Bab 37 - 41

292 8 0
                                        




37. Intan Mastura

Semua bukti yang ada mengenai penculikan Karen, saya kumpulkan menjadi sebuah dokumen lengkap. Biodata Karen saya dapatkan bersama dengan beberapa keping gambarnya. Kronologi peristiwa yang berlaku bersama dengan bukti bergambar saya rangkakan menjadi sebuah artikel lengkap. Misteri kehilangan seorang editor politik yang terkenal seperti Karen Yap pasti akan menggemparkan dunia media. Sama ada mereka bertambah takut dengan kuasa sistem atau mereka bertindak melawan. Jika mereka tidak melawan sekarang, esok lusa mungkin saja mereka yang terkena. Setelah dokumen itu dilengkapkan, saya serahkan kepada Khairil Adha untuk menilainya.

"Cukup lengkap. Macam penyiasatan polis." Khairil Adha memuji. Saya tersenyum senang.

"Saya cuma susun apa yang awak kumpul." Saya memulangkan pujian kepadanya.

"Kalau begitu kita memang boleh menjadi satu pasukan yang baik." Khairil Adha mengangkat tangan dan kami bertukar high-five.

"Saya nak buat dokumentari sekali lah." Saya memberitahu apa yang saya fikirkan.

"Bagus juga tu." Khairil Adha bersetuju.

"Saya nak paparkan di media utama ketika siaran berita malam. Pada waktu itu paling ramai orang menonton televisyen. Pasti ramai yang tidak tahu kes penculikan yang berlaku ini.

"Nak buat macamana?" Khairil Adha bertanya.

"Itu yang saya tanya awak ni." Saya meminta buah fikirannya juga. Khairil Adha keras berfikir.

"Kita masuk ke dalam stesen televisyen, nak?" Saya mencadangkan kepadanya. Dia melihat saya dengan reaksi seolah-olah saranan itu gila.

"Mengarut." Katanya.

"Kita masuk, pasangkan dokumentari ringkas itu dan cabut pergi. Pakai topeng atau menyamar untuk mengelak dikenal." Saya menambah lagi, mengukuhkan saranan saya.

"Awak ni dah lama sangat rapat dengan saya ni." Khairil Adha berkata sambil menggelengkan kepala. Nampaknya mungkin cadangan saya bernas dan itulah apa yang akan dia lakukan jika dia terpaksa.

"Jadi, kita lakukannya?" Saya meminta kepastian dan menghulurkan tangan. Khairil Adha masih menggeleng-gelengkan kepalanya dan menyambut tangan saya.

"Saya yang akan masuk. Awak hanya siapkan dokumentari itu." Dia menyatakan syaratnya. Sudah pasti saya setuju. Maka, saya gunakan masa yang ada untuk membuat dokumentari sambil saya potong keratan paparan CCTV dan saya ceritakan dengan suara naratif apa yang berlaku. Dokumentari sepanjang lima minit itu akan mengisahkan semua yang berlaku termasuklah perjuangan Karen Yap melawan penindasan kerajaan ke atas golongan minoriti. Setelah selesai, saya serahkan kepada Khairil Adha. Dia meninggalkan saya seorang diri untuk pergi ke stesen televisyen dan menyamar.

Pada malam itu, ketika berita tengah malam dipaparkan, saya membuka televisyen dan menonton. Seperti biasa berita akan dimulakan dengan cerita mengenai perjalanan Perdana Menteri atau mana-mana Menteri Kanan merasmikan majlis di mana-mana. Wajah John Low terpampang menyebabkan saya mendengus kebencian. Setelah itu, sebelum masuk ke berita luar negara, tiba-tiba talian terganggu dan dokumentari yang saya siapkan mula terpapar. Alhamdulillah, semuanya berjaya mengikut perancangan. Semoga Khairil Adha selamat kembali ke sisi saya. Saya saksikan dokumentari itu yang saya pasti sedang turut disaksikan oleh seluruh penduduk di Malaysia yang menonton berita utama. Hampir seminit sempat ditayangkan sebelum berita disambungkan semula dan berita utama meminta maaf atas kesilapan teknikal. Namun, Malaysia sempat mengetahui tentang penculikan Karen Yap. Jika dibiarkan sedikit lagi maka mereka akan turut tahu tentang perjuangan Karen dan faham mengapa kes ini sangat sensitif kerana melibatkan individu berkuasa.

KASTA - sebuah novel Noer WahiCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang