Bab 2 - 5

1K 19 0
                                        

         

2. Intan Mastura

Hak untuk mengamal sebarang kepercayaan agama telah diakui dalam perlembagaan Malaysia di peruntukan Perkara 3(1). Walaupun isi kandungan perlembagaan itu sudah ditukar dalam satu perbahasan bersejarah di Parlimen pada suatu masa dahulu yang diterima majoriti wakil rakyat sehingga taraf agama Islam ditarik balik daripada menjadi agama persekutuan, fasal tersebut masih mencatatkan bahawa 'mana-mana agama bebas diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan'. Ini diakui sejak dari awal kemerdekaan Malaysia. Setiap kaum tanpa mengira perbezaan fahaman dan anutan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing. Selaku seorang graduan undang-undang saya amat memahami perkara ini. Tambah-tambah lagi sebagai seorang Muslim yang sering dikecam oleh kerajaan sejak sedekad yang lepas, saya bertambah mahu menghayati hak yang diakui perlembagaan ini. Biarpun agama Islam bukan lagi agama persekutuan, adakah adil hak kami diganggu?

Mengapa manusia begitu bacul menjalangkan kesucian undang-undang sedangkan semuanya sudah tertulis dan termaktub dalam perlembagaan? Manusia masih ramai yang culas dan curang cuba berkias serta memusingkan fakta terutama sekali mereka yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kuasa. Hak beragama sekian lama dilanggar oleh kerajaan yang cuba menjalankan dasar-dasar liberalisasi dangkal. Meruntuhkan rumah ibadat adalah satu tindakan bertentangan dengan perlembagaan tetapi ia dilakukan sewenang-wenangnya oleh kerajaan menggunakan alasan samarata dan agama sebagai amalan individu.

Setelah berjaya masuk sebagai penuntut tahun pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, saya bekerja keras untuk mendapat tempat selaku graduan undang-undang di universiti tersohor ini. Siapa tidak kenal UIA yang sering menampilkan graduan-graduan debat terulung di peringkat antarabangsa? UIA juga kekal sebagai universiti yang mendahulukan masyarakat Islam dan tidak meletakkan sebarang diskriminasi bagi penganut berlainan fahaman dan mazhab dalam Islam. Di UIA, semua perbezaan diterima dan dirai dalam bentuk wacana, diskusi serta perbincangan. Saya turut menerima perkenalan daripada rakan-rakan berlainan mazhab. Di UIA, kami diajar untuk hidup bersama dalam tolak-ansur dan toleransi. Begitulah acuan Malaysia yang saya impikan. Dengan pandangan sedemikian rupa, saya mula mengumpul siswa-siswa yang berminat untuk berbincang dan berdebat tentang konteks sosio-politik di Malaysia.

Mahasiswa dibenarkan berwacana dan menjemput pemimpin-pemimpin luar ke kampus. Itu adalah salah satu kebaikan liberalisasi dalam pendidikan. Universiti turut menjadi pasaran terbuka untuk menjaja idealisme dan meraih pengikut. UIA tidak ketinggalan dalam hal ini. Saya memulakan sebuah gerakan yang berjumpa seminggu sekali di mana-mana kawasan seperti di kantin, tepi padang atau dalam bilik seminar. Kami akan bertemu dan berbincang soal-soal tempatan, isu-isu yang berlaku dalam negara dan cuba merungkai sebab musabab semuanya berlaku. Bermula sebagai sebuah kumpulan kecil, akhirnya kami berkembang menjadi sebuah persatuan dengan nama Gerakan Siswa Kritis ataupun dipanggil Gersik. Kami mula menampilkan soal-soal penindasan yang berlaku terutamanya dalam hal agama oleh kerajaan. Sesi perjumpaan dan kuliah kami menjadi semakin popular sehingga wakil-wakil siswa daripada universiti dan kolej lain turut hadir dan pulang membuka rantaian cawangan di tempat belajar masing-masing mengikut model acuan kami. Begitulah berkembangnya organisasi yang dinamakan Gersik dan saya menjadi presiden pertama. Sebenarnya tidak pernah diadakan sebarang pemilihan kerana setiap kali berjumpa kami hanya berbincang dan berdiskusi. Namun saya selaku ketua akan menentukan tajuk dan halatuju perbincangan. Mungkin kerana itulah saya turut diletakkan selaku Presiden apabila kami diminta menampilkan senarai jawatankuasa lengkap untuk didaftarkan sebagai sebuah persatuan dibawah Majlis Kepimpinan Pelajar.

Setelah Gersik berkembang pantas di hampir keseluruhan IPTA secara terbuka dan di beberapa IPTS secara bawah tanah, kami memulakan risalah bulanan. Semua perbincangan dan topik yang ditulis dikumpul dan diterbitkan dalam bentuk risalah. Saya mengarang rencana pengarang untuk setiap keluaran sementara koleksi artikel, kami dapatkan daripada ahli seluruh negara. Risalah itu kami namakan sebagai 'Suara' demi melambangkan suara kami yang ingin diketengahkan mewakili golongan minoriti tertindas di Malaysia. Selepas tiga terbitan, saya dikhabarkan bahawa risalah kami sudah mula disiasat oleh Kementerian Dalam Negeri sementara di beberapa sesi kuliah, kami mengesyaki mata-mata dan polis yang menyamar turut serta merekod apa yang disampaikan. Akhirnya kerajaan yang memerintah menggunakan dasar liberal dan samarata, yang memperjuangkan kebebasan itu telah menunjukkan belang sebenar mereka. Berilah nama apa sekalipun sebagai justifikasi. Jika dahulu ada kerajaan yang memerintah atas dasar membela kaum atau agama, kini kerajaan yang mahu membela kebebasan individu, semuanya sama zalim jika hak-hak kaum minoriti dilanggar tanpa perasaan malu dan kesal.

KASTA - sebuah novel Noer WahiCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang