nikmat kebebasan. Suatu nikmat yang sering kita abai dan lupakan. Tambah-tambah lagi apabila nikmat itu sentiasa dapat kita nikmati. Sekiranya ditarik dari orang lain sekalipun, kita tidak peduli selagi kita dapat merasakannya. Sambil jip meluncur, saya mendepakan tangan sambil tersenyum lebar menghirup udara segar.
"Terima kasih." Saya mengucapkan. Hanya itu yang dapat saya lahirkan dengan ikhlas. Tindakan yang diambil oleh Khairil Adha itu membahayakan keselamatannya sendiri. Apatah lagi selepas ini dia tidak akan boleh bekerja di situ lagi.
"Kasih diterima." Lelaki itu menjawab seraya mengenyitkan matanya. Ah, dia memang ganteng. Senyuman manis melekat diwajahnya sepanjang perjalanan menjadikan pipi saya merona kemerahan. Saya dapat rasakan renungan matanya yang dalam seperti membaca segala maklumat yang ada tentang diri saya.
"Kita nak ke mana?" Saya bertanya lagi. Khairil Adha teruskan memandu sambil mengangkat bahunya. Dia juga buntu. Kami dikejar oleh pasukan kerajaan di bumi Malaysia. Ke mana dapat kami larikan diri? Saya merenung ke hadapan berfikir. Kemudian saya terdengar tawa kecil tercetus di sebelah.
"Jangan risau. Kita pergi bersembunyi dulu." Khairil Adha menyatakan. Matanya tajam menikam anak mata saya sambil dia mengangkat kening, nakal. Sejak dahulu dia memang seorang anak yang buas dan nakal. Kerana itulah, amat berpadanan apabila dia bercita-cita menjadi seorang komando. Sepanjang mengenalinya, dia amat suka membuat kegiatan lasak.
"Nak sembunyi di mana?" Saya meminta penjelasan.
"Dalam hutan." Khairil Adha berkata.
"Dalam hutan?" Saya tanyakan balik.
"Iya, ada sebuah pondok ni. Dahulu saya pernah menginap di situ sekejap." Wajahnya nampak bersungguh. Saya diamkan sebentar. Pilihan apa lagi yang saya ada?
"Tak boleh balik rumah?" Saya bertanya.
"Saya pasti mereka dah pasang pengintip mencari awak untuk ditangkap semula. Awak takkan dibiarkan lepas senang-senang." Khairil Adha hanya menggelengkan kepalanya. Saya terdiam lagi. Nampaknya tiada langkah lain. Saya perlu bersembunyi. Akhirnya saya turutkan saja saranan lelaki itu untuk bersembunyi di dalam hutan buat sementara waktu sehingga keadaan reda. Perjalanan yang masih panjang kami habiskan dengan berborak bertanya tentang kehidupan masing-masing. Dia nampak begitu matang sekarang. Perasaan suam yang dahulu sentiasa bergulir di dalam hati saya apabila bersamanya kini mula timbul kembali. Memori-memori lama terluah semula dalam bentuk cerita dan gelak ketawa. Di tengah-tengah keserabutan pemburuan yang berlaku ke atas saya, sempat saya selitkan kata-kata syukur kerana pertemuan yang ditakdirkan. Kami meneruskan lagi perjalanan kami memasuki kawasan hulu Sungai Congkak untuk menuju ke pondok di dalam hutan seperti yang digambarkan oleh Khairil Adha, syurga buniannya yang digelar 'Kayangan'.
* * *
Jip kami diletakkan di celah-celah pokok. Khairil Adha menyiapkan dua buah beg. Satu diserahkan kepada saya. Kami sama-sama memakai beg hiking yang sudah disiapkan barang-barang di dalamnya.
"Saya memang selalu siapkan beg. Kadang-kadang kena pergi bertugas tak kena masa dan tempat sampai pernah tak sempat nak kemas beg." Lelaki itu mengakui sambil kami sama-sama bersedia untuk meneruskan perjalanan. Kami perlu berjalan masuk ke dalam hutan. Pakaian saya yang berbaju kurung ditukar dengan seluar dan t-shirt lengan panjang. Sehelai kain saya gunakan sebagai hijab kedua menggantikan pakaian lama yang telah kotor. Hampir enam jam kami berjalan melalui celah-celah denai yang tidak begitu jelas. Khairil Adha berada di hadapan mencantas laluan bagi memudahkan saya. Setelah berjalan landai, kami perlu mendaki bukit curam pula sebelum terus memanjat lagi melompat di atas batu-batu di celah-celah akar kayu yang berselirat. Tiga kali kami berhenti rehat kerana saya kepenatan. Lelaki itu sabar melayan kerenah saya. Setelah saya hampir menyerah kalah kerana kehabisan tenaga, Khairil Adha mengumumkan yang kami telah sampai.
ANDA SEDANG MEMBACA
KASTA - sebuah novel Noer Wahi
General FictionIntan Mastura mengasaskan Gersik, sebuah kumpulan memperjuangkan hak kaum minoriti. Apabila dia digertak dan diculik, dia diselamatkan oleh Khairil Adha, kekasih lamanya. Keadaan menjadi rumit setelah Intan mendapat tahu Khairil sebenarnya bekerja s...
