6. Khairil Adha
Pentas menjadi gelap mengikut perancangan. Aku masuk dengan pantas menekup mulut Datuk Agus ketika tembakan dilepaskan tepat mengenai Dr. Hanafi yang tersentak ke belakang. Leher Datuk Agus aku hentak kuat sehingga dia pengsan lantas aku campak dia ke atas lantai. Seorang lagi rakanku menekap klorofom di wajah sasaran kami yang terus pengsan dan dibawa lari. Semua ini berlaku dalam kiraan seminit setengah saja. Setelah kami berlari keluar dari dewan itu, lampu dinyalakan semula dan jeritan orang ramai semakin nyaring. Kami pergi dari situ menaiki sebuah van hitam dimana seorang lagi rakan sedang menunggu. Topeng penglihatan malam dibuka setelah aku memasuki van dan duduk. Van telah pun bergerak. Dua orang di hadapan, pemandu dan yang duduk di sebelahnya. Di belakang pula ada tiga lagi termasuk aku, rakanku dan sasaran kami yang baru diculik.
"SM01 berjaya dihapuskan, SM02 berjaya dineutralkan dan SM03 sudah berada di dalam sangkar." Aku melaporkan ke alat komunikasi kepada pegawai yang memantau tugas kami. Aku ialah salah seorang komando khas dalam pasukan keselamatan khas negara. Pada kali itu kami diarahkan membunuh Perdana Menteri dan menangkap sasaran. Aku baru pulang tahun lepas dari tempat latihan selama lima tahun di Siberia. Setelah beberapa tugas yang dilakukan dengan cemerlang, aku telah diberikan tugasan baru tersebut yang aku galas dengan penuh tanggungjawab. Walaupun kami tahu kami membunuh Perdana Menteri, kami percaya ada sebabnya yang menyebabkan arahan seperti itu dikeluarkan. Sepanjang proses latihan, berkali-kali kami diingatkan agar tidak mengkhianati arahan dan terus berbakti kepada negara.
Setengah jam dalam perjalanan menuju ke tempat kami melapor diri dan menyerahkan sasaran, aku mendapati tubuh sasaran yang sedang pengsan bergerak-gerak perlahan. Jarinya terkutik-kutik sebelum aku mendengar bunyi rintihan halus. Dia ialah seorang gadis. Hanya SM01 yang aku kenali sebagai Perdana Menteri dan SM02 sebagai Datuk Agus sementara SM03 tidak aku kenali kerana dikendalikan komando lain.
"Buka penutup wajahnya." Aku mengarahkan. Seorang komando khas lain akur menurut perintah kerana aku ialah ketua untuk misi tersebut. Setiap kali misi, kami akan dilantik menjadi ketua menurut kelebihan masing-masing. Aku sedikit tersentak melihat wajah sasaran yang berada dalam tahanan kami itu. Tangannya diikatkan di belakang badan sementara mata ditutup dengan kain hitam. Gadis itu memakai hijab dan berkulit putih. Bibirnya tebal bergerak-gerak seraya merintih. Kepala dan tubuhnya digeleng-gelengkan.
"Buka penutup matanya." Aku mengarahkan lagi. Kali ini, komando khas itu teragak-agak untuk mematuhi. Jika sasaran dapat melihat wajah kami yang bertugas maka nasib kami di dalam bahaya. Dia mungkin mendedahkan identiti kami sekiranya terlepas. Namun aku yakin, gadis itu sudah dibius dengan kuat.
"Buka penutup matanya." Sekali lagi aku mengarahkan dengan lebih tegas. Mataku menjeling tajam ke arah komando itu yang terkebil-kebil menurut. Gadis berhijab itu dibukakan penutup hitam yang mengelilingi matanya yang turut terpejam. Dia nampak seperti sedang tidur kecuali sesekali keningnya dikerutkan sambil dia mengaduh. Entah dimana sakitnya.
Namun, aku rasa aku amat kenal dengan wajah di hadapanku itu. Intan Mastura. Tanpa diberitahu, naluriku menyatakan nama gadis berkenaan yang pernah hadir dalam hidupku dahulu ketika kami sama-sama bersekolah.
"Intan Mastura." Nama itu meniti di bibir tanpa aku sedari. Serentak dengan luahan tersebut, mata gadis itu turut terbuka kecil. Anak matanya kelihatan dengan wajahku dibiaskan dalam putih matanya.
Aku terpempan. Tidak sempat menyembunyikan wajah kerana gadis itu sudah pun tersedar. Tambah terpempan lagi apabila dia pula menyebut dengan suara yang lemah dalam bentuk pertanyaan.
"Khairil Adha?"
* * *
Dia ialah Intan Mastura, gadis yang aku kenali ketika bersekolah bersama dengannya dahulu. Dia ialah gadis yang bersama dengan aku sepanjang persekolahan dan dia ialah gadis yang mengajar aku erti cinta. Kami amat rapat di sekolah sehingga sering dilihat sebagai pasangan. Malah, kami sama-sama berjaya dalam pendidikan. Selepas tamat SPM, dia melanjutkan pelajaran ke unversiti sementara aku meneruskan cita-cita menjadi seorang komando berbakti untuk tanahair.
YOU ARE READING
KASTA - sebuah novel Noer Wahi
Ficción GeneralIntan Mastura mengasaskan Gersik, sebuah kumpulan memperjuangkan hak kaum minoriti. Apabila dia digertak dan diculik, dia diselamatkan oleh Khairil Adha, kekasih lamanya. Keadaan menjadi rumit setelah Intan mendapat tahu Khairil sebenarnya bekerja s...