13. Adam Musa
I'm coming. Itu sahaja yang dikatakan oleh Karen dalam pesanan terakhirnya. Entah apa maksud yang cuba disampaikan. Sehinggalah aku mendapat sebuah lagi pesanan yang menetapkan temujanji kami di sebuah kafe di Paradigm Mall. Aku membatalkan semua urusan pada hari itu dan menghabiskan masa awal pagi mandi serta bersiap-siap. Mahu memilih baju apa untuk dipakai saja sudah mengambil masa hampir setengah jam. Aku tidak mahu kelihatan over-dress di hadapan Karen apatah lagi jika aku nampak selekeh. Akhirnya aku memilih untuk memakai kemeja yang dilipatkan lengan dengan seluar jeans hitam. Jam tangan kulit Fossil aku padankan dengan tali pinggang yang juga berkulit. Kasut but Doc Marten yang disarung membuatkan aku berasa lebih yakin. Memang benar fesyen mampu memainkan peranan penting dalam membentuk peribadi dan perwatakan. Aku pergi ke tempat yang dijanjikan dan melihat dia sedang duduk sambil membaca sesuatu di telefon bimbitnya. Dia duduk di sebuah meja di tepi restoran. Tempat yang memberikan privasi namun dia masih dapat memerhatikan seluruh ruang restoran. Dia nampak aku berdiri lalu melambaikan tangannya. Aku tersenyum. Hatiku sedikit luntur melihat senyuman daripada gadis Cina yang dahulunya menjadi siang dan malamku. Aku berjalan mendapati Karen.
"Thanks for coming." Aku memulakan bicara dan menghulurkan tangan tetapi Karen terus ke hadapan dan memeluk aku dengan erat. Aku balas pelukannya. Beberapa saat kami berpelukan menikmati kewujudan diri dalam dakapan masing-masing.
"Tak apa. I dapat tukar ke Malaysia juga sebenarnya." Karen berkata sambil kami duduk. Dia melambaikan tangannya memanggil pelayan untuk mengambil pesananku. Setelah itu pelayan datang dan aku memesan jus monkey fruit special yang dipromosikan di atas meja.
"Dapat tukar sini? Wah! Isn't that a great news?" Aku mencapai tangannya dan menyatakan kegembiraan yang memang benar aku rasakan. Karen hanya tersenyum gembira. Pesanan aku sampai. Kami menghirup minuman masing-masing.
"A'ah. I pun tak sangka. I nak minta cuti mula-mula tapi dapat tukar pula. Thanks to your email." Karen menyambung cerita sambil aku mendengar dengan penuh perhatian. Tak lupa juga aku perhatikan setiap inci wajah gadis Cina di hadapanku ini. Dia tampil semakin cantik dan berseri-seri. Matanya galak diterangi pewarna gelap, pipi sedikit kemerahan dan bibirnya yang ranum bergerak-gerak sambil dia berkata-kata. Tiada yang aku dengarkan kecuali memerhati kulit bibirnya bersentuhan antara satu sama lain dalam bayangan gerak perlahan. Bibir yang lembut itu pernah berkali-kali aku layani semahunya dahulu.
"You dengar tak apa I cakap ni?" Karen memetik jarinya di hadapanku sambil ketawa kecil. "You mimpi pasal apa pula ni?"
Aku cuba menutup malu sambil ketawa dan mengambil masa menghirup minuman. Pandangan mata aku larikan sebentar memerhati keadaan di kafe itu. Tidak begitu dipenuhi manusia dan pelayan yang ada juga nampak senang berbual sesama mereka. Tetapi layanan yang diberikan pantas dan memuaskan.
"I minta maaf. You cantik sangat, I terpukau sekejap. Kan kita dah lama tak jumpa." Aku cuba berlaku jujur dalam nada bergurau. Kata-kataku itu membuatkan Karen nampak sedikit tidak keruan. Berkali-kali dia sisipkan rambutnya di balik telinga, suatu tindakan yang aku tahu dia akan lakukan jika dia kecemasan.
"So, apa cerita?" Karen bertanya, mungkin untuk mengubah arah tuju persoalan.
"You tahukan, Perdana Menteri kita kena tembak?" Aku bertanya cuba memastikan kefahamannya tentang lanskap politik tempatan. Walaupun dia ialah seorang editor, lebih baik aku memastikan dahulu.
"Uh'uh." Karen menyahut mengiakan.
"You tahu yang seorang pemimpin mahasiswa yang ada bersama turut diculik pada hari kejadian?" Satu lagi maklumat penting yang perlu aku pastikan.
YOU ARE READING
KASTA - sebuah novel Noer Wahi
Fiction généraleIntan Mastura mengasaskan Gersik, sebuah kumpulan memperjuangkan hak kaum minoriti. Apabila dia digertak dan diculik, dia diselamatkan oleh Khairil Adha, kekasih lamanya. Keadaan menjadi rumit setelah Intan mendapat tahu Khairil sebenarnya bekerja s...