42. Krisis: Kotaraya
Bulan mengambang solo di tengah-tengah langit tanpa gugusan awan meneman. Kerlipan bintang sayup-sayup terbit namun amat sukar untuk dilihat mata kasar. Langit malam itu diterangi biasan cahaya bulan serta pancaran tiang lampu dan kereta yang sibuk menghurung laluan jalan tidak henti-henti. Di tengah-tengah Kotaraya Kuala Lumpur, manusia masih segar berkeliaran walaupun jam sudah menunjukkan lepas jam 12 malam. Bunyi hon bersilih ganti dengan laungan manusia sahut-menyahut untuk segala sebab. Meja-meja dibentangkan di tebing pejalan kaki di hadapan kedai makan lot tengah oleh mamak restoran yang sudah dibasahi peluh kerana bekerja hampir dua belas jam dengan bayaran hanya RM35 sehari. Selesai berkejar-kejaran ke sana ke sini mengambil pesanan, dia berdiri di suatu sudut dan mengesat jejesan peluh di dahi dengan tuala yang disidai di atas bahu. Dentingan sudu dan garfu berlaga pinggan sekali-sekala dipecahkan oleh hamburan ketawa kuat kawanan manusia yang sedang melepak.
Di suatu sudut terpencil kelihatan sepasang kekasih sedang bermadu mesra berkongsi segelas jus minuman yang masih tidak juga habis-habis walaupun sudah hampir sejam mereka duduk disitu. Pasangan kekasih romeo dan juliet itu berbisik-bisik. Tangan mereka diletakkan di atas meja, jari bertautan. Sambil menggigit straw, minah juliet itu tersengih melihat anak mata mat romeonya yang galak bercerita kisah-kisah romantis, bayangan masa hadapan atau mungkin janji-janji kehangatan untuk malam ini. Mamak yang berdiri berdekatan hanya mampu mengulum cercaannya di dalam hati. Orang semakin ramai, meja semakin banyak telah dibuka, malam semakin larut, masa perniagaan semakin suntuk sebelum kepenatan dan kelelahan hadir menghalau manusia ke kamar tidur masing-masing. Sebelum itu berlaku, wang mereka perlu diperah sehabis mungkin. Jadi, sekiranya ada pelanggan yang menghabiskan masa berjam-jam dan hanya meminum segelas jus, ia amat tidak menguntungkan. Jika untung tidak banyak, bonus pun bakal berkurangan. Bagaimana dia ingin mengirimkan wang ke ahli keluarganya seramai lebih 15 orang yang tinggal serumah di Tamil Nadu?
Tidak jauh dari meja-meja restoran itu, seorang lelaki berseluar hitam pendek berdaki dengan t-shirt bercabik sedang baring mengerekot memeluk tubuh. Kakinya diangkat dekat ke dada diselimuti dengan secabik kain guni. Matanya pejam celik. Dia tidur dalam sedar. Telinganya menangkap laungan seorang amoi beralis kening nipis memanggil teksi yang meluncur dan kemudiannya berhenti agak jauh ke hadapan. Amoi itu berpakaian kerja dengan beg tangan hitam dikapit di celah ketiak. Dia berjalan ke arah pemandu teksi yang melambai dari dalam kereta. Langkahnya terhenti, amoi itu tersentak dan melompat sedikit ke belakang sambil terjerit halus nyaring. Tangannya mengurut-ngurut dada, bibir mungilnya pantas menghamburkan cercaan dalam bahasa Mandarin. Sebuah van putih bercermin gelap brek mengejut di hadapannya sebelum pintu dihayun terbuka. Beberapa pasang kaki berbut hitam menapak keluar. Lelaki gelandangan berbaju cabik tadi segera bangkit duduk memerhati apa yang berlaku.
Di belakang kedai makan mamak terdapat sebatang lorong diterangi beberapa buah lampu kuning jalan raya. Banyak mentol lain telah padam dan mati menjadikan suasana amat kelam. Namun, lorong itu sarat dengan manusia dan aktiviti. Di atas penutup-penutup longkang, bercampur lelaki dan perempuan, kebanyakannya tua baring beralaskan kepingan kotak yang dilipat-lipat dan berbantalkan tangan. Terdapat seorang perempuan dalam usia 30-an memeluk anak kecilnya yang menangis kesejukan. Atau mungkin kelaparan. Atau mungkin anak itu sedang bergelut dengan kedua-dua rasa itu sekaligus. Dia membuka sarung bajunya dan dilapik melilit badan anak perempuannya dengan harapan tangisannya akan kendur. Jirannya di sebelah sedikit bernasib baik mendapat teduhan beratapkan zink sedang memamah cebisan roti yang diperoleh petang tadi. Suapan jiran itu terhenti. Dia melihat ke sebelah menilik keadaan dua beranak itu. Perhatiannya turut ditarik oleh asid yang berkocak di dalam perut sendiri. Hatinya kasihan namun nafsunya membelah bahagi. Ah tidak mengapa, hari ini hari dia, esok mungkin hari aku. Sekeping roti di tangan dibelah dua. Dia bangkit bangun, cebisan yang agak besar sedikit disuakan kepada jirannya yang segera mengambil dengan mata berlinangan, sebak.
YOU ARE READING
KASTA - sebuah novel Noer Wahi
Genel KurguIntan Mastura mengasaskan Gersik, sebuah kumpulan memperjuangkan hak kaum minoriti. Apabila dia digertak dan diculik, dia diselamatkan oleh Khairil Adha, kekasih lamanya. Keadaan menjadi rumit setelah Intan mendapat tahu Khairil sebenarnya bekerja s...