PROLOG II

2.3K 123 3
                                    

Tahun 2016...

KERATAN akhbar itu tidak lepas daripada pegangan tangan. Dia cukup tertarik dengan kisah yang pernah menjadi bualan orang ramai pada waktu itu. Ada yang percaya dan ada yang mengatakan karut. Kisah santau lintah yang menggemparkan sebuah pedalaman. Kisah itu menjadi tarikan wartawan tempatan yang melakarnya di dalam akhbar.

Ilmu santau? Dia cukup tertarik mahu mengetahui tentang ilmu santau itu yang dikatakan berbisa seperti ilmu hitam yang lain. Ilmu yang baginya jarang didengari. Dia juga ingin mengkaji lebih mendalam tentang ilmu santau. Kebiasaan santau yang dia pernah dengar adalah santau angin. Dia sedaya upaya mencari maklumat tentang ilmu santau ini. Malahan dia mencari orang yang mewarisi ilmu itu.

"Ni yang kau nak." Seorang rakannya menghulurkan sekeping kertas bertulis alamat.

"Setahu aku, anak dukun ni tak mewarisi ilmu santau lintah ayahnya."

"Jenuh aku nak cari tentang orang tu. Dia dah meninggal dunia. Dah bertaubat dengarnya."

"Jadi, tak ada pewaris lain?"

Rakannya itu menggeleng.

"Aku tak percayalah tak ada pewaris." Dagunya diusap. Dia begitu teringin mahu melihat kehebatan ilmu itu di depan matanya sendiri.

"Ilmu macam tu tak patut ada yang mewarisi. Bahaya."

"Kita cari siapa gurunya." Dia tidak peduli bahaya atau tidak ilmu itu. Dia mahu juga mencari orang yang mewarisinya atau orang yang menurunkan ilmu itu.

"Gilalah kau. Entah-entah gurunya pun dah mati. Tak payahlah kau nak ambil tahu pasal ilmu-ilmu macam ni. Buang masa aje," gerutu rakannya. Dari mula dia kurang setuju dengan idea itu. Taksub sangat dengan kisah ilmu-ilmu hitam.

"Aku tak rasa benda-benda macam ni buang masa aku. Kalau kau tak nak ikut, aku tak kisah pun," rengusnya.

Rakannya itu menggeleng perlahan.

"Kau taksub betul. Kalau ilmu-ilmu yang kau nak kaji ni bawa kepada keburukan, lebih baik kau berhenti. Takut kelak kau yang celaka," nasihat rakannya. Gadis itu tidak bersetuju dengan ideanya dari awal lagi.

"Aku cuma nak tahu ajelah. Bukan nak belajar ilmu-ilmu tu."

"Penatlah aku cakap dengan kau. Ikut suka hati kaulah." Gadis itu sudah malas mahu membebel.

RANCANGANNYA tetap diteruskan. Dia lebih mendengar bisikan syaitan daripada nasihat rakan-rakan terdekat. Tidak salah jika dia sekadar mengkaji dan bukannya mahu mempelajari ilmu itu. Dia mengheret dua orang rakan bersamanya setelah berjaya memujuk mereka. Namun, usahanya hanya sia-sia. Orang yang dicari tidak ditemui.

Dia melepaskan keluhan. Sia-sia saja usahanya hingga sampai ke pedalaman yang hampir ke sempadan Thailand itu. Dia duduk memeriksa telefon bimbit. Tiada internet dapat disambungkan di pedalaman kecil itu. Dua rakannya sedang menjamu selera di gerai kecil tepi jalan. Dia terus berjalan mencari talian. Tanpa sedar jaraknya semakin jauh dari gerai makan itu.

"Kalau kamu nak cari orang tu, kamu dah ikut arah jalan yang salah." Seorang lelaki tua muncul di balik pokok sebesar tiga pemeluk manusia.

Dia memusingkan tubuhnya.

"Pak cik ni siapa?" Dia bertanya.

Lelaki tua itu hanya tersenyum meleret.

"Arah selatan. Kamu kena ikut arah selatan. Kamu perlu menelusur apabila jumpa sebatang anak sungai nanti. Selepas tu, kamu akan jumpa pondok usang di dalam hutan. Kamu akan temui apa yang kamu cari."

"Arah selatan..." Dia ragu-ragu.

"He...he...he... terpulang pada kamu nak percaya dengan kata-kata aku atau tak." Lelaki tua itu tiba-tiba lesap daripada pandangan. Dia tergamam.

Siapa lelaki tua itu? Tiba-tiba saja hilang di depan mata. Dia segera mendapatkan dua orang rakannya itu. Bercerita apa yang dilihatnya. Mereka bagaikan tidak percaya.

"Kita patah baliklah," cadang rakannya yang bertubuh kurus tinggi itu.

Dia mula memikirkan teman yang ditinggalkan berseorangan di rumah tumpang itu. Talian telefon sukar diperoleh di tempat tepencil begini. Apa-apa berlaku sukar untuk mereka berhubung dengan sesiapa.

"Sejak bila kau jadi pengecut? Bukan ke kau tak percaya benda-benda ni semua. Buat apa kau nak takut pulak?" Dia merengus.

Rakannya itu mengetap bibir. Seorang lagi rakannya hanya membisu. Malas mahu menyampuk perbualan dua orang rakannya itu.

"Baik. Jika kita tak jumpa jugak pondok usang dukun tu, kita balik aje. Setuju." Rakannya itu memberikan kata putus.

"Kita takkan sesat jalan lagi. Aku dah tahu arah mana kita akan tuju." Terukir senyuman di hujung bibir. Dia yakin kali ini apa yang ingini akan ditemui.

Bersambung...

LINTAHWhere stories live. Discover now