50. Tujuh hari sebelum persidangan mahkamah dunia
Ketiga-tiga orang lelaki itu duduk di bahagian ruang tamu rumah kayu. Seorang bersandar di atas sofa menonton televisyen, seorang lagi sedang membelek suratkhabar sambil sesekali menjeling melihat rancangan Maharaja Lawak yang dimainkan. Rakannya dari tadi ketawa berdekah-dekah tidak berhenti tetapi dia tidak dapat memahami lawak yang disampaikan. Seketika kemudian, pintu masuk rumah dibuka mengeluarkan bunyi kerana gesekan besi dan karat. Seorang lagi lelaki masuk ke dalam rumah sambil memegang sebuah telefon bimbit.
"Macamana?" Rakannya yang sedang membelek akhbar bertanya. Perbuatannya dihentikan sambil melihat reaksi rakan yang juga bos kepada kumpulan mereka bertiga. Baru sahaja bosnya itu datang menawarkan pekerjaan yang lumayan dan mudah. Mereka hanya perlu menculik sasaran perempuan. Untuk itu, mereka akan menerima bayaran sebanyak lima ribu setiap seorang.
"Tak dapat telefon lagi. Tengok berita tu balik." Lelaki yang bekerja dengan Ejen Samdul itu meminta akhbar daripada rakannya. Berita kematian seorang penjawat tinggi kerajaan yang dibom di rumahnya amat mengejutkan. Apatah lagi apabila mangsa ialah ketua operasi mereka iaitu Ejen Samdul. Jika benar dia telah mati maka mereka tidak akan menerima baki bayaran untuk tugas yang telah dijalankan.
"Ah, sial betul. Tak dapat telefon. Memang betul dia dah mati." Lelaki itu mengujar seraya menggelengkan kepala kekesalan.
"Biar betul Mid? Habis tu duit kita macamana?" Abu yang membaca akhbar tadi sudah pun berdiri mendekati Hamid. Hanya Syah yang masih asyik menonton siaran ulangan Maharaja Lawak yang entah kali ke berapa. Ketegangan yang mula terasa tidak disedari oleh Syah.
"Selama ni dia yang direct bayar kepada aku." Hamid berkata lagi sambil berjalan mundar-mandir. Tidak diduga apa yang berlaku. Ejen Samdul telah datang menemuinya pada suatu ketika dahulu yang hanya bekerja sambilan sebagai polis bantuan. Lelaki itu, dengan penuh kemisteriannya, telah memberikan wang yang begitu banyak dan memberitahu Hamid, banyak lagi boleh dimiliki jika dia berjaya menjalankan tugas dengan baik. Sejak itu, Hamid menurut Ejen Samdul. Hampir-hampir dia ditembak mati apabila gagal dalam sebuah tugasan tetapi peluang kedua yang diberi tidak dilepaskannya. Namun, kini Ejen Samdul pula yang tiba-tiba mati. Hamid tersandar di tepi tingkap sambil menghela nafas panjang.
"Habis tu duit aku ni macamana? Aku nak kena bayar hutang Pak Choi esok Mid." Abu mula menggelabah memikirkan hutang Pak Choi yang perlu dibayar. Esok adalah hari terakhir. Jika tidak dapat menjelaskan hutang maka dia pasti akan dicederakan. Silap-silap mana-mana anggota badannya akan dipotong.
"Sabarlah, aku tengah fikir ni." Hamid rimas diganggu soalan-soalan Abu. Dia juga bakal kehilangan sejumlah wang yang ingin digunakan untuk membiayai wang pengajian adiknya di universiti.
"Pejabat dia? Kita pergi pejabat dialah. Dia kan pegawai kerajaan, tulis dalam suratkhabar ni." Abu menyarankan.
"Kau dah gila? Kita buat kerja sulit dengan dia. Tak ada kaitan dengan pejabat tempat dia kerja." Hamid menolak cadangan bodoh itu. Abu yang kesesakan tidak lagi dapat berfikir waras.
"Kau kena tolong aku Mid. Esok aku kena bayar tiga ribu kepada Pak Choi." Mendengarkan nama Pak Choi, anu Hamid terus menggeletar ketakutan. Dia juga pernah tersilap meminjam duit daripada gangster Siam itu. Wang pinjaman sebanyak lima ribu tidak berpadan kerana terpaksa membayar bunga sehingga hampir dua kali ganda jumlah pinjaman. Mujur Hamid sempat menyelesaikan semua hutangnya sekaligus dengan wang yang diberikan Ejen Samdul.
"Kau ni bisinglah! Cuba bawa bertenang." Hamid menepis tangan Abu yang memegang-megang lengannya. Abu terasa.
"Bising kau kata? Dulu kau ajak aku buat kerja ni, kau janjikan aku lima ribu. Sekarang bila benda ni berlaku, kau nak lepas tangan ke hah?" Abu menjerit dan menolak dada Hamid. Kekecohan yang berlaku menyebabkan perhatian Syah turut diganggu.
YOU ARE READING
KASTA - sebuah novel Noer Wahi
Ficção GeralIntan Mastura mengasaskan Gersik, sebuah kumpulan memperjuangkan hak kaum minoriti. Apabila dia digertak dan diculik, dia diselamatkan oleh Khairil Adha, kekasih lamanya. Keadaan menjadi rumit setelah Intan mendapat tahu Khairil sebenarnya bekerja s...